Muzium Aiskrim Singapura Bakal Dibuka Ogos Ini
TRAVELSekiranya penularan kes Covid-19 dah kembali pulih dan kita juga dibenarkan semula untuk melancong ke luar negara, mungkin ramai yang akan memilih negara-negara jiran seperti Singapura, Indonesia atau Thailand yang agak berdekatan sebagai destinasi percutian.
Jika anda memilih untuk bercuti ke Singapura, anda boleh singgah ke sebuah tarikan pelancongan baharu mereka yang akan mula dibuka pada Ogos ini iaitu MUZIUM AISKRIM di Dempsey.
Ia merupakan Muzium Aiskrim pertama yang dibuka di luar Amerika Syarikat.
Apa yang menariknya, meskipun bergelar muzium namun anda tidak akan menemukan sebarang pameran atau susunan barang-barang antik atau artifak.
Sebaliknya yang ada di Muzium Aiskrim tersebut adalah permainan dan hiasan moden bertemakan warna pink dan warna-warni pelangi, serta sangat cantik untuk dijadikan sebagai background bergambar di Instagram!
Muzium Aiskrim seluas 60,000 kaki persegi itu mempunyai 14 tarikan utama yang disediakan khas untuk para pengunjung terutama golongan kanak-kanak.
Antara yang menarik adalah 'hutan' yang diisi dengan 10,000 pisang dan kolam taburan hiasan aiskrim berwarna-warni yang terbesar setakat ini.
Jika ke sini nanti anda tidak perlu risau kerana pihak pengurusan muzium bakal memastikan pematuhan kebersihan dan jarak selamat bagi keselamatan para pengunjung.
Kapasiti muzium tersebut boleh memuatkan maksimum 200 pengunjung pada satu-satu masa.
Muzium yang mula ditubuhkan di New York pada tahun 2016 ini sering mendapat sambutan hangat daripada pengunjung apabila tiketnya habis terjual dengan sangat cepat di Los Angeles,San Francisco dan Miami.
Sama keadaannya di Singapura, walaupun muzium itu hanya mula dibuka 2 bulan lagi namun tiketnya telah habis terjual dalam tempoh hanya 48 jam, menerusi tempahan secara online di laman web muzium berkenaan.
Tiket dijual bermula dari $38 atau RM118 seorang di laman web ini.
Muzium Aiskrim ini beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 9 malam pada hari Khamis hingga Ahad.
Sumber: The Straits Times & Kredit Gambar: MUSEUM OF ICE CREAM SG