Dapo Putih - Kafe 'Outdoor' Estetik Ala Inggeris Tarikan Terbaru Sungai Besar, Selangor
FOODIEPemandangan hamparan sawah padi yang menghijau berserta kepulan awan seperti kapas yang menghiasi langit biru cukup membuai perasaan dan menambahkan ketenangan jiwa.
Apatah lagi jika dapat duduk di bangku dengan angin bertiup sepoi-sepoi bahasa sambil menghirup secawan kopi hangat.
Jika inginkan suasana santai sambil menjamu selera sebegitu -- anda boleh berkunjung ke Sungai Besar, Selangor yang sememangnya popular dengan pemandangan sawah padi terbentang luas yang sangat menenangkan.
Setibanya di sana, anda carilah sebuah kafe 'outdoor' ini yang berkonsepkan estetik dan moden ala Inggeris dengan tema berwarna putih.
Kafe yang diberi nama Dapo Putih ini benar-benar memikat mata sesiapa yang melihatnya untuk singgah dan makan di situ.
Dengan reka bentuk unik dikelilingi kehijauan alam semulajadi, banyak spot menarik di Dapo Putih yang boleh dijadikan sebagai latar belakang untuk bergambar cantik kepada para pengunjung.
Dapo Putih ini menawarkan hidangan menu menarik seperti piza leleh, mee kari, chicken chop dan spaghetti yang cukup membuka selera.
Selain itu, untuk pilihan pencuci mulut mereka turut menghidangkan kek batik, blueberry cheese cake dan biscoff cheese cake.
Dapo Putih dibuka pada setiap hari Rabu, Jumaat, Sabtu dan Ahad dari jam 3 petang hingga 11 malam.
Jika ingin ke sini, anda Waze sahaja Dapo Putih, lokasinya terletak betul-betul berhadapan SMKA Tun Rahah, Simpang Lima Sungai Besar.
Kredit Gambar: Syafika Diyana