Jom Rasai Pengalaman Menginap Di ‘Hotel Bergerak’ 5 Bintang!

HOTEL
April 24, 2019 - 04:46 PM


Tak dinafikan setiap kali kita nak pergi melancong, kenderaan seperti kapal terbang, kereta, kapal dan feri sering menjadi penghubung utama untuk sampai ke destinasi yang ingin ditujui.

Namun, hanya segelintir sahaja antara kita yang menjadikan kereta api sebagai pilihan kenderaan kalau berjalan-jalan ke negara orang.

Tapi tahukah anda sekarang imej kereta api bukan sahaja setakat sebuah perkhidmatan pengangkutan awam, sebaliknya ramai yang menjadikan perjalanan menggunakan kereta api dari satu destinasi ke destinasi lain sebagai sebahagian daripada aktiviti pelancongan.

Lebih-lebih lagi, bila dalam kereta api itu sendiri kita boleh merasai pengalaman seakan menginap di 'hotel bergerak' bertaraf 5 bintang!

Berikut 9 kereta api termewah di dunia yang pastinya membuat anda terpukau dan berkobar-kobar nak menaikinya.

 

#1. Golden Eagle Trans-Siberian Express​

Nampak kereta api ini macam biasa tetapi perlu anda tahu bahawa ia adalah paling mahal di dunia dengan perjalanan menghubungkan benua Asia dan Eropah yang melalui negara Rusia, China dan beberapa kawasan di Eropah.

Perjalanan yang jauh ini mampu memberikan anda satu pakej pemandangan yang menakjubkan dari tepi laut, kawasan berbukit dan kawasan bandar.

Jangan terkejut walaupun luaran nampak biasa dan kurang menarik, tapi sebaik melangkah masuk mulut anda pasti terbuka luas apabila terpandang kemewahan di dalam kereta api ini umpama berada di dalam hotel 5 bintang!

Malah, perkhidmatan dan kelengkapan yang disediakan juga cukup selesa bak Raja dan membuatkan anda seperti tidak mahu meninggalkan kereta api tersebut.

Tiket The Golden Eagle Express ini dijual pada harga bermula RM 62,000!

 

#2. The Maharaja Express

The Maharaja Express menghubungkan perjalanan lebih 12 destinasi di kawasan Timur Laut dan Tengah India yang berpusat di Rajashtan.

Kereta api termahal di Asia ini mempunyai reka bentuk persis istana kerajaan India yang disesuaikan untuk perjalanan jarak jauh.

Meraih pengiktirafan ‘The World Travel Awards’ selama 5 tahun berturut-turut, kemewahan kereta api ini seakan tidak dapat ditandingi lagi.

Harga tiketnya untuk sehala dijual dengan harga antara RM6,800 hingga RM 83,000.

Tedapat beberapa pakej perjalanan yang ditawarkan seperti Heritage of India (8 hari 7 malam), Treasures of India (4 hari 3 malam) dan Indian Splendor (8 hari 7 malam).

The Maharaja Express mempunyai 4 jenis kabin yang disediakan untuk pengunjung dan terdiri daripada 20 Deluxe Cabins, 18 Junior Suite, 4 Suite, dan Presidential Suite.

 

#3. The Golden Chariot

Masih lagi kereta api mewah di India.

The Golden Chariot adalah kereta api mahal yang menghubungkan tempat-tempat pelancongan penting di India seperti di wilayah Karnataka, Goa, Kerala, Tamil Nadu dan Pondicherry, bergantung pada jadual perjalanan yang dipilih.

Setiap gerabak kereta api ini berwarna ungu serta mempunyai ukiran seni India yang menjadi tarikan para pelancong.

Malah, di dalam kereta api ini disediakan ruang makan yang selesa, gimnasium dan tempat rehat untuk para penumpangnya.

Boleh tahan juga India, kan?! Ingatkan dorang ada kereta api biasa yang orang ramai bersesak-sesak sampai naik ke bumbung tu. Ala yang macam selalu kita tengok dalam filem Bollywood atau citer Tamil tu..hehehe..

 

#4. The Blue Train

Kereta api yang terletak di Afrika Selatan ini menghubungkan perjalanan dari Cape Town ke ibu negara, Pretoria sejauh 1,600 kilometer.

Perkhidmatan yang cukup mewah ala hotel lima bintang ini kebiasaannya dinaiki oleh raja-raja dan pentadbir negara.

Para penumpang disediakan perkhidmatan pelayan khas, bilik rehat yang cukup santai, tab mandi dan ruang kalis bunyi.

 

#5. Rovos Rails Express

Rovos Rail ini pun di Afrika Selatan. Ia adalah perusahaan kereta api swasta yang beroperasi di Capital Park Station di Pretoria.

Kereta api mewah ini melalui perjalanan hampir separuh benua Afrika dengan perjalanan menghubungkan dari Pretoria, Afrika Selatan hingga ke Namibia dan Tanzania.

Selain dapat menikmati keindahan alam dan safari haiwan, ia juga menyediakan ruang bilik yang pelbagai dengan tandas dan tab mandi setiap bilik.  Malah, tempat dan hidangan makanan juga seperti restoran cukup mewah.

 

#6. Venice Simplon Orient Express

Venice Simplon Orient Express adalah perkhidmatan kereta penumpang jarak jauh yang diwujudkan pada tahun 1883 oleh Compagnie Internationale des Wagons-Lits (CIWL).

Uniknya, kereta api ini dibina menghubungkan 2 ibu negara iaitu Istanbul, Turki dengan Paris, Perancis serta merentasi beberapa negara lain dengan laluan yang sering berubah-ubah mengikut peredaran masa.

Kereta api klasik ini dibina dengan cukup mewah lengkap dengan perkhidmatan terbaik khusus demi menjaga keselesaan penumpangnya ketika menjalani satu perjalanan dalam tempoh yang panjang.

 

#7. The Royal Scotsman

Belmond Royal Scotsman adalah kereta api mewah di Scotland yang mula beroperasi pada tahun 1985 serta menghubungkan beberapa wilayah lain di Britain.

Menariknya, kereta api ini menyediakan spa kepada penumpangnya selain perkhidmatan lain untuk membuatkan para penumpangnya selesa dan gembira.

 

#8. The Imperial Russia

Kereta api yang menghubungkan negara Rusia dengan China antara yang termewah dinaiki oleh penumpang yang berduit dan juga ahli politik.

The Imperial Russia hanya beroperasi beberapa kali dalam setahun dengan perjalanan yang telah ditetapkan.

Kereta api ini dihiasi dengan lampu  chandelier mahal yang cukup cantik, karpet merah dan tempat duduk istimewa bak seorang raja dan permaisuri.

 

#9. The Eastern & Oriental Express

Tidak terlepas juga, terdapat kereta api mewah di negara kita yang menghubungkan laluan dari Singapura, Malaysia hingga ke Thailand.

Kereta api ini dikendalikan oleh Belmond Ltd. dengan perjalanan beberapa kali sebulan sepanjang tahun.

Selain ruang kereta api yang selesa buat para penumpang, kereta api ini turut menyediakan perpustakaan, kedai cenderamata, tempat makan yang selesa dan piano.

 

;