Korang Penggemar Makanan Eksotik? Jom Cuba 'Belalang Goreng Berempah' Ni!

FOODIE
August 25, 2021 - 11:18 PM


Siapa sangka rupanya di negara kita ramai yang menjadi penggemar makanan eksotik seperti belalang.

Ia terbukti apabila dua beradik di Kota Bharu, Kelantan ini tidak menang tangan menjual hidangan belalang masak kerutuk atau goreng kunyit, hingga mampu menjana pendapatan sampingan yang tinggi sejak 3 bulan lalu.

Emi Zuhaida Husain, 35, dan adik bongsunya, Emi Zuhaika Husain, 25, mengambil bekalan belalang sudah siap dimasak daripada pembekal di Pasir Puteh dan menghantar kepada pelanggan.

"Ada yang beli belalang goreng berempah sekadar untuk mencuba merasai keenakannya. Makanan ini juga mendapat permintaan pelanggan dari luar Kelantan," kata Emi Zuhaida sambil menambah, makanan itu pernah dipos ke beberapa negeri termasuk Johor, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.

Dengan adanya penggemar belalang goreng berempah atau makanan eksotik itu, katanya, ia membuka peluang untuk sesiapa sahaja mencari rezeki.

"Semua boleh cari makan, mereka yang mencari belalang, pembekal dan penjual macam saya boleh mencari pendapatan sampingan untuk menampung keluarga," katanya ketika ditemui di Kok Lanas.

Anak keempat daripada lima beradik ini berkata, dia mampu menjual belalang goreng berempah antara 15 hingga 20 botol berharga RM16 untuk 100 gram dalam sehari.

"Belalang ini digoreng secara berempah. Adunan rempah itulah yang membuatkan rasanya begitu unik dan sedap selain mempunyai rasa lemak santan, manis, masin dan rangup.

"Apabila menjual belalang goreng berempah ini, saya juga akan teringat zaman kanak-kanak di mana kami adik beradik selalu berebut hendak makan belalang goreng yang dimasak ibu, Mek Yah Hamat, 64," katanya.

Penggemar belalang goreng, Norizan Mustapa, 42, berkata selain rasa yang enak, belalang yang dianggap sebagai makanan eksotik juga dikatakan berkhasiat serta mampu membantu masalah kesihatan.

"Bagaimanapun hanya saya yang makan, anak-anak tidak gemar. Mungkin makanan ini asing kepada mereka," katanya.

Sumber: BERNAMA

Destination: