Jenis-Jenis Daging Steak

FOODIE
November 07, 2018 - 02:15 PM


Pernah tak korang pergi ke “supermarket” di bahagian daging ternampak perkataan seperti “Angus”, “Grain Fed”, “Wagyu”, “Australian Beef” dan sebagainya? Pada mata kasar semuanya daging lembu je betul tak? Cuma bila tengok harga agak terbeliak mata. Sebenarnya klasifikasi daging lembu ni dah bercampur aduk dengan strategi pemasaran. Asalkan bukan daging lembu tempatan je pasti mahal. Mari jadi pengguna bijak dan kami cuba terangkan sebaik mungkin. Sebelum itu korang dah baca artikel kami pasal jenis potongan daging steak tak? Jika belum baik baca dulu untuk pemahaman menyeluruh di sini, jika sudah jom kita terus kan

Grain Fed

Bila korang nampak label ni bermakna lembu tersebut telah diberi makan bijirin sekurang-kurang nya 60 hari sebelum penyembelihan. Bijirin lazim adalah soya dan jagung tetapi diet lembu masih majoritinya rumput.

Kenapa bagi makan bijirin? Diet bijirin membolehkan pembentukan lemak diantara serat-serat otot lembu. Ini membuatkan daging lembu lebih sedap dan lembut secara amnya bila dimasak. Ada daging yang dilabel “Grain Fed 200 Days” yakni lembu tersebut telah diberi makan bijirin 200 hari sebelum penyembelihan. Meskipun begitu bukan kesemua bahagian lembu bagus dibuat steak.

Angus

Nama ni macam gempak kan? Tetapi ini hanya membawa makna baka lembu yang dipilih. Baka Lembu Angus asalnya dari Scotland. Ada dua jenis iaitu Hitam dan Merah, tetapi takrif daging lembu Angus secara amnya adalah Angus Hitam kerana lembu itu berwarna hitam. Yang Merah tu sangat “terhad” dan kemungkinan tidak masuk pasaran Malaysia lebih-lebih lagi yang Halal. Maka pada pembungkusan daging Angus sebagai contoh boleh wujud “Angus Grain Fed”.

Wagyu

Ini adalah lembu dari Jepun. “Wa” bermaksud Jepun dan “Gyu” bermaksud lembu. Tetapi untuk tujuan pengkomersilan mengimport Lembu Wagyu adalah sangat mahal. Jadi penternak lembu menternak baka Wagyu di negara masing-masing. Pembiakan baka hibrid juga dilakukan misalnya Wagyu dikahwinkan dengan Angus. Jadi ada di pasaran Wagyu dari Australia misalnya yang lebih murah dari yang Jepun. Apa istimewa sangat Wagyu ni? Sekali lagi ia adalah kandungan lemak diantara seserat otot . Kalau korang tengok daging Wagyu corak lemak dia macam batu marmar, ini dipanggil “Marbling”. Itu yang memberikan rasa unik dan kelembutan daging Wagyu.

Kobe / Tajima Wagyu

Daging lembu “legend” ini adalah sejenis baka lembu Jepun bernama “Tajima” yang diternak dan diproses khusus di Hyogo sahaja. Yang lebih pelik penternak di Hyogo ini memberi lembu ternakan minum bir untuk membuat lembu tersebut rasa cepat lapar. Ditambah pula lembu disimpan dalam kendang yang sangat bersih dan kemudiannya lembu-lumbu ini diurut. Ye DIURUT! Tetapi untuk yang beragama Islam adalah sedia maklum daging lembu ini haram dimakan.

Australian Beef

Ni senang je. Daging yang lembunya diternak di Australia. Boleh jadi lembu biasa, Angus mahupun Wagyu. Grain Fed ataupun Grass Fed (Makan Rumput) pun ada. Tapi mesti korang fikir apa beza Wagyu Jepun dan Wagyu Australia atau mungkin juga Angus Australia dan juga Angus dari negara-negara lain. Agak susah nak bandingkan diantara negara kerana setiap penternak ada teknik dan sistem mereka yang tersendiri. Tetapi secara amnya jenis tanah, suhu, sumber air, jenis rumput dan cuaca mempengaruhi kualiti daging yang terhasil dari lembu-lembu tersebut.

Lembu Tempatan

Boleh ke daging lembu tempatan dibuat steak? Semestinya boleh. Pilih lah bahagian potongan daging seperti yang telah disebutkan dalam artikel Kenali Potongan Steak Anda. Cuma teksturnya sedikit berbeza tetapi cara masak nya sama sahaja.