Jom Kenali Laksa Kita! Ini Dia 5 Jenis Laksa Malaysia

FOODIE
May 19, 2021 - 04:59 PM


Duduk dekat Malaysia ni, Min memang bangga sebab kita sentiasa mempunyai persaingan yang sihat antara budaya-budaya tempatan dalam menjadikan sesuatu itu unik, mengikut negeri masing-masing. Justeru, memang tak dapat nak nafikan yang setiap negeri kita pergi, mesti ada sesuatu yang terus pop-up dalam kepala kita tentang negeri tu. 

Yang paling senang untuk dijadikan contoh adalah makanan. Setiap negeri memang terkenal dengan makan masing-masing, kalau ke Terengganu, kita akan cari keropok lekor, kalau ke Pulau Pinang, kita cari Nasi Kandar. Tapi, ada satu makanan yang memang hampir setiap negeri pun ada, dan unik dengan gaya penyediaan masing masing. 

Ya betul! Laksa! Laksa memang antara makanan go-to yang tak pernah mengecewakan, dan hampir setiap negeri mempunyai laksa masing-masing, dengan citarasa tempatan yang unik. Kalau nak kira asal usul, laksa sebenarnya makanan yang dibawa kaum Cina ke negeri Melaka, namun kemudian diberikan "tokok tambah" kaum Melayu, dan wujudlah bermacam-macam jenis laksa yang kita ada sekarang. 

KLASIFIKASI

Sebelum kita ke jenis-jenis laksa negeri, sebenarnya laksa mempunyai 3 jenis klasifikasi iaitu kari laksa, asam laksa, dan laksa Sarawak. Haa, apa beza ketiga-tiga klasifikasi ni? 

a) Kari Laksa

Dah nama pun kari kan, kari laksa menggunakan santan untuk menyediakan kuahnya, dan kari laksa sebenarnya banyak dimasukkan pengaruh masakan Cina kerana ada ditambahnya paf tauhu, dan taugeh. Warna kari laksa adalah kuning macam kuah masak lemak, dan selalunya dihidangkan dengan laksa halus, mee, atau bihun. 

b) Asam Laksa

Asam laksa pula tidak menggunakan santan dan bahan utama sudah tentulah isi ikan yang direbus dan diberikan perasa dengan asam gelugur. Asam laksa ni Min punya personal favourite sebab ditambah banyak sayur macam nanas, timun, dan bawang.

c) Sarawak Laksa

Kemudian, kita ada klasifikasi Sarawak laksa, syoknya Sarawak ada klasifikasi dorang sendiri, hehe. 

Sarawak laksa adalah gabungan antara variasa kari dan asam laksa yang kuahnya berwarna merah seperti asam laksa, tetapi lebih cair, dan ianya ditambah santan seperti penyediaan kari laksa. Tetapi, penyediaan kuah Sarawak tidak menggunakan isi ikan sebagai bahan asas dan mempunyai hiasan ringkas seperti daun ketumbar, dan taugeh. 

Okay cun! Sekarang korang dah tahu ketiga-tiga klasifikasi laksa yang kita ada, jom kenali 5 jenis laksa-laksa Malaysia. 

1. Laksa Utara

Laksa Utara memang antara makanan kegemaran satu Malaysia kerana diibaratkan sebagai comfort food orang Malaysia. Antara Laksa Utara yang paling terkenal sudah tentulah Laksa Penang, tetapi Kedah dan Perlis juga mempunyai variasi mereka tersendiri.

Laksa Utara diklasifikasikan sebagai asam laksa dan penyediaannya menggunakan bahan asas ikan seperti ikan kembung ataupun ikan selayang. Di Kedah, telur rebus dihidang bersama laksa manakala di Perlis, isi ikan keli dan belut digunakan di dalam kuah. 

2. Laksam

Laksam diklasifikasikan sebagai kari laksa yang sangat terkenal di belah Pantai Timur negara seperti Kelantan, dan Terengganu. Laksam diperbuat daripada gulungan kueyteow tebal yang dimakan bersama kuah yang diperbuat dengan bahan seperti santan dan ikan rebus.

Kuah laksam adalah paling pekat antara variasi laksa lain di bawah klasifikasi kari laksa. 

3. Laksa Sarawak 

Laksa Sarawak adalah sejenis laksa yang disediakan menggunakan teknik gabungan kari laksa, dan asam laksa, tetapi laksa Sarawak tidak menggunakan isi ikan, sebaliknya menggunakan pes yang berasaskan sambal belacan.

4. Laksa Lemak / Laksa Nyonya

Laksa lemak ataupun laksa nyonya ini merupakan kari laksa yang paling popular dan sudah tentunya berasal dari masyarakat Nyonya Melaka. Laksa lemak ni rasa dia lain sikit, seakan-akan rasa masak lemak. Memang tidak menggunakan isi ikan, sebaliknya disediakan menggunakan air rebusan tulang ayam, dan kulit udang. Hmm, sedapnya. 

5. Laksa Johor 

Laksa Johor ni unik sikit kerana tidak menggunakan laksa, atau bihun, tetapi menggunakan spageti. Selain itu, laksa Johor ini kelihatan seperti Laksa Penang, tetapi rasanya seperti kari laksa kerana penyediaannya menggunakan ikan, dan juga santan. 

Menurut orang Johor, laksa Johor harus disediakan menggunakan Ikan Parang, atau Ikan Tenggiri sahaja, kalau tidak kualitinya mungkin berbeza, namun ada juga resepi yang menggunakan Ikan Kembung dan Selayang dan tetap sedap.