Ruby Roman – Anggur Eksklusif Di Jepun Berharga Puluhan Ribu Ringgit
FOODIEKalau korang biasa ke Jepun, korang mesti tahu yang kos atau harga buah-buahan disana lebih mahal jika nak dibandingkan dengan negara lain, ambil contoh sekilo epal. Kalau di Jepun, epal mereka dijual pada harga ¥793 atau RM 23. Boleh kata 60% lebih mahal berbanding dekat sini.
Salah satu sebab harganya mahal adalah kawalan ketat yang dikenakan untuk menjaga kualiti buah-buahan yang dijual. Maksimum buah-buahan hanya diberi tempoh paling lama 2 hari untuk dipamerkan sebelum terpaksa dibuang kerana dianggap tidak segar. Punyalah mereka menjaga kualiti buah-buahan yang ingin diniagakan.
Berbalik kepada anggur Ruby Roman ni, ia sebenarnya adalah tanaman terbaru yang hanya wujud di Jepun pada tahun 2008 dan merupakan sebuah projek dibiayai sendiri oleh kerajaan Jepun dan untuk menghasilkan baka ini, temph masanya bukanlah sekejap. Katanya, selepas 14 tahun, baru terhasil baka Ruby Roman ni.
Bentuknya sama macam anggur biasa, Cuma dari segi saiz, agak besar dan kecil sedikit dari saiz bola ping pong.
Sebelum dijual, setiap biji anggur harus melalui ujian pemeriksaan yang ketat dan hanya yang melepasi syarat sahaja dibenarkan berada di pasaran.
Antara syarat yang ditetapkan ialah; setiap biji anggur harus mempunyai berat minimum 20g selain peratusan gula perlu melebihi 18%. Macam mana mereka tentukan, itu kami tak pasti lah pulak. Selain itu, ada juga anggur dari jenis yang sama dikelaskan sebagai ‘premium’.
Bila sebut premium ni, dah tentulah lain pulak kriterianya. Untuk premium, anggur tersebut haruslah mempunyai berat minimum 30g dan segugus anggur perlu mencapai 700g minimum. Disebabkan syarat yang ketat ini, pada 2011, tiada anggur berjaya mencapai kriteria yang ditetapkan.
Pada Julai 2016, segugus anggur Ruby Roman telah dijual dalam satu lelongan dan terjual pada harga 1.1 juta Yen atau lebih kurang RM34 ribu! Segugus ada 30 biji, maknanya sebiji anggur ni jatuh RM 1,150 sebiji! Memang betul eksklusif.