Pulau Bum Bum Tapak Selaman Makro Pertama Di Malaysia

September 25, 2019 - 01:03 PM


Siapa dekat sini yang minat dengan aktiviti menyelam dan suka ambil gambar hidupan marin?

Kalau ya, korang wajib berkunjung ke Pulau Bum Bum di Semporna, Sabah kerana pulau tersebut kini dijadikan sebagai Tapak Selaman Makro yang pertama di Malaysia.

Pemilihan Pulau Bum Bum sebagai produk pelancongan saintifik adalah kerana lokasi itu sangat kaya dengan kepelbagaian hidupan marin bersaiz kecil dan unik yang menjadi kegemaran para penyelam antarabangsa.

Pejabat Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Sabah bekerjasama dengan Pusat Penyelidikan Ekosistem Marin (Ekomar) Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi menyediakan profil biodiversiti marin di Pulau Bum Bum.

Sebanyak 14 tapak selaman telah diteroka dan 8 daripadanya telah dipetakan sebagai lokasi berpotensi bagi penyelaman makro.

Dengan penemuan lokasi-lokasi ini, ia secara tidak langsung membuka satu lagi keunikan aktiviti merakam imej dan video dasar laut iaitu menggunakan kamera bersama lensa makro khusus bagi menghasilkan imej dengan nisbah pembesaran 1:1.

Ini kerana ada antara kehidupan marin bersifat mikro ini bersaiz kecil dan halus sekitar 0.05 hingga 5 sentimeter (sm) iaitu lebih kecil daripada bijirin menyebabkan ia tidak dapat dilihat oleh penyelam.

Banyak kehidupan marin yang menarik datang dalam saiz sangat kecil yang memerlukan kesabaran dan tumpuan selain peralatan yang khusus untuk merakam visual hidupan mikro ini.

Sememangnya ia merupakan aktiviti yang mencabar memandangkan saiz hidupan mikro ini agak sukar untuk dilihat.

Selain itu, ketahanan mental juga memainkan peranan penting kerana kawasan agak berlumpur pada waktu malam selain terpaksa membawa pelbagai peralatan serta bekalan oksigen yang terhad.

Walau bagaimanapun, dapat melihat beribu-ribu hidupan makro yang amat jarang ditemukan memberi kepuasan kepada penyelam.

Antara hidupan makro yang boleh ditemui di Pulau Bum Bum adalah pelbagai jenis sotong seperti flamboyant, popcorn, bobtail, papuan dan pygmy cuttlefish.

Selain itu, pelbagai jenis nudibranch (seaslugs) seperti Melibe and Thecacera pacifica atau lebih dikenali sebagai Pickachu serta ribuan udang rangka yang amat jarang ditemui di lokasi-lokasi lain juga dapat ditemui di sini.

Dengan penemuan lokasi tapak selaman makro ini, Semporna tidak lagi dikenali sebagai lokasi transit pelancong yang hendak ke Pulau Sipadan, tetapi Pulau Bum-Bum juga bakal menjadi lokasi pelancongan saintifik marin kepada saintis dan penyelam makro.

Ia sekali gus mengangkat Sabah sebagai antara tapak selaman makro yang terkenal di dunia!

Sumber: Utusan

 

Destination: