Wow, Lajunya! Lebih 3,000 Penginapan Ditempah Di Destinasi Pelancongan Pahang

TRAVEL
June 09, 2020 - 05:00 PM


Lebih 3,000 daripada 38,000 bilik penginapan di Pahang ditempah setakat 12 tengah malam 7 Jun lepas, sebaik pengumuman kerajaan membenarkan aktiviti pelancongan domestik menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), bermula esok.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin menerusi Facebooknya berkata jumlah tempahan bilik itu membabitkan lebih 500 hotel, motel, resort, chalet dan homestay.

Katanya, kawasan tanah tinggi, Cameron Highlands menunjukkan perkembangan yang sungguh memberangsangkan dengan pertambahan jumlah tempahan yang mendadak sebaik sahaja rentas negeri dibenarkan oleh kerajaan.

"Sebagai contoh, sebuah hotel di Cameron Highlands menerima lebih 300 tempahan bilik dalam hanya beberapa jam selepas pengumuman kebenaran rentas negeri dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Maklum balas dari Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) cawangan Pahang juga menunjukkan perkembangan yang baik di kalangan ahlinya.

"Selain Cameron Highlands, destinasi lain yang menjadi tumpuan pelancongan seperti Kuantan, Cherating dan Rompin juga mula menerima tempahan daripada pelancong," katanya.

Mohd Sharkar berkata, beberapa hotel terkemuka di Taman Negara juga mula mendapat tempahan walaupun secara tradisinya sebanyak 66 peratus pelancong dari luar negara.

"Oleh itu, agensi pelancongan dan resort perlu menyesuaikan aktiviti dan produk bersesuaian untuk menarik pasaran tempatan.

"Selain itu, kawasan pelancongan Pulau Tioman juga menunjukkan perkembangan positif. Bagaimanapun, aktiviti laut seperti skuba masih belum dibuka.

"Ini agak memberi kesan memandangkan aktiviti ini merupakan produk penting bagi Pulau Tioman," katanya.

Beliau berkata, pusat peranginan Genting Highlands masih belum dibuka memandangkan aktiviti utamanya iaitu taman tema belum boleh dibenarkan beroperasi.

Bagaimanapun, Genting Premium Outlet (GPO) sudah dibuka sebahagiannya.

Keadaan ini jelas membuktikan bahawa keputusan kerajaan membenarkan rentas negeri dan pelancongan domestik memperlihatkan permulaan positif bagi industri pelancongan bangkit semula selepas berbulan-bulan mengalami kemerosotan impak pandemik Covid-19. Syukur Alhamdulillah!

Sumber: Harian Metro

Destination: