Penang Bakal Miliki Tarikan Pelancongan Baru, Guna 5 Feri Lama Yang Diubah Suai

JALAN-JALAN
June 22, 2021 - 03:00 PM


Selepas ini kalau korang bercuti ke 'Pulau Mutiara', jangan lepaskan peluang untuk menikmati peluang menjamu selera di restoran terapung yang menggunakan feri ikonik lama Pulau Pinang.

Ini kerana 5 buah feri Pulau Pinang bakal diserahkan kepada syarikat yang berkelayakan mulai 1 Julai ini untuk diubah suai menjadi sebuah muzium terapung, dua feri pelancongan dan dua restoran terapung.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng dalam satu kenyataan di laman Facebook mereka.

“Banyak cadangan telah diterima pada 19 Mac. Setelah dinilai oleh beberapa jawatankuasa SPPP, Mesyuarat Lembaga Pengarah SPPP pada pertengahan bulan Jun telah meluluskan syarikat yang berkelayakan untuk mengubah suai dan mengendali lima feri ikonik...SPPP dan syarikat yang berjaya akan menandatangani kontrak untuk tempoh 10 tahun dengan opsyen disambung selama 5 tahun lagi,” katanya.

Tan berkata syarikat-syarikat berkelayakan diberi tempoh tiga hingga enam bulan untuk memperbaiki dan mengubah suai feri-feri ikonik tersebut sebelum beroperasi sebagai pendorong sektor pelancongan di Pulau Pinang.

Beliau berkata sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan, pihaknya akan mengadakan majlis penyerahan feri-feri berkenaan pada 1 Julai manakala jika PKP dilanjutkan, penyerahan tetap diadakan tetapi secara dalam talian.

"Misi utama SPPP sekarang adalah memastikan lima buah feri ikonik ini terus muncul di perairan Pulau Pinang. Saya percaya feri-feri ini akan menjadi produk pelancongan yang penting dan tempat percutian menarik di Pulau Pinang,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Destination: 
Artikel berkaitan