Jom Cuba : Resipi Kuih Ketayap - Kuih Tradisional Kegemaran Ramai

FOODIE
October 08, 2018 - 04:18 PM


Kuih Ketayap merupakan kuih tradisional kegemaran ramai. Sesuai untuk dimakan sewaktu sarapan, ataupun masa nak tunggu drama pukul 7 dekat tv3 mula.

Soal nama, mana datang ketayap tu masih menjadi tanda tanya. Tapi, pergilah mana pun, sebut je kuih ketayap, diorang akan tunjuk kuih yang berwarna hijau, berbentuk gulungan, dalam ada kelapa. Tapi ada jugak yang panggil kuih dadar. Hehehe...

Hari ini, kitorang nak kongsikan resipi kuih ketayap. Sedap tak sedap tu belakang kira. Masa untuk sediakan pun tak lama, 20 minit untuk penyediaan, 20 minit untuk masak.

 

Bahan-Bahan:

  • Bahan untuk inti:
    • 1/2 biji kelapa parut

    • 1/4 cawan gula melaka
    • 1/4 cawan gula pasir
    • 2-3 helai daun pandan
    • 1/2 sudu kecil garam
    •  
  • Bahan untuk kulit:
    • 2 cawan tepung gandum
    • 2 cawan santan sederhana cair, anggaran dari 1/3 biji kelapa
    • 1 biji telur
    • 4-5 helai daun pandan
    • 1 sudu kecil garam
    • 2-3 titik pewarna hijau (nak hipster sikit, gunalah warna lain)

Cara Penyediaan:

  1. Cara-cara untuk inti:
    1. Masukkan kelapa parut, air, gula merah, gula pasir, garam dan daun pandan di dalam kuali.
    2. Masak di atas api yg perlahan, kacau sehingga sebati dan sedikit kering. Sejukkan.

  1. Cara-cara untuk kulit:
    1. Kisar 1/3 biji kelapa parut bersama daun pandan, dengan anggaran air supaya menghasilkan 2 cawan santan. Perah dan tapis.
    2. Bancuh santan bersama tepung gandum, garam, telur dan beberapa titik perwarna jika mahu, supaya kulit menjadi lebih hijau. Kacau sebati menggunakan whisk dan kemudian tapis supaya tiada ketulan. Bancuhan tepung sepatutnya menjadi sedikit cair.
    3. Panaskan kuali yg di griskan dengan sedikit minyak. Tuang satu senduk bancuhan tepung dan ratakan dengan memusingkan kuali ke kiri dan ke kanan supaya mendapat bentuk bulat. Ratakan bahagian atas menggunakan sudip jika perlu. Anggran 3-4 minit di atas kuali.
    4. Angkat dan gulung bersama inti yg sudah disejukkan.

 

Macam biasa, resipi ni untuk 12 keping. Kalau nak buat banyak, kena tambah lah bahan-bahan tersebut. Kalau sedap, share. Kalau tak sedap, share jugak, kita adjust sikit apa yang patut nanti. Selamat mencuba!