5 Port Makan Sate Minang di Sekitar KL & Selangor Anda Boleh Cuba
FOODIEPernah mencuba sate Minang? Sate Minang atau sate Padang ini selalunya disajikan dengan kuah kuning yang mempunyai rasa yang sedikit pedas dan tekstur kuahnya seperti bubur.
Sate Padang atau Minang diperbuat daripada daging sapi (lembu) serta organ dalaman lembu. Kuahnya bercampur dengan kuah kacang kental seperti bubur, dan ditambah cabai (cili) yang banyak sehingga rasanya pedas.
Kedai Makan Satay Kenari Minang
Sate Minang antara makanan tradisi yang cukup digemari bukan setakat dalam kalangan komuniti Minangkabau, bahkan di seluruh Malaysia.
Walaupun lebih sinonim di Negeri Sembilan, Sate Minang juga boleh dinikmati di Kampung Sesapan Batu Minangkabau, Beranang, Selangor. Kebudayaan Minang cukup kuat di sini termasuk dari segi makanannya.
Dan salah satu kedai makan yang popular untuk menikmati makanan ini ialah di Kedai Makan Kenari Satay Minang.
Bagi mereka yang baru pertama kali merasa sate Minang ni, korang pasti akan tertanya-tanya kenapa kuahnya kuning? kenapa daging dan ayam yang digunakan tak sama dengan sate biasa? Jawapan dia itulah uniknya sate Minang. Kuah kuning bukan kuah kacang, rasanya juga berbeza kerana ada sikit rasa pedas dari rempah dan juga rasa lemak.
Sate Minang juga dihidangkan bersama bawang goreng dan dialas dengan daun pisang.
Alamat: Kenari Satay Minang, Beranang, Selangor
Waktu Operasi: Setiap hari
Sate Minang Pak Yat Paya Jaras
Jika anda berada sekitar Sungai Buloh, anda wajib singgah di Sate Minang Pak Yat Paya Jeras untuk mencuba sate Minang yang bukan sahaja menyelerakan, malah asli resepinya.
Sate yang dibakar dengan arang kayu ini didatangkan dengan pelbagai jenis. Antaranya ialah sate hati, limpa, paru, daging dan ayam yang diperap dengan rempah khas.
Alamat: lot, 2986, Jalan Kuala Selangor, Kampung Paya Jaras Tengah, 47000 Sungai Buloh, Selangor
Waktu Operasi: Setiap hari, 12 – 8 pm
Sate Minang Mak Buyuang, Taman Dato Harun
Bagi mereka yang berada di sekitar Petaling Jaya, korang boleh datang ke Sate Minang Mak Buyuang pada sebelah petang sampai lah ke malam. Harga satu set sate (5 cucuk sate dan 1 nasi impit) dijual sekitar RM6 sahaja. Sate yang dibakar sangat fresh dan kuahnya juga sangat padu ya.
Ada 3 pilihan set sate iaitu sate ayam, daging dan juga perut.
Alamat: no 1 lorong 7c taman dato harun 46000 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia
Waktu Operasi: Setiap hari, 4 – 11 pm
Sate Minang Pak Edi
Sate Minang Pak Edi terletak di Shah Alam dan antara restoran makanan minang yang agak popular di Selangor. Rasanya dah banyak kali masuk TV. Selain Sate kat sini juga ada Soto Padang menggunakan potongan daging sapi yang digoreng, Gado-gado, Bakso Gearbox dan banyak lagi.
Menariknya di sini, ayam yang digunakan direbus terlebih dahulu daan kuah satenya pekat dan padu. Rasa pedas rempah dan lemak di dalam kuah sate menjadikan sate minang di sini sebagai pilihan utama untuk pelanggan mereka. Satu set sate di jual sekitar harga RM4.50 - RM5 sahaja.
Alamat: Pasar Malam Paya Jaras, Sungai Buloh, Malaysia, 40160
Waktu Operasi: Setiap hari, 1 – 11 pm
Sate Minang di Restoran Rose Kampung Baru
Terletak di tengah-tengah bandaraya KL, lokasi ini juga antara port masakan Minang yang menjadi pilihan buat warga kota. Sate Minang ini, ada 5 cucuk sate dan nasi impit berserta kuah. Kuahnya yang pedas dicampur pula dengan ramuan rempah ratusnya, ramuan ini menyebabkan sate ini menjadi lebih sedap dan amat menyelerakan. Sate Minang ini selain menggunakan daging ayam, mereka menggunakan daging lembu yang telah di salai.
Jika anda memesan set Sate Minang Special, anda akan mendapat 5 cucuk sate ayam dan 5 cucuk sate daging berserta nasi impit bersama kuah yang ditabur bawang goreng di atasnya. Set ini cuma berharga RM7.50 sahaja. Ada set-set sate yang lain seperti Sate Minang Biasa RM5.50, Sate Kacang Special RM7.50 dan Sate Kacang Biasa RM5.50.
Restoran Rose ini bukan sahaja menyediakan menu Sate Ala Minang, malah menyediakan pelbagai menu masakan dari Indonesia terutamanya dari daerah Padang, Samutera iaitu masakan ala Minangkabau. Antara menu lain yang menjadi tumpuan pelanggan ialah sate kacang, nasi padang, nasi gurih, bakso, pecal, soto, gado-gado dan lotex.
Lokasi: Restoran Rose, No. 49A Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur, WP Kuala Lumpur 50300