Nak Bergambar Cantik Dengan Jerami Padi? Korang Kena Mai Yan, Kedah!

TRAVEL
February 18, 2020 - 12:37 PM


Siapa sangka ketibaan musim kemarau yang melanda negeri di utara Semenanjung Malaysia boleh mendatangkan rezeki berganda kepada penduduknya meskipun mereka tidak dapat mengusahakan tanaman padi seperti biasa.

Hasil kreativiti dengan hanya menggunakan gulungan jerami padi, beberapa penduduk di Kampung Kuala Dulang Yan Kechil di Yan, Kedah telah merubah kawasan bendang yang kering-kontang menjadi sebuah lokasi tarikan pelancongan serta tempat untuk bergambar cantik berlatar belakangkan keindahan Gunung Jerai.

Jika korang ada perancangan bercuti ke mana-mana negeri di utara, jangan lepaskan peluang untuk singgah ke kampung tersebut dan rakamkan kenangan manis yang jarang didapati di tempat lain.

Kawasan jerami gulung ini mempunyai keluasan 1.1 hektar dengan susunan 24 gulung jerami padi untuk dijadikan props bergambar buat pengunjung.

Di sini juga disediakan tapak untuk parkir kenderaan bagi pelancong yang datang dan ianya percuma.

Disebabkan kunjungan pelancong yang bertali arus hingga mencecah antara 300 dan 400 orang apabila menjelang cuti hujung minggu, penduduk kampung di situ turut berniaga makanan, minuman dan kuih tradisional setiap petang.

Selain menjamu selera dan melakukan sesi penggambaran, di sini juga korang boleh melakukan aktiviti menunggang kuda dengan bayaran RM5 seorang pada jam 5.30 petang hingga 7.30 malam setiap hari, selain perkhidmatan kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan (ATV) dengan caj RM1 seminit seorang.

Sejak dibuka pada bulan lalu, ribuan pengunjung telah ke kampung tersebut seperti dari Perak, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Jadi bagi yang belum berkesempatan untuk ke sini korang hanya ada masa hingga Mac nanti kerana bermula April air akan dilepaskan ke dalam sawah untuk proses penanaman padi, manakala jerami padi akan diberikan kepada haiwan ternakan sebagai makanan.

Sumber: Berita Harian 

Destination: