Kuih Qasidah, Kuih Tradisi Klasik Utara Wajib Makan Pada Bulan Puasa

FOODIE
May 16, 2019 - 10:13 AM


Siapa pernah dengar nama Kuih Qasidah?

Kalau korang orang Utara atau Terengganu mesti selalu dengar pasal kuih ni, kan?

Kuih Qasidah ini merupakan sejenis kuih tradisi klasik yang sinonim dimasak ketika bulan puasa.

Teksturnya yang lembut dan rasanya yang lemak manis serta kaya dengan haruman bawang goreng, pasti membuat siapa sahaja jatuh cinta dengan Kuih Qasidah ini.

Terdapat 2 versi dalam pembuatan Kuih Qasidah iaitu versi sebelah Utara dan Pantai Timur.

Jom belajar resepi Kuih Qasidah bagi versi Utara yang sangat mudah ni. Selamat mencuba!

BAHAN-BAHAN

1 cawan tepung gandum

2 1/2 cawan air

1/4 cawan gula

1/2 sudu teh garam

1 sudu teh air kapur makan

1 sudu besar minyak sapi (tak letak pun tak apa)

 

BAHAN UNTUK HIASAN

6 ulas bawang merah

Secubit garam

 

CARA PENYEDIAAN

# Cara Membuat Kuih

1. Bancuh tepung bersama air, gula, garam, air kapur di dalam periuk dan kacau sebati.

2. Masak bahan bancuhan di atas api yang perlahan. Kacau sehingga adunan menjadi pekat dan berkilat. Anggaran masa mengacau adalah 15 minit.

3. Apabila telah pekat, masukkan minyak sapi untuk menambahkan rasa lemak kepada kuih dan menjadikannya berkilat.

4. Tuangkan ke dalam loyang yang telah disapu dengan minyak.

5. Ratakan adunan dan tabur bawang goreng bersama sedikit minyak dari gorengan bawang hiasan.  

6. Potong apabila sudah sejuk.

# Cara Membuat Hiasan

1. Kupas kulit bawang dan hiris nipis-nipis.

2. Gaulkan dengan secubit garam supaya bawang goreng menjadi lebih rangup dan enak. Jangan terlebih garam nanti masin.

3. Goreng sehingga kekuningan.