Jom Naik Feri Pulau Pinang Yang Baru! Percuma Selama Sebulan Mulai 7 Ogos!

TRAVEL
August 02, 2023 - 02:55 PM


Berita gembira buat warga Pulau Pinang dan juga pelancong yang sedang bercuti ke Pulau Mutiara ketika ini.

Bermula semalam (7 Ogos 2023) -- penumpang boleh menikmati perkhidmatan feri ulang-alik yang lebih canggih dari Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) Georgetown ke Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) di Butterworth secara PERCUMA selama SEBULAN!

Tawaran menarik itu diberikan sempena ketibaan 4 feri baharu di Pulau Pinang dan pihak Penang Port Sdn Bhd akan mengambil masa empat minggu sebagai tempoh percubaan untuk menjalankan pelbagai latihan.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke -- latihan berkenaan turut membabitkan pengemudi feri dan pada masa sama, Jabatan Laut akan melakukan pentauliahan terhadap keempat-empat feri.

"Perkhidmatan feri baharu ini akan mula beroperasi pada 7 Ogos dari jam 6 pagi hingga 8.30 malam, manakala kekerapannya pada waktu kemuncak ialah setiap 30 minit dan masa yang diambil untuk perjalanan sehala ialah 10 minit.

"Apabila ia mula beroperasi pada 7 Ogos nanti, semua penumpang termasuk bukan warga negara boleh menikmati perkhidmatan feri ini secara percuma selama sebulan," katanya kepada pemberita ketika meninjau feri terbabit di Pulau Pinang.

Dari segi kapasiti -- feri itu mampu memuatkan 150 penumpang pejalan kaki serta 50 penumpang bermotosikal dan berbasikal pada satu-satu masa.

3 feri akan beroperasi setiap hari, manakala sebuah lagi diletakkan dalam keadaan bersiap sedia.

Feri tersebut dibangunkan dengan konsep baharu serta dilengkapi ciri keselamatan seperti kamera litar tertutup.

Ditanya mengenai kadar tambang bagi perkhidmatan itu, Loke berkata ia akan diumumkan kemudian selepas mengadakan perbincangan serta mencapai kata sepakat dengan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan kadar tambang yang akan ditetapkan kelak adalah berpatutan.

Sumber: BERNAMA

Destination: