11 Kuih Raya Paling 'Legend' Imbau Memori Aidilfitri Korang!

FOODIE
June 03, 2019 - 11:20 AM


Setiap kali menjelang Aidilfitri, biskut atau kuih raya antara hidangan wajib yang mesti ada atas meja untuk tetamu yang berziarah raya.

Seiring dengan peredaran zaman, biskut raya juga mengalami pelbagai inovasi dari segi resepi dan cara pembuatannya.

Malah, di pasaran kini juga ada 1001 jenis biskut raya sampai kita nak pilih pun jadi rambang mata, kan? Hehehe...

Tapi, fikir punya fikir akhirnya 10 jenis biskut raya 'legend' ini juga yang selalunya jadi pilihan hati dan paling mengimbau kenangan manis Aidilfitri kita kan...

 

1. TART NENAS

Siapa dekat sini memang tak ada makna Hari Raya kalau tak nampak tart nenas dalam balang kuih mereka?

Mesti ramai yang 'hantu' tart nenas, kan? Mana taknya, kuih yang tak lapuk dek zaman ini selalunya menjadi pilihan pertama tetamu sebelum menikmati hidangan juadah Hari Raya seperti ketupat dan lemang.

Lagi-lagi kalau tart nenas tu dibuat gebu dengan isi nenas yang banyak sampai nak meletup..fuhhh..memang tak boleh nak berhenti makan. Hahaha...

 

2. ALMOND LONDON

Walaupun nama dia bunyi macam 'omputih' sikit, tapi realitinya Almond London sangat sinonim dengan sambutan Aidilfitri kerana ia merupakan sejenis kuih raya paling digemari para tetamu yang datang.

Kalau budak-budak kecil, dorang paling suka jilat rasa coklat di luar kuih tu sampai habis dan tinggalkan biskutnya semata-mata nak mendapatkan kacang almond di dalam kuih tersebut.

Korang mesti pernah buat juga masa kecik-kecik dulu, kan? Haaa...mengaku cepat!

 

3. SEMPERIT

Datanglah biskut paling 'hipster' pun, namun tiada siapa boleh ketepikan semperit sejak berzaman malah generasi baharu pun tahu kewujudan biskut ini.

Sekarang ramai orang dah membuat inovasi dengan kuih semperit sampai ada semperit cheese bagai, bahkan corak dan bentuknya juga berbeza mengikut kreativiti masing-masing.

Namun, bentuk kuntuman bunga dengan hiasan ceri merah adalah yang paling 'legend' dan tetap mengimbau kenangan Hari Raya kita masa kecik-kecik, kan?

 

4. CORNFLAKES MADU

Pergilah beraya ke rumah siapa pun, Insya-Allah memang akan jumpa Cornflakes Madu di atas meja tuan rumah dan kebiasaannya memang terpaksa tambah berulang kali.

Mana cukup makan satu... biasanya ia disediakan bagi menarik perhatian kanak-kanak tapi tak mustahil orang tua lagi 'over'.

 

5. MAZOLA

Biskut yang berwarna kekuningan hasil kesan sapuan kuning telur di atas, serta dihiasi dengan kacang di atasnya ini memang menjadi kegemaran tak kira orang tua atau kanak-kanak.

Walaupun Mazola nampak ringkas, namun kepadatan isi kacang tumbuknya menyebabkan kita tak henti makan dan sesuai sekali dijadikan juadah ringan di Hari Raya.

 

6. BATANG BURUK

Walaupun namamu 'buruk' tapi rasamu tetap menjadi pujaan hatikuuuuu....hahaha

Siapa kata kuih ini semakin pupus ditelan masa? Jangan tak tahu, kuih raya yang diperbuat daripada tepung gandum dicampur tepung beras dan tepung kelapa ini sebenarnya masih ada peminat setianya.

Bagi korang yang acah-acah urban, meh nak bagitahu. Cara nak makan batang buruk ni kita kena sumbat dia sekaligus dalam mulut sebab nak elakkan serbuk putih di luarnya bertaburan dan buat mulut korang comot.

Tapi bila dah ngap sebatang dan rasa kacang hijau gorengnya cair di dalam mulut, korang confirm tak boleh berhenti makan. Silap-silap sebalang jugalah habisnya! 

 

7. KUIH ROS

Memang menggamit kenangan kuih yang berbentuk bunga ros ini. Rasanya yang manis dan rangup membuatkan sampai tak sedar mulut mengunyah krup..krap..krup..krap.

Mungkin anak-anak muda tidak mengenai kuih ini, tapi bagi generasi lama pastinya ia nostalgia yang sukar dilupakan.

 

8. KUIH KAPIT

Kuih Kapit atau Sapit, Sepit, Semprong bukan sahaja menjadi hidangan wajib apabila tiba Aidilfitri malah ia juga popular dalam kalangan masyarakat Tionghua setibanya Tahun Baru Cina.

Kuih kapit tradisional selalunya dilipat menjadi bentuk kipas atau digulung bulat sahaja tanpa sebarang isi di dalamnya.

Namun kini dengan peredaran zaman, kuih kapit telah diinovasikan dengan pelbagai perisa di dalamnya seperti coklat, peanut butter, strawberi dan karamel untuk menarik minat golongan muda.

 

9. POPIA SERUNDING

Kuih raya ini pun menjadi hidangan wajib yang perlu diisi dalam balang di atas meja setiap kali Hari Raya.

Menggunakan kulit popia nipis yang diisi dengan serunding ikan, daging atau ayam, popia sememangnya sangat sedap dan rangup apabila dimakan selepas digoreng.

Cara menggentel kulit popia ini pun ada 2 jenis sama ada digulung kecil atau disimpul kasih...kalau korang lebih suka yang mana?

 

10. REMPEYEK

Kerepek ini disukai ramai tidak kira usia dari kecil hingga ke dewasa, malah ia turut dinikmati walaupun bukan hari raya.

Keenakannya boleh mencapai tahap lima bintang jika adunannya digoreng nipis dengan taburan kacang tanah dan ikan bilis yang 'meriah'. Sedapnya!

Tapi kalau min lagi suka rempeyek bilis dengan kacang dal atau kacang hijau. Memang menusuk kalbu rasa dia! Hahaha...

 

11. SUJI

Suji antara biskut raya yang ringkas cara pembuatannya namun ia kekal menjadi juadah kegemaran sepanjang zaman.

Mana taknya, rasa biskut Suji yang lemak-lemak manis dan cair di dalam mulut memang buat kemeriahan Hari Raya anda lengkap sangat!