Kreatif Thai Airways! Buka Restoran Ala-Ala Pesawat Untuk Pelanggan Yang 'Mengidam' Makanan Dalam Flight

FOODIE
September 10, 2020 - 11:36 AM


Sejak pandemik COVID-19 'menyerang' dunia, banyak negara terpaksa melakukan sekatan perjalanan udara bagi mengelakkan penyebaran penyakit tersebut menjadi semakin meruncing.

Oleh itu, banyak juga syarikat penerbangan antarabangsa yang menghentikan penerbangan komersil, menyebabkan ada antara penumpang setia mereka yang sudah lama tidak dapat menikmati hidangan yang digemari sewaktu berada dalam kapal terbang.

Memahami 'keinginan' pelanggan mereka, syarikat penerbangan nasional Thailand iaitu Thai Airways baru-baru ini telah membuka sebuah restoran sementara di ibu pejabat mereka khusus bagi memberi peluang kepada mereka yang mengidam makanan dalam pesawat.

Lebih 100 pelanggan Thai Airways yang begitu rindukan hidangan dalam penerbangan telah hadir ke restoran tersebut yang telah diubah suai seakan berada dalam pesawat dan membukanya kepada kunjungan orang awam.

Malah, dekorasi dan beberapa jenis perabot dalam restoran juga menggunakan bahagian enjin, tingkap dan kipas pesawat bagi mencetuskan suasana ala-ala dalam sebuah penerbangan.

Bahkan, setiap hiasan memiliki kod QR yang boleh diimbas oleh pelanggan untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai bahagian-bahagian tersebut.

 

Menurut salah seorang pelanggan Thai Airways, Pirachat Pengthongworrapetch beliau mendapat tahu mengenai pembukaan restoran unik itu menerusi internet.

"Saya benar-benar tidak mahu melepaskan peluang ini, ia lebih baik di sini berbanding di udara kerana makanan hanya dimasak apabila dipesan."

Seorang lagi pelanggan, Kanta Akanitprachai berkata beliau menyukai idea makanan dalam pesawat tanpa perlu membeli tiket penerbangan.

"Saya menggemari makanan yang dihidangkan dalam pesawat Thai Airways, tetapi hanya berpeluang menikmatinya apabila melakukan penerbangan. Hari ini kami dapat menikmatinya di sini, ia bagus sekali kerana kami memang mengidamkannya." 

Sumber: Today Online

Destination: