Kolam Pancing RM3 Je? Serius Rugi Kalau Korang Tak Datang Sini!

TRAVEL
January 11, 2022 - 09:28 AM


Kalau sebut soal memancing mesti ramai kaki pancing dah mula menggigil nak tarik joran dan ikan besar, kan? Maklumlah dah lama kita semua terkurung gara-gara PKP disebabkan penularan Covid-19.

Jika anda seorang pemancing dan dalam masa sama nak merasai suasana percutian dengan membawa keluarga serta anak-anak, tak perlu pergi jauh kerana di Selangor ada 2 lokasi best untuk anda kunjungi.

Bayangkan anda dapat melepaskan gian memancing di kolam pancing paling popular di Selangor kerana bayarannya yang sangat murah iaitu hanya RM3 sahaja -- kemudian anda sambung pula bawa keluarga bercuti dan menginap di rumah rakit yang mana anda juga boleh teruskan memancing. Syok kan!

KOLAM PANCING RM3 JUGRA

Jom mulakan percutian memancing anda bersama keluarga dengan berkunjung ke Kolam Pancing RM3 Jugra.

Perjalanan dengan memandu kereta dari Kuala Lumpur ke kolam pancing tersebut hanya mengambil masa sejam.

Setibanya di kolam pancing itu, anda hanya perlu membayar semurah RM3 untuk tiket masuk dan jika anak-anak serta isteri juga tiba-tiba ingin merasai pengalaman memancing -- anda boleh menyewa joran untuk mereka dengan kadar RM10 bagi sebatang joran.

Umpan turut dijual di kolam tersebut di mana terdapat 2 jenis umpan iaitu ikan kembong dan udang hidup.

Paling best di kolam pancing itu juga pekerja mereka boleh membantu anda untuk mengikat umpan dan segala setting yang diperlukan sebelum memulakan aktiviti memancing.

Jadi Kolam Pancing RM3 Jugra ini memang sesuai sekali kepada para pemancing baru yang mahu berjinak-jinak dengan 'dunia hanyir' ini.

Selesai segala joran serta peralatan memancing, anda bersama keluarga kemudian boleh sahaja terus masuk ke beberapa kolam pancing yang disediakan dan jangan risau tentang isu keselamatan, memandangkan kolam tersebut sememangnya cukup luas bagi mematuhi penjarakan fizikal yang sudah menjadi norma baharu kita ketika ini.

Tetapi diingatkan di kolam pancing ini setiap ikan yang telah dipancing tidak boleh dilepaskan kembali dan ikan tersebut boleh anda beli mengikut harga tertentu.

Di sini terdapat pelbagai jenis ikan seperti Siakap, Kaci, Jenahak dan Kerapu.

Berikut harga ikan yang boleh dibeli mengikut timbangan berat :-

SIAKAP = RM19 / KG

KACI = RM30 / KG

JENAHAK = RM35 / KG

KERAPU = RM50 / KG

Meskipun di kolam ini disediakan beberapa pondok berbumbung untuk anda berteduh ketika menunggu ikan makan, tetapi adalah lebih baik sekiranya anda memakai topi memandangkan banyak lokasi lubuk ikan tidak hanya tertumpu di hadapan pondok tersebut sahaja.

Jika anda dahaga atau lapar, tidak perlu bimbang kerana di kolam itu ada sebuah kedai kecil yang menjual air dan beberapa jenis snek untuk kudapan sementara menunggu ikan terkena umpan.

Kolam pancing itu juga menyediakan perkhidmatan untuk menyiang ikan yang berjaya dipancing dan ingin dibawa pulang oleh pelanggan. Best, kan...senang boleh terus masak nanti!

Lokasi: No.164, Jalan Tanah Pinggir, Kampung Bandar, 42700 Banting, Selangor
Waktu Operasi: Buka Setiap Hari Termasuk Cuti Umum (8 Pagi - 7 Malam) 
Bayaran Masuk: RM3 / Sewa Joran RM10 / Umpan RM 0.50 - RM2
Waze: Kolam Pancing RM3 Jugra, Banting
No Tel: 012-303 5164
Facebook: Kolam Pancing RM3 Jugra

RUMAH RAKIT BAGAN LALANG

Dah puas memancing ikan di Kolam Pancing RM3 Jugra, anda seterusnya boleh membawa keluarga menginap di Rumah Rakit Bagan Lalang yang mengambil masa sejam perjalanan dari kolam pancing berkenaan.

Selalu bawa keluarga menginap di hotel, resort, chalet dan homestay je kan...kali ni apa kata sesekali bertukar angin dengan bawa keluarga merasai pengalaman bermalam di rumah rakit pula!

Sambil tu anda pun boleh sambung memancing sepanjang malam. Hehehe...

KENAPA RUMAH RAKIT BAGAN LALANG?

Ini kerana Rumah Rakit Bagan Lalang yang anda boleh naik bot dari Jeti Sirip Biru menyediakan rumah rakit yang lengkap dengan segala peralatan memasak. Jadi anda hanya tinggal bawa bahan-bahan masakan untuk bercuti ke sana!

Di sini terdapat 2 jenis rumah rakit iaitu setingkat dan 2 tingkat, manakala ia boleh memuatkan antara 7 hingga 20 orang.

Harga sewa untuk Rumah Rakit Bagan Lalang ini pula antara RM400 hingga RM600 semalam, bergantung kepada jenis dan jumlah kapasitinya.

Di rumah rakit ini segala keperluan asas telah disediakan :-

- Air bersih 400 galon (mandi & memasak)

- Generator

- Point plug untuk cas peralatan elektronik

- Kolam umpan hidup (oksigen tidak diperlukan)

- Bilik Tidur (tilam, bantal, kipas angin)

- Dapur memasak

- Peralatan dapur & pinggan mangkuk

- Set BBQ (arang disediakan)

- Tandas

- Kawasan berpagar (selamat untuk bawa anak kecil)

Sampai sahaja di rumah rakit, dengan ikan yang ditangkap di Kolam Pancing RM3 Jugra tadi anda boleh terus bakar dan nikmatinya bersama keluarga untuk makan malam.

Kalau masih tak mencukupi, jangan risau kerana di rumah rakit ini juga anda boleh memasak di dapur gas atau nak buat barbeku secara beramai-ramai pun onz sebab turut disediakan set BBQ siap dengan satu beg arang.

Pada waktu malam di kala anda masih gian memancing tetapi anak-anak sudah mulai keletihan, mereka boleh tidur dengan selesa di bilik yang disediakan lengkap tilam, bantal dan kipas.

Jangan risau untuk pergi dan balik dari rumah rakit ini, anda dan keluarga akan dibawa menaiki bot dari Jeti Sirip Biru tanpa sebarang caj dikenakan.

Selepas menginap di rumah rakit berkenaan, ada banyak lagi aktiviti lain yang boleh dilakukan di sekitar lokasi tersebut antaranya River Cruise dan makan tiram laut segar.

Bagi mengetahui segala info mengenai aktiviti tersebut, anda boleh baca di artikel terdahulu Rileklah : Nak Bercuti Sana Sini Sesak? Jangan Risau, Bagan Lalang Ada 5 Aktiviti Best Untuk Korang 'Weekend Getaway'!

Lokasi: Jalan Kijeng, Kampung Bagan Lalang, 43950 Sungai Pelek, Selangor
Waktu Operasi: Buka Setiap Hari (9 Pagi - 10 Malam) 
Waze: Jeti Sirip Biru
No Tel: 010-610 7777
Facebook: Jetty Sirip Biru One Stop Fishing Centre

Nak tonton video penuh trip pancing ini bersama Rileklah, korang boleh enjoy video di bawah. Untuk lebih banyak video travel yang best boleh tonton di Youtube Channel Rileklah!

Destination: