Wow, AirAsia Dah Ada Pesaing Baru 'MYAirline'!

TRAVEL
August 30, 2022 - 03:15 PM


Korang tahu tak bahawa kini Malaysia memiliki sebuah lagi syarikat penerbangan tambang murah selain dari AirAsia?

Ya betul, dekat media sosial pun sudah didedahkan 'wajah' pesawat syarikat penerbangan baharu itu yang diberi nama MYAirline Sdn Bhd atau MYAirline.

Dilaporkan syarikat penerbangan tersebut bakal dilancarkan di negara ini tidak lama lagi.

Namun berdasarkan hantaran-hantaran terkini di Facebook MYAirline, mereka masih belum memberikan sebarang tarikh rasmi untuk pelancaran, tetapi sedang giat mencari para pekerja baharu untuk memenuhi jawatan yang disediakan di syarikat penerbangan mereka.

Susulan itu, netizen begitu teruja dan berharap agar kehadiran MYAirline akan mewujudkan persaingan sihat antara syarikat penerbangan sedia ada, khususnya dalam menawarkan tambang pada harga murah.

Mereka juga berharap agar MYAirline dapat menyediakan perkhidmatan berkualiti dan memuaskan, dengan membandingkan dengan isu kelewatan pesawat AirAsia ketika musim perayaan baru-baru ini.

Dalam satu hantaran di Facebooknya baru-baru ini, MYAirline memaklumkan pihaknya akan mengumumkan tarikh pelancaran rasminya tidak lama lagi.

“Kami akan umumkan tarikh pelancaran kami sebaik sahaja bersedia, harapnya tidak lama lagi. Terima kasih atas maklum balas anda dan kami pasti akan melakukan yang terbaik,” tulis hantaran itu.

Januari lalu, The Edge melaporkan penubuhan syarikat berkenaan bakal mencabar syarikat penerbangan tambang murah lain iaitu AirAsia Group Bhd.

Menurut laporan tersebut, syarikat itu sebelum itu didaftarkan sebagai Z9 Elite Sdn Bhd, telah diberi kelulusan bersyarat untuk Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) pada 22 Disember tahun lalu.

“Lesen itu sah selama 12 bulan dari 1 Januari hingga 31 Disember 2022.

“ASL membolehkan pemegang lesen menjalankan perkhidmatan penumpang dan kargo berjadual seperti Malaysia Airlines Bhd dan AirAsia,” kata kenyataan itu.

Sumber: Malaysia Post

Destination: