Thailand Guna Patung Panda & Barbegon, Jaga Jarak Sosial Ketika "Dine-In"

FOODIE
May 20, 2020 - 02:53 PM


Ketika ini banyak negara yang telah melonggarkan peraturan perintah berkurung akibat pandemik COVID-19, dengan membenarkan semula rakyatnya untuk makan di restoran.

Ternyata ramai yang sangat teruja dan gembira kerana akhirnya mereka boleh menikmati hidangan di luar setelah lama berkurung dalam rumah.

Di Thailand, kebanyakan restoran dan kedai makan tampil dengan idea kreatif di mana beberapa anak patung diletakkan di atas kerusi bagi memastikan pelanggan menjaga penjarakan sosial untuk mengelakkan risiko jangkitan.

Ada yang meletakkan anak patung panda yang comel dan ada juga menggunakan patung karektor Barbegon yang popular di Thailand.

Selain bagi mengurangkan rasa sunyi kepada pelanggan yang datang makan secara bersendirian, kehadiran boneka berkenaan juga berjaya mengelakkan kekeliruan orang ramai tentang tempat duduk mana yang boleh digunakan ataupun tidak -- sekaligus membantu mewujudkan jarak sosial antara satu sama lain.

Sejak awal bulan ini, pihak berkuasa negara jiran itu telah melonggarkan sekatan operasi untuk perniagaan memandangkan statistik jumlah kes positif COVID-19 semakin berkurangan dari sehari ke sehari.

Namun sebagai syarat untuk membolehkan restoran dibuka semula, mereka perlu mematuhi peraturan yang ketat antaranya mememeriksa dahulu suhu badan pelanggan sebelum dibenarkan masuk, mengehadkan jumlah pelanggan pada satu-satu masa serta menjaga jarak sosial mereka ketika di dalam restoran.

Sehingga hari ini (20 Mei), Thailand merekodkan hanya 1 kes baharu menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara itu ialah 3,034 dengan 56 kes kematian.

Destination: