Bukan Takat Ikan Patin, Temerloh Sekarang Dah Ada Ladang Aiskrim Vanilla Tau! Ini 11 Info Menarik Tentangnya

FOODIE
July 28, 2020 - 12:57 PM


Kalau sebut saja nama Temerloh, mesti yang terbayang di fikiran kita adalah keenakan ikan patin tempoyak yang menjadi ikonik bandar itu.

Punyalah padu rasa daging ikan patin Temerloh hinggakan ramai yang sanggup memandu lebih kurang sejam setengah dari Kuala Lumpur semata-mata hendak menikmati hidangan tersebut terutama pada cuti hujung minggu.

Tetapi korang tahu tak yang kini Temerloh mempunyai satu lagi tarikan baharu yang wajib korang singgah jika berkunjung ke sana, iaitu Amani Vanilla Temerloh atau singkatannya AVT.

Apa Istimewanya Vanilla Temerloh ini?

Berkesempatan berkunjung ke sana pada 12 Julai 2020 bersama rakan-rakan, min dapati ramai yang singgah ke AVT ini untuk menikmati kelazatan aiskrim berperisa vanilla asli segar dari ladang kerana bersebelahan kafe mereka terdapat sebuah kebun besar yang ditanam pokok vanilla.

Untuk ke sini tak susah pun korang hanya perlu Waze 'Vanilla Temerloh' dan insya-Allah akan jumpa signboard mereka yang besar di tepi jalan. 

Berikut min kongsikan beberapa info menarik mengenai Vanilla Temerloh ini yang sekarang dengarnya dah semakin viral di media sosial dan menjadi antara lokasi wajib korang terjah jika ke Temerloh, Pahang!

1. Bila tanya tentang Vanilla Temerloh ini, kadang orang Temerloh sendiri tidak tahu lokasi tepat mereka yang sebenarnya beralamat di Lot 2231, Paya Kelubi, Kampung Bangau Parit, 28000 Temerloh, Pahang.

2. AVT ini sebenarnya berkonsepkan 3 in 1 iaitu 'Farm - Nursery - Cafe' yang semuanya berasaskan vanilla.

3. Waktu perniagaan AVT adalah dibuka setiap hari kecuali Isnin dari pukul 11 pagi hingga 7 petang (Rehat Untuk Solat Jumaat pada 1-2 petang).

4. Jika ke sini korang wajib cuba menu signature mereka iaitu Aiskrim Vanilla yang boleh korang order dalam empat saiz berbeza iaitu : Large (RM18), Medium (RM10), Cup (RM4) dan Cone (RM3).

Aiskrim di sini memang sedap dan lain rasanya daripada aiskrim vanilla tempat lain kerana nak tahu ori ke tak dalam aiskrim tu sendiri korang akan dapati ada biji-biji hitam vanilla yang segar dorang masukkan selepas ia dikikis daripada batang vanilla yang dipetik dari ladang bersebelahan.

5. Jika nak rasa selain yang berperisa vanilla original, korang juga boleh tambah pelbagai topping yang ditawarkan secara percuma iaitu gula kabong, salted caramel, oreo, chocolate rice dan rainbow pops mengikut citarasa yang digemari.

6. Jika korang bernasib baik seperti min dan rakan-rakan tempoh hari, korang akan dapat melihat demo tentang tips mengenali vanilla beans yang berkualiti atau sebaliknya serta cara-cara mengeluarkan biji vanilla daripada batangnya.

Demo tersebut kalau tak silap ditunjukkan sendiri oleh Pengusaha AVT yang bernama Mohd Feisal Mohd Norawi.

7. Selain aiskrim, di sini juga ada pelbagai produk yang dijual secara sampingan antaranya jeli kelapa, coco-jar dan juga kek.

8. Terdapat 2 bahagian tempat duduk yang boleh korang nikmati aiskrim iaitu satu di bahagian bertentangan dengan kaunter jualan dan satu lagi yang agak redup di bawah pohon kelapa.

9. Masa min datang tu ingat nak berjalan-jalan di dalam kebun vanilla dorang tetapi ketika itu ia ditutup dan kami hanya dapat melihat dari jauh sahaja.

10. Patutlah tempat ni viral di media sosial sebab banyak sudut-sudut yang 'Instagrammable' disediakan untuk para pengunjung bergambar cantik di sini.

11. Untuk pengetahuan korang, Vanilla Temerloh ini merupakan antara tiga penanam vanila yang terdapat di Malaysia, selain di Jerantut dan Sabah.

Jadi kalau korang ke Temerloh untuk makan ikan patin, jangan lupa singgah juga ke Amani Vanilla Temerloh ini untuk enjoy dessert sebelum bergerak pulang semula ke ibu kota.

 

 

Destination: