Ubud Food Festival 2019 Hidang Keunikan Cita Rasa Makanan Bali





Bulan lepas, TripAdvisor telah menobatkan Bali sebagai Destinasi Terbaik Asia dalam Travelers' Choice Awards 2019, sekaligus menewaskan Phuket di Thailand.

Pulau peranginan terkenal di Indonesia itu bukan sahaja popular dengan keindahan pantainya dan keunikan budayanya, malah kelazatan hidangan tradisionalnya juga sering menjadi faktor mengapa pelancong suka bercuti ke Bali.

Jika anda penggemar makanan Bali seperti Ayam Betutu, Sate Lilit, Nasi Tepeng, Lawar Kuwir, Nasi Jinggo, Tum Ayam dan Rujak Bulung, anda boleh berkunjung ke “Ubud Food Festival 2019” yang akan diadakan dari 26 hingga 28 April ini.

Festival Kulinari Ubud tahun ini mengangkat tema 'Spice Up the World' yang menampilkan kepelbagaian rasa rempah dalam masakan Indonesia kepada penggemar makanan antarabangsa.

100 panel khas dijemput ke festival kali ini dan mereka terdiri daripada tukang masak, ahli gastronomi serta pemain industri kulinari tempatan dan luar negara.

Terdapat pelbagai program telah disusun sepanjang 3 hari festival itu berlangsung, antaranya Kitchen Stage, Masterclasses, Food Tours, Kids Events dan Celebrate Indonesian Food. Namun semua program ini adalah berbayar.

Tetapi jangan risau, ada juga program yang percuma untuk para pengunjung iaitu di Festival Hub di Taman Kuliner, Jalan Raya Sanggingan, Ubud.

Di sana nanti terdapat 70 gerai yang menawarkan pelbagai hidangan khas Nusantara seperti dari Aceh, Ternate, Manado, dan Bali.

Lebih istimewa, pengunjung juga berpeluang mengikuti Sesi Forum bersama panel jemputan bagi membincangkan idea-idea menarik mengenai makanan Indonesia di peta dunia, sejajar dengan tema sambutan kali ini 'Spice Up the World'.

Jadi, apa lagi cepat book tiket flight anda ke Bali sekarang! Sambil bercuti, boleh jalan-jalan cari makan…seronoknya.

Destination: 
;