Mula Dibuka Kepada Pendaki Dengan Beberapa Peraturan Baharu
Selepas hampir setahun ditutup akibat gempa bumi, akhirnya hari ini (14 Jun 2019) Gunung Rinjani secara rasmi dibuka semula kepada para pendaki dalam dan luar negara.
Gunung berapi aktif yang menjadi salah satu tarikan pelancongan di Lombok, Indonesia ini ditutup untuk kunjungan orang ramai selepas berlaku kejadian gempa bumi kuat pada Ogos 2018.
Pembukaan semula laluan pendakian ke Gunung Rinjani dibuat selepas pihak berkuasa Indonesia menjalankan lebih 5 kali sesi pemantauan dari segi keselamatan dan keamanan di kawasan tersebut.
Malah, keputusan itu turut dilakukan selepas mengambil kira faktor ekonomi masyarakat setempat di kawasan Gunung Rinjani yang bergantung kepada pendapatan hasil daripada aktiviti pendakian dan pelancongan.
Lebih-lebih lagi, selepas mereka dilanda gempa bumi yang mengakibatkan kemusnahan tempat tinggal dan harta benda serta memerlukan sumber kewangan bagi membina semula kehidupan di situ.
Meskipun Gunung Rinjani sudah mula dibuka, namun terdapat beberapa peraturan baharu yang ditetapkan pihak berkuasa Indonesia.
Antaranya, pendaki hanya dibenarkan mendaki hingga ke Pelawangan dan bukannya sampai ke puncak Rinjani dan Danau Segara Anak.
Malah, jumlah pendaki Gunung Rinjani juga dihadkan dengan kuota hanya 500 orang untuk setiap hari melalui 4 laluan pendakian yang berbeza iaitu laluan Sembalun di Lombok Timur, Senaru di Lombok Utara, Aik Berik di Lombok Tengah dan Timbanuh di Lombok Utara.
Kuota pendakian tersebut juga adalah termasuk porter dan pemandu pelancong.
Selepas ini setiap pendaki yang naik dan turun ke Gunung Rinjani akan diambil butiran maklumat dan data mereka serta diberikan tiket bagi mengelakkan golongan pendaki haram.
Jadi kepada yang berminat untuk mendaki Gunung Rinjani, korang boleh membeli tiket secara online melalui e-Rinjani yang telah mula dibuka sejak Rabu lepas atau memuat naik aplikasi tersebut di Playstore.
Tiket untuk pendaki luar negara adalah sebanyak 150,000 Rupiah atau RM44 sahaja.
Sumber: Tempo.co