Wow, Genting Highlands Bakal Miliki Hotel Hard Rock Terbesar Di Asia!

TRAVEL
October 25, 2023 - 03:07 PM


Hotel Hard Rock terbesar di Asia bersedia untuk membuka pintunya pada 2027 di King’s Park, sebuah pembangunan bersepadu pelbagai guna di Genting Highlands.

Hard Rock Genting Highlands 45 tingkat itu akan menampilkan 1,001 bilik dan suite serta menjadikannya sebagai Hotel Hard Rock terbesar di Asia!

Ia juga akan mempunyai ruang runcit seluas 200 meter persegi yang dipanggil ‘Rock Shop’, kolam renang panas, ruang makan, spa serta lounge dan bar.

Hotel itu adalah sebahagian daripada fasa ketiga pembangunan King’s Park, yang mempunyai nilai pembangunan kasar RM10 bilion.

King’s Park akan dibangunkan dalam 5 fasa -- yang terdiri daripada komponen kediaman, komersial dan hiburan.

Perjanjian untuk pembangunan Hard Rock Genting Highlands telah ditandatangani pada 14 Oktober 2023, oleh Naib Presiden Kanan dan Ketua Pembangunan Perniagaan Global Hard Rock International, Todd Hricko, dan Pengerusi HR Resort & Residences Sdn Bhd, Lim Kim Chai.

HR Resort & Residences ialah pemilik dan pembina Hard Rock Genting Highlands, manakala Hard Rock International ialah pengendali hotel.

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Naib Presiden Kanan Hard Rock International dan Ketua Pembangunan Perniagaan Hotel Asia Pasifik, Edward Chan; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengasas Bersama King’s Park Development, Datuk Jayandren Subramaniam, dan Naib Presiden Eksekutif, Sean Chen.

Selain hotel, King’s Park juga akan menyaksikan pembangunan taman tema, hartanah kediaman dan kemudahan perubatan. Keseluruhan pembangunan itu dijangka siap dalam masa kira-kira 10 tahun.

 

Destination: