10 Bufet Ramadan di KL Untuk Korang 'Balas Dendam' Lepas 2 Tahun Terperap Berbuka Di Rumah!

FOODIE
March 24, 2022 - 04:36 PM


Selepas 2 tahun kedatangan Ramadan disambut suram ekoran pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) -- nampaknya tahun ini suasana itu bakal berubah.

Jika sebelum ini kita hanya berbuka puasa di rumah tanpa juadah istimewa, apa kata tahun ini bawa keluarga dan rakan-rakan menikmati juadah berbuka puasa di hotel mewah di sekitar Lembah Klang.

Pelbagai destinasi menawarkan pelbagai hidangan menarik dan menyelerakan sebagai 'balas dendam' dan agaknya di mana lokasi yang best untuk berbuka puasa?

Berikut senarai 10 lokasi iftar yang dijamin sedap dan berbaloi untuk anda serta seisi keluarga menikmati juadah berbuka puasa Ramadan nanti.

1. Selera Nostalgia Mal-Indo @ Sunway Putra Hotel

Buat pertama kalinya, Sunway Putra Hotel mengadakan bufet Ramadan berkonsepkan 'Selera Nostalgia Mal-Indo' gabungan hidangan antara dua negara Malaysia dan Indonesia dengan 200 hidangan berbuka puasa yang pastinya membuatkan tetamu rambang mata memilih!

Antara tarikan yang tak patut dilepaskan adalah keenakan hidangan Malaysia seperti Rendang Tok, Kari Kepala Ikan Merah, Satay dan Lemang selain terdapat stesen bakar-bakar Seafood mengikut citarasa anda.

Manakala selera Indonesia, Nasi Uduk, Gulai Daun Singkong, Ayam Bakar Taliwang antara juadah yang menjadi perhatian tetamu selain Sup Tulang Rawon dan Sup Betawi yang paling mengiurkan.

Bufet Ramadan boleh didapati dengan harga serendah RM129 (dewasa) dan diskaun sebanyak 50 peratus untuk kanak-kanak yang berumur dari 6 hingga 12 tahun dan bagi kanak-kanak yang berumur 5 tahun ke bawah kemasukan adalah percuma.

2. Citarasa Nipah @ EQ

EQ kembali dengan Citarasa Nipah pada Ramadan ini dengan pelbagai pilihan menu yang boleh membuatkan sesiapa sahaja terliur.

Diketuai oleh Chef Ali, yang pasti bufet tersebut menjanjikan hanya terbaik termasuk paling menarik perhatian adalah Rendang Daging Lebaran, Siakap Tiga Rasa Nusantara dan Serawa Durian Selera Timur.

Itu belum lagi merasai kesedapan Kerabu Limau Bali, Udang Harimau dan Kacang - paling penting jangan lupa ke stesen Kambing Golek, memang terangkat!

Antara hidangan lain yang boleh dicuba termasuklah Ayam Goreng Mamu, Gulai Daging Masak Lemak Cili Padi, Udang Gulai Nyonya dan Assam Pedas. Chef Ali’s signature Kambing Masak Beriyani juga patut dicuba bersama Nasi Beriyani dan Dal Sayuran.

Citarasa Nipah mula beroperasi pada 3 April hingga 1 Mei 2022, setiap hari bermua 6.30 petang-10.30 malam. Harga bagi dewasa. Buffet Ramadan itu kini boleh dibeli dengan harga RM168+ (dewasa) sehingga 2 April ini manakala harga bisa adalah RM208+ (dewasa) dan RM68+ (kanak-kanak berumur 6-12 tahun).

Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghantar e-mel ke [email protected] atau menghubungi WhatsApp +60122789239.

3. Jelajah Selera Bersama Hilton Kuala Lumpur

Hilton Kuala Lumpur menjemput pelanggan menggembara ke seluruh Asia untuk berbuka puasa di Vasco pada Ramadan ini menerusi Jelajah Selera Bersama Hilton.

Menariknya, Hilton Kuala Lumpur menampilkan pelbagai hidangan daripada 13 negara di Asia yang turut mengangkat pelbagai budaya dan warisan dalam setiap hidangannya.

Pelanggan boleh mengharapkan menu terbaik dari negara seperti Korea seperti Ayam Gochujang, Thailand (SomTam, PadThai), Jepun (Sushi), Singapura (Chili Crab), Brunei (Pulut Panggang Gadong, Kuih Penyaram), Filipina (Manok Adobo), Turki (Barbosa, Konafa, Baklava) dan sebagainya.

Paling penting hidangan dari Malaysia tidak dilupakan dan tetamu akan dihidangkan dengan menu seperti Ikan Patin Asam Tempoyak Sungai Pahang, Masak Gulai Urat Keting Daun Salam, Siput Sedut Masak Lemak Cili Api Pak Kadok dan Ikan Siakap Bawal Langkawi.

Bagi yang suka mi, anda boleh cuba Mi Rebus Tulang Rusuk yang cukup enak, hidangan special daripada cef terbaik di Hilton Kuala Lumpur.

Bufet Ramadan Hilton Kuala Lumpur bermula 2 April hingga 2 Mei 2022, dari 6.30 petang hingga 10.30 malam dengan harga RM208+ (dewasa) dan RM108+ (5-11 tahun).

Untuk maklumat lanjut dan tempahan, hubungi +603 2264 2264, email [email protected] atau kunjungi www.eatdrinkhilton.com.

4. Warisan Bonda Ahlan Ramadan 2022 @ Mardhiyyah Hotel & Suites

Tampil dengan wajah baharu, Mardhiyyah Hotel & Suites yang terletak di Shah Alam tampil dengan tema Warisan Bonda bersempena dengan bufet Ramadan pada tahun ini.

Menampilkan hidangan aneka juadah tempatan dan antarabangsa namun masih mengekalkan konsep tradisional Melayu yang mengembalikan nostalgia ifar bersama keluarga dan rakan-rakan.

Bufet Ramadan Warisan Bonda ini menawarkan pelbagai pilihan masakan berasaskan menu seperti air tangan bonda. Antara menu utama yang akan diketengahkan adalah masakan tempatan seperti Nasi Putih, Nasi Kandar, Nasi Minyak, Ayam Rempah Kuzi, Gulai Lemak Ikan

Merah Belimbing Buluh, Rendang Daging Bonda, Kambing Penanggah, Udang Telur Asin, Sotong Kam Heong, Wok Goreng Baby Kailan dengan Bawang Putih dan macam-macam lagi pilihan yang ada.

Disamping itu, tetamu boleh menikmati masakan panas di mana cef hotel akan membuat live cooking. Antara pilihan menu yang boleh dinikmati adalah Mee Goreng Mamak & Penang Char Koey Teow. Tetamu juga boleh menikmati variasi Laksa, Sup Ayam Utara, Nasi Kuning, Chicken Mandy, Roti John Briyani Daging, Murtabak Ayam dan tidak dilupakan Bubur Lambuk.

Bufet Ramadan Warisan Bonda dibuka setiap hari bermula 4 April 2022 hingga 1 Mei 2022. Waktu operasi dari jam 7.00 malam hingga 10.00 malam. Harga bagi Bufet Ramadan RM 145 (dewasa), RM 110 (warga emas 60 tahun ke atas) manakala RM 90.00 (kanak-kanak berumur 6-12 tahun).

Untuk maklumat dan tempahan lebih lanjut, hubungi Jabatan Penjualan & Pemasaran melaui emel terus ke [email protected] atau melalui WhatsApp 012-346 9585 (Muhammad Izzat), 019-273 6801 (Zaris Azua), 019-275 7801 (Syaqila), 019- 263 9801 (Siti Atiqah) dan 019-261 6847 (Asyila).

5. Around Malaysia in 80 Dishes @ DoubleTree by Hilton Putrajaya Lakeside

Mengambil inspirasi daripada buku tulisan Jules Verne berjudul Around the World in 80 Days, DoubleTree by Hilton Putrajaya Lakeside menjadikan ia sebagai tema bufet Ramadan pada tahun ini.

Pengunjung boleh menikmati 80 jenis makanan dari seluruh Malaysia yang disediakan khas oleh cef eksekutif, Mohd Faizal Abd Ghani.

Jika berkunjung ke sana, jangan lupa merasai keenakan Urap Pengaga Bersama Udang Batu Jemala, Sup Berempah Muar: Tulang Rusuk, Ekor, Lidah, Urat Keting, Perut Lembu Dan Daging Bakar, Ikan Patin Tempoyak Pahang dan sebagainya.

Bufet Ramadan itu akan bermula pada 3 April sehingga 3 Mei 2022 dari pukul 6.30 petang hingga 10.30 malam dengan harga RM178+ (dewasa) dan RM89+ (kanak-kanak).

Sebarang pertanyaan dan tempahan boleh menghubungi 03-8890 0000 atau emel ke [email protected] atau www.EatDrinkHilton.com.

6. Selera Ibunda @ Thyme Out Café by Equatorial

Seperti tahun lalu, Thyme Out Cafe by Equatorial kembali mengadakan bufet Ramadan yang mengetengahkan konsep 'Selera Ibunda' menerusi 100 hidangan berbuka puasa yang menggamit memori di kampung halaman.

Paling mengiurkan sudah tentu menu sup gear box yang direneh selama 12 jam bersama rempah istimewa selain daging tetel gulai kawah yang biasanya boleh ditemui ketika kenduri kahwin.

Selain itu, antara juadah yang menjadi perhatian termasuk kambing masak hitam, daging salai masak lemak, udang galah asam lemak dan kari kepala ikan menanti pengunjung sepanjang Ramadan ini.

Kesemua hidangan menyelerakan itu diketuai oleh cef Mohamad Juzaili Shah Abdoll Rani dan pasukannya yang pastinya menjanjikan pengalaman terbaik ketika berbuka puasa!

Sebagai hiburan ketika menjamu selera, pengunjung akan dihidangkan dengan persembahan ghazal selain suasana elegan di Bangunan AICB tempat terletaknya Thyme Out Café by Equatorial.

Bufet Ramadan itu akan bermula dari 4 April hingga 30 April 2022, 6.45 petang hingga 10 malam dan harga bufet adalah RM138+ (dewasa) dan RM70 (kanak-kanak).

Namun dengan pembelian awal sehingga 4 April ini, pelanggan boleh menikmati potongan harga iaitu RM115+ (dewasa).

7. Aneka Selera Desa @ WTCKL 

Seperti tahun sebelumnya, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) kembali dengan bufet Ramadan yang mengangkat tema Aneka Selera Desa.

Sebanyak 300 jenis juadah akan disajikan kepada para pengunjung sepanjang bufet berlangsung di Aras 2, Ruang Legar Putra bermula 5 April sehingga 29 April 2022, 6 petang hingga 10 malam.

Antara resipi yang bakal dikongsikan ialah murtabak lasagna, biryani kambing/ ayam, kambing ala Maghribi dengan kurma dan kuskus dan rendang tulang rusuk lembu sebagai tarikan utama bufet tahun ini.

Antara menu yang bakal memikat selera pengunjung pada tahun ini ialah Ikan Patin Goreng Sambal Hijau, Daging Rendang Minang, Ketam Goreng dengan Cili Kering dan Bawang Putih, Sotong Masak Kari dengan Nenas dan Ayam Masak Lemak Cili Padi dengan Belimbing Buluh.

Selain itu, bubur lambuk, asam pedas dan kambing goreng berempah turut dihidangkan.

Bufet Ramadan boleh didapati dengan harga serendah RM128+ seorang untuk dewasa dan RM75 seorang untuk kanak-kanak yang berumur dari tujuh hingga 12 tahun dan warga emas yang berumur 60 tahun ke atas.

8. Destinasi Rasa Serantau @ Sofitel Damansara Kuala Lumpur

Antara hotel yang turut mengadakan bufet Ramadan adalah Sofitel Damansara Kuala Lumpur yang tampil dengan tema Destinasi Rasa Serantau iaitu hidangan istimewa dari tujuh buah negeri di Malaysia.

Bertempat di Kwee Zeen, Sofitel Damansara Kuala Lumpur, antara menu yang bakal menjadi tumpuan pelanggan termasuklah Itik Salai Masak Lemak Cilik Padi (Negeri Sembilan), Manuk Pansuh (Sabah), Rendang Tok Batu Kikir (Perak), Udang Galah Masak Di Raja Pahang (Pahang) dan Asam Pedas Ekor Lembu (Melaka).

Tidak ketinggalan Otak-Otak Lobster (Johor) dan Kambing Bakar (Selangor) selain hidangan masakan Cina, India, Jepun dan Barat.

Harga bagi menikmati bufet Ramadan Destinasi Rasa Serantau adalah RM128 (dewasa) dan RM64 (kanak-kanak) bagi tempoh 3 April hingga 10 April dan 25 April hingga 1 Mei 2022.

Manakala bagi tempoh 11 April hingga 24 April, RM178 (dewasa) dan RM89 (kanak-kanak). Diskaun 20 peratus untuk tempahan awal sebelum 1 April.

Untuk tempahan dan maklumat lanjut, sila hubungi 03-2720 6608 atau e-mel ke [email protected].

9. Iftar Ramadan 1001 Juadah Rakyat @ Wyndham Acmar Klang

Bagi yang berada di Shah Alam dan Klang, Selangor apa kata buat tempahan bufet Ramadan anda di Wyndham Acmar Klang yang tampil dengan tema Iftar Ramadan 1001 Juadah Rakyat.

Seperti temanya, pelbagai hidangan kegemaran rakyat Malaysia akan dihidangkan termasuklah Kambing Golek, Biryani bersama Rempah Timur Tengah, Aneka Mi Malaysia, Kari Kepala Ikan, Sup Gear Box, Bubur Lambok, Sambal Udang Petai dan paling istimewa Rusa Golek.

Jika tak pernah merasai Rusa Golek, inilah masanya dan Wyndham Acmar Klang memberi anda peluang tersebut. Paling penting semua menu disediakan tidak menghampakan!

Bufet Ramadan itu akan diadakan di T Cafe hotel berkenaan bermula 3 April hingga 2 Mei, 6.30 petang hingga 10 malam dengan harga RM138+ (dewasa), RM100+ (warga emas 55 tahun ke atas) dan RM75+ (kanak-kanak 7-12 tahun).

10. Kembalinya Ramadan @ Hilton Petaling Jaya

Jika tahun lalu Hilton Petaling Jaya tampil dengan bufet Ramadan bagi mengenang seniman terulung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, tahun ini pihak hotel mengangkat tema Kembalinya Ramadan.

Menariknya, Hilton Petaling Jaya menerusi kafe Paya Serai menampilkan 150 hidangan terkenal di Malaysia, Asia dan Barat yang memberi peluang kepada pelanggan untuk merasai pelbagai hidangan menyelerakan ketika berbuka puasa.

Bakal menjadi perhatian adalah stesen Durian Island yang menghidangkan 10 jenis pencuci mulut berasaskan raja buah itu selepas Putu Piring yang cukup enak sebagai pembuka selera.

Tidak ketinggalan hidangan istimewa yang pasti menambat hati pelanggan adalah Tulang Rusuk Pendek Rebus Panggang, Kambing Golek “Tandoori” dengan Nasi Biryani, Ayam Belanda Panggang, Kaki Kambing Bakar, Daging Tulang Rusuk Mata Panggang, Itik Bakar Ranggup dan sebagainya!

Bagi mendapatkan makanan yang segar dan panas - 10 stesen turut disediakan dengan cef berpengalaman luas akan menyediakan hidangan anda.

Kembalinya Ramadan bufet di Paya Serai akan bermula pada 2 April hingga 2 Mei 2022 dari pukul 6 petang hingga 10 malam dengan harga hanya RM198+ (dewasa) dan RM98+ (kanak-kanak 5-11 tahun).

Maklumat lanjut dan tempahan boleh dibuat menerusi 03-7955 9122, e-mel kepada [email protected] atau layari www.TakeUs-Home.com dan www.EatDrinkHilton.com.

Sumber: Mstar

Destination: