Tong Mo, Sosej Kemboja Penuh Aroma!

MAKAN-MAKAN
April 02, 2019 - 03:45 PM


Siapa yang tahu apa makna ‘Tong Mo’ atau bagaimana rasanya? Mesti ramai yang tak tahu, kan?

Sebenarnya Tong Mo ini adalah sejenis sosej yang berasal dari negara Kemboja.

Dengan ukur lilit yang biasanya 8 sentimeter dan 13 sentimeter panjang, Tong Mo adalah daging cincang yang diperap dan kemudian disumbat ke dalam usus lembu nipis sebelum dibakar.

Makanan tradisional masyarakat Melayu Champa ini sedap dimakan panas-panas kerana ketika itu korang akan merasai jus dan tekstur dagingnya yang lembut serta berlemak, setanding sosej jenama antarabangsa.

Meskipun dari luaran Tong Mo ini kelihatan ringkas, tetapi proses pembuatannya agak rumit dan memakan masa yang lama untuk disediakan.

Tong Mo dimulakan dengan proses mencuci usus lembu sepanjang 1.5 meter dengan membuang segala isi di dalam kantung usus berkenaan, untuk dijadikan kulit sosej.

Kemudian bahagian dalam usus diterbalikkan ke luar dan dibersihkan sekali lagi dengan cara mengerik menggunakan pisau secara lembut dan berhati-hati supaya tidak terkoyak dan terputus.

Selepas usus menipis dan dibersihkan, barulah daging cincang disumbat dan dijadikan sosej.

Selepas itu ia akan dikeringkan selama dua hari sebelum sedia dijual.

Uniknya, Tong Mo tidak menggunakan sebarang penggunaan tepung seperti sosej yang dijual di pasar raya.

Antara lokasi yang ada menjual Tong Mo ini adalah di Pasar Borong Kanchong Darat, Banting; Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh; Kg Delek, Klang; Pasar Kemboja Sungai Tiram, Johor; Pasar Kemboja Parit Buntar, Perak; Pasar Kemboja Permatang Tok Mahat, Pulau Pinang dan Tong Mo Sate Bakar Kemboja Champa, Taman Seri Rambai, Melaka.

Sumber: BERNAMA & Kosmo

 

;