Tasik Biru, Bukit Ibam - Satu Lagi 'Hidden Gem' Rompin Selain Ikan Layaran & Udang Galah

TRAVEL
September 10, 2020 - 03:30 PM


Selain terkenal sebagai destinasi pelancongan untuk memancing ikan layaran dan menikmati kelazatan udang galah -- Rompin, Pahang kini mempunyai satu lagi 'permata tersembunyi' yang semakin menjadi tarikan popular iaitu TASIK BIRU di Bukit Ibam.

Keindahan warna air tasik yang kebiruan seakan warna Turquoise menjadikan lokasi itu sering dipenuhi pengunjung dari serata negara semata-mata untuk melihat sendiri keunikan tasik berkenaan, selain mengabadikan gambar sebagai kenang-kenangan.

Meskipun untuk menikmati pemandangan menakjubkan itu pengunjung terpaksa mendaki bukit yang mempunyai cerun yang agak tinggi, selain menempuhi kawasan terbiar kerana tidak dijaga oleh mana-mana pihak berkuasa -- namun itu semua bukan penghalang untuk mereka merealisasikan keinginan bagi melihat keindahan Tasik Biru!

Kewujudan Tasik Biru dipercayai berpunca hasil tindak balas kimia daripada bijih besi yang menyebabkan tasik itu kelihatan sangat biru dan jernih.

Tasik itu juga sebenarnya adalah bekas lombong bijih besi yang diusahakan pada 1950-an dan dipercayai airnya tidak selamat digunakan untuk sebarang aktiviti, termasuk tiada hidupan akuatik hidup di dalamnya.

Memandangkan Tasik Biru berpotensi untuk menjadi produk pelancongan baharu kepada Rompin, pihak Tourism Pahang dilaporkan sedang dalam perancangan untuk menyediakan pelbagai kemudahan asas di lokasi berkenaan demi keselesaan pengunjung.

Antara kemudahan yang akan diberi keutamaan ialah pembinaan pelantar khas bagi memudahkan pengunjung mengambil gambar dari sudut yang menarik.

Selain, membina papan kenyataan bagi memaparkan maklumat mengenai sejarah terbentuknya Tasik Biru berkenaan untuk pengetahuan orang ramai.

Kesemua kemudahan yang akan dibina itu nanti pastinya bakal mengambil kira semua aspek keselamatan pengunjung, terutama yang membawa anak-anak kecil ke sana.

Malah, 'hidden gem' itu juga akan dimasukkan dalam pakej pelancongan bagi mereka yang merancang ke Rompin tidak lama lagi.

Sumber : Berita Harian

 

Destination: