Ladang Nira Nipah Napiah - Port Wajib Singgah Layan Air Nira Sambil Enjoy View Sawah
TRAVELJika korang bercuti ke Kedah, pastikan korang tak terlepas daripada berkunjung ke sebuah destinasi tarikan pelancongan terbaharu di negeri Jelapang Padi yang terletak kira-kira 20 kilometer sahaja dari bandar Sungai Petani iaitu LADANG NIRA NIPAH NAPIAH!
Lokasinya terletak di Kg. Sungai Pial, Kedah dan ladang yang berkeluasan 0.5 hektar ini selain menjadi lokasi kegemaran penggemar air nipah -- ramai juga yang telah jatuh cinta dengan tempat tersebut yang kini semakin terkenal dengan keindahan pemandangan sawah padi terbentang luas serta berlatarbelakangkan kehijauan Gunung Jerai.
Pemilik Ladang Nira Nipah Napiah, Mohd. Hanafiah Yahya berkata ladang berkenaan menawarkan pengalaman berbeza kepada para penggemar air nira sejak ia mula beroperasi pada awal tahun lalu.
Jika ke sini para pengunjung berpeluang merasai sendiri pengalaman menikmati kesegaran air nira di bawah rimbunan daun pohon nipah, selain boleh melihat pokok nipah serta mempelajari proses mengumpul air nipah daripada tandan buahnya.
Air nira nipah sangat popular dalam kalangan masyarakat di utara tanah air sebagai minuman pembasah tekak ketika musim kemarau.
Buat masa ini, ladang berkenaan memiliki sekitar 100 batang pokok nipah yang mampu menghasilkan antara 20 hingga 25 liter air nira sehari serta berkapasiti seramai 150 orang pada satu-satu masa.
Kalau singgah ke sini, korang jangan lepaskan peluang untuk merasai sendiri keenakan air nira segar yang berharga RM3 segelas.
Selain air nira, pengunjung juga boleh menikmati beberapa hidangan istimewa di ladang berkenaan seperti mi udang, nasi goreng udang, nasi goreng ayam dan char kuetiau.
Hidangan berkenaan boleh diperoleh pada harga bermula RM5 hingga RM18.
Selain pengalaman menikmati air nira dalam ladang nipah, tarikan utama ladang tersebut terletak kepada keindahan pemandangan sawah padi serta Gunung Jerai.
Tambah menarik, di tengah-tengah ladang tersebut terdapat sebuah kolam kecil yang boleh diterokai oleh pengunjung menggunakan sampan.
Ramai pengunjung yang menghabiskan masa antara 2 hingga 3 jam di lokasi itu bagi menikmati suasana ketenangan desa dan sawah padi di sini, bahkan ada juga yang tak melepaskan peluang untuk bergambar cantik bagi dimuatnaik ke dalam laman media sosial masing-masing.
Jadi, korang yang ada perancangan untuk bercuti ke Kedah nanti jangan lepaskan peluang berkunjung ke Ladang Nira Nipah Napiah ini okay!
Sumber: Kosmo & Kredit Gambar: FB Mamamea Beauty Houz