Jeff Cellar Banjaran Hotspring Ipoh, Restoren Berkelas Kayangan!

FOODIE
August 06, 2020 - 05:40 PM


Untuk topik harini saya nak menyentuh sikit tentang keunikan sebuah kedai makan yang terletak di bandar Ipoh. Kedai tersebut diberi nama Jeff Cellar yang terletak di Ipoh, Perak. Saya pada mulanya macam pelik dengan kedai ini. Jadi apa yang unik dan pelik di kedai ini?

Seperti biasa kita mulakan dahulu dengan operasi kedai ini. kedai ini seperti sedia maklum, ia merupakan sebuah restoran yang menghidang masakan barat. Apa yang membuatkan ianya unik dan pelik ialah, restoran ini dibuka di dalam gua. Ya betul anda tak tersalah dengar. Gua selalunya orang akan jadikan sebagai tempat untuk melawat dan pusat pelancongan serta pusat rekreasi. Agak pelik juga ideanya tapi bernas.

Siapa sangka untuk membuka sebuah restoran mestilah ramai yang akan mencadangkan untuk buka di kawasan yang ramai orang, di kawasan bandar ataupun di pusat tumpuan. Lain pula untuk Jeff Cellar.

Bagusnya pula restoran ini, ia tidak perlu memasang penghawa dingin oleh kerana suhu di dalam gua itu sudah sejuk. Dekorasi restoran ini juga sangat menarik dan mencuri tumpuan setiap pelanggan yang datang ke sini. Tema kedai ini bagi saya dikategorikan untuk ‘romantic dinner’ ataupun ‘candle light dinner’. Jadi kalau anda ada berhajat untuk melamar kekasih anda, boleh lah anda menuju ke Jeff Cellar ini.

Layanan yang diberi di sini juga membuatkan anda merasa seperti berada di hotel. Semua pelayannya sangat peramah dan professional. Jika anda tak tahu untuk memesan makanan apa, anda boleh bertanya cadangan daripada mereka dan mereka sedia untuk membantu anda.

Secara ringkasnya, restoran ini sangat unik dari segi idea serta dekorasinya yang agak romantis dan tenang. Dari segi menu yang disediakan pula ia berkonsepkan seperti di restoran yang mewah. Manakala dengan harga pula sudah pasti ia agak mahal bagi saya. Jadi, untuk anda yang ingin merasa kelainan, anda boleh datang ke Jeff Cellar!

Kebiasaannya mereka yang makan di sini akan menginap di The Banjaran dengan harga RM1,300++ per night manakala untuk makanan di Jeff Cellar pula sekitar RM500 per person untuk 7 menu hidangan fine dining.