Ranu Kumbolo – ‘Syurga’ Di Kaki Gunung Semeru

June 11, 2019 - 12:40 PM


Pertama kali dengar nama Ranu Kumbolo ini sebenarnya melalui sebuah filem Indonesia pasal mendaki gunung bertajuk 5cm lakonan Fedi Nuril, Raline Shah, Pevita Pearce dan lain-lain.

Dalam filem berkenaan, mereka semuanya 5 sekawan dan sangat akrab. Nak dijadikan cerita, untuk ‘mencari’ erti persahabatan tu, diorang cuba nak tawan Puncak Mahameru atau dikenali dengan Gunung Semeru.

Semasa dalam perjalanan inilah mereka singgah di satu kawasan tasik yang sangat cantik, sangat indah, mendamaikan dan susah nak digambarkan dengan perkataan. Iyelah, bayangkan dah menempuh macam-macam masalah, penat, dahaga, tiba-tiba ibarat satu ‘syurga’ di depan mata.

Ranu Kumbolo – inilah tempat yang diorang singgah dan ianya wujud. Sememangnya Ranu Kumbolo adalah ‘base-camp’ untuk mereka yang berhajat nak tawan Gunung Semeru yang turut dikenali sebagai Mahameru, berketinggian 3,676 meter.

Nama Ranu Kumbolo ni sebenarnya bukanlah nama asing dalam komuniti pendaki yang hobi mereka mendaki gunung. Keindahan yang dikatakan tiada duanya ini menyebabkan kawasan ini dikenali sebagai syurga Semeru.

Kalau korang taknak naik Semeru, hiking untuk ke Ranu Kumbolo pun dah boleh kira puas hati sangat. Cuma, kalau hari minggu atau ada cuti umum di Indonesia, memang ramai lah. Nak diingatkan, kalau sampai di Ranu Kumbolo, ada beberapa peraturan wajib atau pantang larang yang korang kena patuh.

‘Pantang larang’ di Ranu Kumbolo ini sebernarnya bukanlah berkait dengan alam mistik dan sebagainya, cuma kita kena patuh dan ikut untuk mengekalkan keindahan ‘syurga’ ini.

 

#1. Tempat Pacak Khemah

Disebabkan Ranu Kumbolo ni adalah tempat persinggahan favourite ramai hikers, tapi bukan bermaksud boleh main pacak je khemah untuk bermalam disini. Kalau diperhatikan, memang banyak kawasan lapang atau tanah lapang yang boleh dinaikkan khemah, cuma ada dua lokasi sahaja yang biasa dijadikan ‘port’ iaitu di savanna (pos empat) turun ke bawah dan di sekitar shelter di balik bukit Ranu Kumbolo.

Selain daripada dua tempat ni, tidak boleh pacak khemah okay? Sebabnya, tanah sekitar Semeru terutamanya di Ranu Kumbolo ni dianggap sakral ataupun suci oleh penduduk sekitar.

 

#2. Tidak Boleh Berenang Di Tasik / Danau

Kalau disana, air di Ranu Kumbolo ni sememangnya jernih dan sanggat menggoda kita untuk terjun atau setidaknya buatkan kita teringin nak celup kaki. Kalau ada niat nak mandi manda hora horey disini, diminta simpan niat tersebut.

Bukan sebab mitos atau suci dan sebagainya; ia lebih kepada keselamatan korang sendiri. Pertama, suhu di tasik ini tak menentu. Ditambah pula dengan kedalaman sehingga 28 meter. Risau ada yang tetiba kejang kaki ke, lemas ke, dah menjadi masalah lain pulak.

Dengar cerita, ramai jugak yang ‘tewas’ dekat sini. Tapi, kalau korang tengok filem 5cm tu, selamber je diorang mandi. Cuma, perbuatan diorang ni salah dan pihak TMTS ada menegur produksi filem 5cm ni. 

 

#3. Jarak ‘Pacak’ Khemah

Jarak khemah korang dinaikkan juga sangat dititikberatkan disini. Jarak yang dimaksudkan adalah jarak antara khemah dan tasik.

Untuk menjaga tasik ini daripada tercemar, dan mungkin juga faktor keselamatan (takut ada yang sleepwalking) – khemah dilarang sama sekali untuk dinaikkan berdekatan dengan tasik. Jarak minimum yang dikenakan adalah 15 meter dari permukaan tasik.

Selain jarak khemah, pendaki dilarang sama sekali untuk memberi ikan makan dan membuang sampah kedalam tasik.

 

#4. Cuci Pinggan Mangkuk

Tolong jangan jadi insan tak bertanggungjawab. Awak tu bawak nama Malaysia. 

Jangan disebabkan korang berada di kawasan tasik, korang pun bedal basuh pinggan dalam tasik berkenaan. Jangan! Perbuatan ni boleh mencemarkan dan mengotorkan tasik tersebut.

Sebagai alternatif, korang boleh gali lubang untuk kambus sisa makanan dan basuh bekas makanan di lubang berkenaan. Syaratnya – 15 meter dari kawasan tasik. Buang sisa makanan dan sampah ke dalam lubang tersebut dan kambus. TAPI, kalau plastik, minta dikumpulkan dahulu. Turun atau bawak balik untuk dibuang ke tempat sepatutnya.

 

#5. Mandi Dan Buang Air

Biasanya, ramai akan korek lubang dan kambus. Hehe. Old-skool kan? Janganlah korang risau. Di Ranu Kumbolo ni dah disediakan tandas untuk membuang dan untuk kegunaan korang untuk mandi.

Biasanya, tak ramai akan mandi sebab sejuk. Paling-paling pun lap badan atau basuh muka nak bagi segar je.

 

#6. Tak Boleh Nyalakan Unggun Api

Kredit Foto : Star2

Bila dah camping ramai-ramai, salah satu ‘ritual’ yang dibuat adalah nyalakan unggun. Kena pulak dengan keadaan sejuk di sekitar Ranu Kumbolo ni, memang korang akan nak jugak buat unggun.

Malangnya, korang tidak dibenarkan membuat unggun. Dilarang oleh pihak berkuasa sana. Tapi, diorang bukanlah zalim sangat. Diorang ada sediakan unggun yang kena ‘kongsi’ ramai-ramai. Maksudnya, semua yang ada di situ kena kongsi satu unggun sahaja.

Sebab yang dinyatakan adalah tumbuh-tumbuhan dekat situ dah menipis. Jadi kalau korang tebang lagi pokok semata untuk dijadikan unggun, habislah tumbuhan dekat sana. Jadi, sebagai ganti, diorang (Pihak Taman Negara Nasional Bromo Tengger Semeru) akan bawa masuk kayu dari luar dan buatkan unggun untuk korang berkongsi.

Sambil-sambil tu, kenal-kenalah dengan traveller lain. Mana tahu jumpa jodoh. Eh!


Pilihan Editor

Destination: