"Dah Macam Mexico, Siang Hari Buat Kerja" - Lelaki Maut Ditembak Dari Jarak Dekat Di Bandar Sunway

TERKINI
June 15, 2023 - 12:45 PM


Bandar Sunway semalam gempar apabila tular sebuah video yang diambil daripada kamera litar tertutup (CCTV) berdekatan memaparkan seorang lelaki mati ditembak di premis aksesori telekomunikasi di Subang Jaya, Selangor.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1.35 tengahari semalam, mangsa yang berusia 32 tahun maut di tempat kejadian apabila ditembak sekurang-kurangnya 2 das tembakan di kepala.

Menurut Ketua Polis Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, mangsa mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan samun serta curi.

Tambah Azlan, siasatan awal mendapati mangsa didatangi tiga lelaki yang tidak dikenali masuk ke dalam premis berkenaan dan dua daripadanya melepaskan tembakan di tempat terbuka.

"Tembakan itu menyebabkan mangsa terlantar dalam keadaan berdarah akibat kesan tembakan. Satu laporan polis dibuat seorang lelaki mengenai kejadian tersebut sebelum pihak kami tiba di lokasi kejadian.

"Forensik menemui dua kelongsong peluru, satu serpihan peluru, satu anak peluru, dua swab darah dan sepasang selipar di tempat kejadian" kata beliau.

Dalam laporan Free Malaysia Today (FMT), seorang saksi menceritakan dia sedang berada di restoran berdekatan dan apabila dengar bunyi tembakan, keadaan di kawasan tersebut tiba-tiba menjadi sunyi sepi.

"Kami mengambil masa beberapa mint untuk memastikan tembakan telah tamat. Rakan sekerja saya pergi ke kedai telekomunikasi tersebut untuk memeriksa dan melihat lelaki itu terbaring tidak bergerak di atas lantai" katanya.

Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut supaya tampil memberikan kerjasama kepada pihak polis melalui Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya melalui nombor telefon 03-78627100 dan balai polis berdekatan.

Sumber berita : Majoriti