Wow, Melaka Ada 'Restoran Asam Pedas Terbesar Di Malaysia'!

FOODIE
January 28, 2022 - 12:50 PM


Melaka sememangnya terkenal antara lokasi kegemaran rakyat Malaysia untuk Jalan-Jalan Cari Makan setiap kali tibanya cuti hujung minggu atau cuti umum.

Bermula 15 Februari ini jika anda turun ke Melaka untuk mencari menu popular Asam Pedas, korang jangan lupa untuk singgah ke "Restoran Asam Pedas Terbesar Di Malaysia" iaitu Restoran Asam Pedas Power Perigi Hang Li Po!

Restoran ini yang bakal mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Records (MBOR) kerana mampu menampung sehingga 1,500 pelanggan pada satu-satu masa dijangka menjadi satu lagi tarikan pelancong yang bercuti ke Melaka.

Pemiliknya, Muhammad Firdaus Abdul Aziz berkata cawangan keempat dan terbesar Restoran Asam Pedas Power Perigi Hang Li Po itu bakal menyediakan sebanyak 360 meja dan menghidangkan 1.5 juta masakan Asam Pedas setahun.

Menurutnya, antara kelainan yang ditawarkan di restoran itu adalah pelanggan boleh menentukan sendiri tahap kepedasan kuah asam pedas yang dipesan.

“Kuah asam pedas ditawarkan ada dua jenis iaitu ‘original’ (asli) dan pedas. Pedas original tidaklah terlalu pedas masih sesuai untuk kanak-kanak dan pelancong asing.

“Peminat hidangan pedas boleh pilih kuah pedas ‘terbakar’ yang kena dengan selera mereka,” katanya.

Muhammad Firdaus berkata, idea membuka restoran asam pedas terbesar itu timbul selepas kerajaan memberi kelonggaran dengan membenarkan pelanggan makan di restoran (dine-in).

“Ketika itu, saya lihat ramai yang datang ke Melaka untuk menikmati asam pedas hingga menyebabkan kedai dan restoran menjual hidangan itu penuh. Timbul idea untuk buka cawangan keempat dengan keluasan boleh menampung pelanggan dalam jumlah yang ramai.

“Bukan saja selesa pelanggan datang bersama keluarga tak perlu tunggu lama untuk menjamah hidangan, parkir juga banyak boleh menampung 150 kenderaan pada satu masa,” katanya.

Restoran Asam Pedas Power Puteri Hang Li Po antara ikon makanan Melaka dan menjadi pilihan pelancong mahu menikmati hidangan itu.

Sumber: Melaka Hari Ini

Destination: