Iftar@KL 2019: Jom Buka Puasa Atas Jalan Di Tengah-Tengah Ibu Kota, Mulai Sabtu Ini!





Setiap kali bulan Ramadhan, paling dinanti-nantikan oleh warga kota pastinya program berbuka puasa beramai-ramai sambil duduk bersila di atas jalan di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, Dataran Merdeka.

Tahun ini, program yang dinamakan Iftar@Kuala Lumpur itu akan mula diadakan pada esok, 11 Mei 2019.

Uniknya, iftar kali ini bakal diserikan dengan kehadiran Tetamu Diraja iaitu Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang dijangka turut mencemar duli untuk berbuka puasa bersama rakyat jelata pada 25 Mei depan.

Iftar@Kuala Lumpur 2019 yang telah memasuki tahun ke-8 penganjurannya akan diadakan pada setiap hujung minggu sepanjang bulan Ramadhan di sepanjang Jalan Raja, Dataran Merdeka.

Selain warga kota, Iftar@Kuala Lumpur itu juga telah menarik kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara untuk menikmati suasana Ramadan di ibu negara, malah ada juga antara mereka yang turut merasai pengalaman bergelar sukarelawan untuk program berkenaan.

Selain majlis berbuka puasa di atas jalan raya, terdapat 15 aktiviti dilaksanakan antaranya penyediaan dan pengagihan bubur lambuk, Tadarus Al-Quran, Klinik Tahsin Al-Quran, kaunter zakat, Bicara Ramadan dan moreh.

Bagi korang yang belum pernah merasai pengalaman berbuka puasa di atas jalan di tengah-tengah ibu kota, jangan lepaskan peluang untuk singgah ke Dataran Merdeka dan sertai Iftar@Kuala Lumpur 2019.

Pastikan korang tandakan kalendar dengan tarikh berikut:

11 & 12 Mei 

18 & 19 Mei

25 & 26 Mei

Sebarang maklumat atau pertanyaan, boleh hubungi urusetia Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) melalui talian 03-2614 8200.

;