Siapa Sangka Jenama Mi Segera Buatan Malaysia Ini Tersenarai Antara 10 Terbaik Dunia!

FOODIE
October 28, 2021 - 02:28 PM


Bila sebut tentang mi segera mesti ramai yang sukakannya, kan! Selain harganya yang murah dan mudah dimasak, rasanya yang sedap serta dapat mengenyangkan perut juga menjadi faktor mengapa ramai yang menggemari hidangan mi segera di seluruh dunia.

Tapi korang tahu tak bahawa terdapat sebuah produk mi segera buatan Malaysia yang berjaya tersenarai sebagai "10 Mi Segera Terbaik Dunia" oleh barisan lapan pakar pemakanan Amerika Syarikat daripada pelbagai bidang antaranya penulis makanan, penulis buku resepi, wartawan dan sebagainya.

Mi segera buatan tempatan yang dimaksudkan adalah MyKuali Penang White Curry Noodles!

Menerusi senarai itu, MyKuali Penang White Curry Noodles diiktiraf sebagai Mi Segera Berkuah Terbaik.

Berikut adalah senarai 10 mi segera terbaik yang dibahagikan mengikut kategori.

Kategori Mi Segera Berkuah Terbaik

1. MyKuali Penang White Curry Noodles (Malaysia)

Kolumnis kulinari Los Angeles Times, Lucas Kwan Peterson menyatakan mi segera itu memuaskan seleranya.

2. Sapporo Ichiban Tokyo Chicken Momosan Ramen (Jepun)

Peterson memberitahu rasa mi ini antara yang terbaik dan merupakan kegemaran pemilik restoran Tin Roof dan penulis buku Cook Real Hawaii, Sheldon Simeon yang menyatakan ia luar biasa.

3. Maggi Masala 2-Minutes Noodles (India)

"Saya telah menjadi pemuja mi Maggi Masala sepanjang hidup saya. Ia adalah jawapan kepada mi segera dan ia cukup sempurna - pedas, masin dan lazat," kata Priya Krishna seorang wartawan kuliner New York Times.

4. Mama Instant Noodle Shrimp Creamy Tom Yum (Thailand)

Mama's Creamy Tom Yum Noodles dipilih kerana mempunyai rasa yang tajam dan beraroma.

5. Nissin Instant Ramen Noodles With Soup Base, Black Garlic Oil, Tonkotsu Pork (Jepun)

Penulis kulinari dan The Food of Taiwan, Cathy Erway mengatakan mi segera ini datang dengan bahan tambahan untuk membuatkan hidangan menjadi lebih lazat.

Sementara itu, bagi kategori Mi Segera Kering atau Tidak Berkuah Terbaik, mi segera kebanggaan Indonesia iaitu Indomie Mi Goreng tersenarai bersama satu lagi produknya, Indomie Mi Goreng Ayam Panggang.

Manakala dua mi segera Korea Selatan iaitu Nongshim Chapagetti Chajang Noodle turut tersenarai dalam kategori tersebut, manakala Nongshim Shin Noodle Ramyun tersenarai dalam kategori Mi Segera Pedas Terbaik.

Dalam kategori sama, Tseng Noodles Scallion With Sichuan Pepper Instant Noodles (Taiwan) turut mendapat pengiktirafan.

Sumber: Mstar

Destination: