Taman Tema & Hotel Lost World of Tambun Ditutup 2 Minggu Selepas Pengunjung Positif
TERKINIJika anda mempunyai perancangan untuk membawa anak-anak dan keluarga bercuti ke taman tema Sunway Lost World of Tambun, di Ipoh, Perak -- mungkin anda terpaksa membatalkan hasrat tersebut.
Ini kerana bermula 13 Oktober lepas sehingga 26 Oktober depan taman tema tersebut termasuk Sunway Lost World Hotel ditutup untuk kunjungan orang ramai, selepas seorang pengunjungnya disyaki positif wabak COVID-19.
Menurut kenyataan Sunway Lost World of Tambun, pihaknya dimaklumkan mengenai kes itu oleh Kementerian Kesihatan semalam dan kini pengesanan kontak giat dijalankan.
Kenyataan itu juga menyebut, penutupan tersebut adalah bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan di sekitar taman tema dan hotel untuk melindungi pengunjung serta orang ramai.
“Kami berharap orang ramai kekal bertenang. Kami komited memberi kerjasama dengan pihak berkuasa dan Kementerian Kesihatan untuk mengatasi masalah ini,” demikian menurut kenyataan itu.
Sumber: BERNAMA