Nikmati Hidangan Lazat Dengan Pemandangan Muara Sungai Di Jambatan Angkat Terengganu, Januari 2020!

FOODIE
October 23, 2019 - 12:05 PM


Mulai Januari tahun depan, pengunjung yang melawat tarikan pelancongan baharu di Terengganu iaitu Jambatan Angkat atau 'Drawbridge' berpeluang menikmati hidangan sambil menghayati keindahan alam semulajadi muara Sungai Terengganu.

Terdapat 2 pilihan tempat makan yang boleh dipilih orang ramai sama ada di restoran mewah di bahagian atas Jambatan Angkat atau di sebuah kafe terbuka di bahagian bawah jambatan tersebut.

Pastinya peluang menikmati makanan dan minuman di tepi muara sungai adalah suatu pengalaman yang unik dan menarik untuk dirasai ketika bercuti di Terengganu, terutama apabila menjelang waktu petang dalam suasana matahari terbenam.

Kedua-dua pengendali restoran itu adalah daripada sebuah syarikat sama yang turut menawarkan servis helikopter dan kapal pelancongan serta mempunyai ramai pelanggan daripada kalangan pelancong antarabangsa.

Walaupun restoran di bahagian atas jambatan tersebut boleh dikategorikan sebagai restoran mewah, namun harga makanan dan minuman di situ masih lagi ‘mampu milik’ kepada para pengunjung.

Jambatan Angkat pertama di Asia Tenggara sepanjang 638 meter dan mempunyai dua menara berkembar setinggi 16 tingkat tersebut dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 1 Ogos lepas.

Jambatan bernilai RM248 juta itu yang menggunakan sistem teknologi hidraulik bascule termaju menjadi jambatan keempat menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus selain tiga jambatan lagi iaitu Jambatan Sultan Mahmud, Jambatan Pulau Rusa dan Jambatan Pulau Sekati.

Sumber: Bernama & Kredit Foto: Terengganu Drawbridge 

Destination: