Nak Bercuti Ke Cambodia? Baca Dulu 8 Tips Menarik Ini!

September 11, 2019 - 02:09 PM


Kemboja atau lebih dikenali sebagai Cambodia terkenal dengan kuil Angkor Wat yang popular sebagai lokasi penggambaran filem Tomb Raider lakonan Angelina Jolie.

Banyak lokasi-lokasi dan peninggalan purba yang menjadi tarikan pelancongan eksotik di Kemboja seperti Siem Reap, tasik Tonle Sap dan pantai Koh Rong menyebabkan ia menjadi pilihan percutian pelancong antarabangsa termasuk dari Malaysia.

Jika anda dan keluarga atau rakan-rakan ada perancangan untuk berkunjung ke Kemboja, ini beberapa tips yang perlu anda tahu sebelum bercuti ke sana nanti.

 

1. Kemboja menggunakan dua mata wang

Riel adalah mata wang rasmi Kemboja, tetapi anda juga akan menggunakan USD. Kebanyakan tempat mengenakan harga dalam USD, bagaimanapun, kaedah pembayaran dibuat dalam  Riel. Jangan risau, ini adalah perkara biasa.

Mesin ATM di Kemboja mengeluarkan kedua-dua mata wang USD dan Riel, tetapi mesin ATM asing tidak mengeluarkan Riel.

Tips: Nak ketahui nilai tukaran mata wang semasa anda di sana, disarankan untuk guna aplikasi XE Currency Converter. Mudah dan cepat!

 

2. Ladang Lada Kampot

Kemboja sangat terkenal dengan penanaman Lada Kampot atau digelar 'emas hitam' oleh masyarakat tempatan. Ia merupakan rempah dengan rasa yang unik dan mendapat permintaan tinggi daripada negara Kesatuan Eropah.

Rugi kalau ke Kemboja dan anda tidak mencuba sendiri rempah wangi dan harum ini yang mempunyai rasa manis yang halus serta mampu merangsang deria lidah anda.

Ada 3 ladang popular yang boleh anda singgah untuk merasai Lada Kampot ini iaitu di:

- La Plantation
- Sothy's Farm
- The Vine Retreat


 

3. Bioluminescent Plankton di Koh Rong


Nak rasa terpukau seperti dalam adegan filem Avatar yang dihiasi warna-warni menarik di sekeliling anda?

Anda boleh rasai sendiri pengalaman mempesonakan itu dengan melawat pantai Koh Rong di Kemboja. Ini kerana pantai itu mempunyai plankton bioluminescent yang memancarkan cahaya biru berkilat di lautan.

Perjalanan bot berharga sekitar 10 USD dan anda boleh berpeluang berenang di laut yang bercahaya umpama sedang berada di dunia Avatar. Hehehe...

 

4. Gelongsor Air Sungai


Terletak di perkampungan Snam Brampi, Kampot terdapat suatu tempat penginapan yang menjadi kegemaran backpackers kerana turut dilengkapi cabaran gelongsor air yang meluncur dari udara terus masuk ke dalam sungai! 

Arcadia Backpacker ini juga menawarkan aktiviti pendakian, ping pong, kolam renang dan buaian untuk bersantai. Penginapan antara USD5 untuk katil asrama hingga USD17 untuk bilik peribadi.

Tips 1: Sebelum cuba gelongsor air di sini cuba sudutkan badan anda dengan betul atau tengok dahulu cara-cara untuk slide di situ, kerana kalau tak kena gaya dan cara yang betul boleh mengakibatkan gegendang telinga pecah!

Tips 2: Di Arcadia Backpacker, mereka hanya menerima wang tunai dan tiada ATM berdekatan. Jadi pastikan anda mempunyai wang berbentuk tunai ya!

 

5. Waspada dengan taktik penipuan guna susu bayi

Kalau anda berjalan-jalan melalui Pub Street di Siem Reap, sila berhati-hati sekiranya didekati oleh seorang wanita yang menggendong anak kecil sambil merayu membelikan susu tepung dengan berkata "Bayi saya lapar"!

Ramai yang mendakwa bahawa ia adalah scam yang menipu pelancong kerana setelah dibelikan susu bayi di minimart berdekatan, wanita tersebut akan mengembalikannya semula ke kedai yang bersekongkol untuk ditukar kepada bentuk wang.

 

6. Melancong Naik Tuk Tuk 

Tuk Tuk merupakan sebuah perkhidmatan pengangkutan awam yang terkenal di Kemboja sama seperti di Thailand.

Teksi motosikal ini menjadi nadi pengangkutan untuk bergerak dari satu destinasi ke destinasi yang lain, jadi tak hairanlah kalau di Phnom Penh sahaja terdapat lebih 6,000 Tuk Tuk beroperasi, begitu juga di Siem Reap dan Battambang.

 

7. Menaiki Kereta Api Buluh

Jika anda sampai ke Battambang, Kemboja, anda perlu menaiki kereta api buluh yang unik ini.

Rugi sekiranya anda tak merasai pengalaman yang luar biasa ini meskipun mungkin agak kurang selesa kerana di kawasan ini sahaja yang masih menawarkan perkhidmatan pengangkutan sebegini.

 

8. Amok, Hidangan Wajib Cuba di Kemboja

Kalau Vietnam dan Thailand makanan tradisi mereka sememangnya popular di kalangan pelancong antarabangsa termasuk kita di Malaysia. Tapi kalau sebut hidangan tradisi Kemboja pasti ramai yang tidak mengetahuinya, kan?

Bagi yang pertama kali jejak Kemboja, mungkin anda boleh cuba memesan 'Amok' ikan atau daging yang diperbuat daripada air kelapa segar serta Kroeung iaitu pes kari Khmer yang menggunakan bahan seperti serai, akar kunyit, bawang putih, bawang merah, lengkuas dan halia. Rupanya seakan lauk kari kita tetapi tidak begitu pedas.

Kebanyakan restoran mewah di Kemboja menghidangkan Amok di dalam daun pisang dan boleh dimakan bersama nasi.

P/S: Diharap dengan 8 tips ini, segala urusan pelancongan anda di Kemboja nanti akan lebih mudah, lancar & menyeronokkan. Selamat bercuti!

 

 

 

Destination: