Vietnam Benarkan Pelancong Asing Bercuti Ke Pulau Phu Quoc Mulai Oktober

JALAN-JALAN
September 10, 2021 - 11:03 PM


Selepas Thailand menjadi antara negara pertama di Asia Tenggara yang mula membuka pintu sempadan negaranya kepada pelancong asing -- kini Vietnam turut memgikut jejak langkah yang sama.

Ini apabila Vietnam memberi 'lampu hijau' kepada pelancong antarabangsa yang telah lengkap divaksinasi serta negatif dalam ujian Covid-19 untuk datang bercuti ke pulau peranginan popularnya iaitu Pulau Phu Quoc menggunakan pesawat sewa atau komersial.

Menurut Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Vietnam, Nguyen Van Hung -- kebenaran untuk melancong ke Phu Quoc dijangka bermula pada bulan Oktober dan bakal melalui tempoh percubaan selama 6 bulan kepada kehadiran pelancong asing.

Pembukaan semula Pulau Phu Quoc adalah salah satu kaedah yang cuba diusahakan Vietnam bagi menghidupkan semula sektor ekonominya yang terjejas teruk susulan sekatan pergerakan berpanjangan akibat wabak koronavirus.

Sebelum ini Vietnam menjadi antara negara terawal di Asia Tenggara yang berjaya mengekang wabak Covid-19 selepas bertindak bijak dengan menutup pintu sempadan negaranya dengan cepat.

Namun sejak 3 bulan kebelakangan ini, angka jangkitan di negara tersebut kembali melonjak disebabkan oleh varian Delta -- namun khuatir dengan ancaman lebih buruk bakal berlaku kepada industri pelancongannya Vietnam akhirnya membuat keputusan untuk memberi kelonggaran pembukaan semula kepada salah satu tarikan pelancongan terkenalnya, Pulau Phu Quoc.

Sumber: Malaysia Gazette

Destination: 
Artikel berkaitan