Kampung Baru, 'Syurga Makanan' KL - Ini 10 Port JJCM Best Yang Wajib Korang Terjah!
FOODIEHujung minggu atau hari bercuti mesti korang nak keluar berjalan bersama keluarga di bandar. Pernah tak korang ketandusan idea nak makan kat mana bila dah sampai ke Kuala Lumpur?
Asyik kedai yang sama je, setiap kali korang datang ke Kuala Lumpur mestilah korang nak bertukar selera pula-kan? Kalau sebut Kampung Baru memang banyak pilihan kedai makan yang sesuai mengikut 'tekak' korang.
Sini min senaraikan korang 10 kedai makan terbaik yang ada di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
1. Nasi Lemak Wanjo
Kedai nasi lemak ni beroperasi sejak 1960 dan dikatakan rasa sedapnya masih kekal seperti dulu. Kalau korang ke Kampung Baru, kedai ni menjadi tempat wajib persinggahan untuk merasa nasi lemaknya yang bermacam-macam pilihan lauk. Bukan setakat nasi lemak biasa je ada tapi deretan jenis lauk macam sambal kerang, sambal sotong, begedil, paru goreng, ayam goreng berempah dan rendang ayam.
Banyak betul pilihan yang korang boleh minta dan nasi lemak biasa cuma RM3.50 sahaja.
Setiap waktu korang akan nampak Nasi Lemak Wanjo ni sentiasa penuh dengan orang tapi jangan risau kalau datang ke sini beramai-ramai sebab kedainya luas dan banyak tempat duduk.
Buka setiap hari bermula 6 pagi sehingga 12 tengah malam.
2. Nasi Lemak Kak Chuk
Warung Nasi Lemak Kak Chuk telah beroperasi lebih 20 tahun serta salah satu port makan terkenal kat Kampung Baru ni tau. Rata-rata orang Kuala Lumpur kenal dengan Nasi Lemak Kak Chuk ni sebab hidangan dia unik dan tak sama macam nasi lemak lain di Kampung Baru.
Nasi Lemak Kak Chuk punyai pelbagai pilihan lauk dan ia unik kerana dihidangkan bersama sayur kangkung dan portion sepinggan dia banyak weh.
Dibuka setiap hari kecuali Isnin dan waktu operasi Nasi Lemak Kak Chuk seawal 7 pagi sehingga nasi habis dan dibuka semula pukul 5.30 petang sehingga nasi habis.
3. Suraya Tomyam
Suraya Seafood atau dikenali sebagai "Mini Hatyai" oleh pelanggannya yang pernah ke sini kerana lambakan dessert dan street food seakan-akan di Thailand. Ini membezakan Suraya Seafood dengan restoran tomyam yang lain di Kampung Baru.
Pulut mangga merupakan menu yang selalu pelanggan order setiap kali makan di sini dan min sarankan korang pun cuba. Bukan sekadar masakan panas yang ada di sini bahkan ada juga mee celup, bubur berlauk, somtam, colek kerang dan pelbagai jenis sosej bakar.
Walaupun parking kat sini susah dan kena hadap jammed, memang berbaloi semua tu bila korang makan dekat Suraya Seafood.
Suraya Seafood dibuka setiap hari pada pukul 5 petang hingga 2 pagi, hujung minggu pula dibuka seawal 1 petang sehingga 4 pagi.
4. Cendol Durian Kampung Baru
Warung cendol ini antara yang terkenal dan tersedap di Kampung Baru sebab harganya yang berbaloi serta portion-nya banyak. Yang best-nya kat sini pelanggan boleh memilih jenis durian yang ingin diletakkan bersama cendol namun pilihan durian bergantung kepada musim.
Dikatakan Cendol Durian Kampung Baru menghidangkan cendol durian kampung yang terbaik di sekitar Kuala Lumpur dan harga cendol durian tersebut bermula RM13 saja. Berbaloi sangat!
Korang boleh pilih nak makan kat sini dan nak bungkus atau drive-thru pun takde masalah.
Cendol Durian Kampung Baru dibuka setiap hari pada jam 11 pagi sehingga 12 tengah malam.
5. Samudra @ Anjung Patin Ville
Kalau korang mahukan makanan Melayu asli yang menghidangkan ikan patin tak perlu pergi ke Temerloh, Pahang atau kampung nelayan. Samudra Exotic River Fish Restaurant atau nama lainnya Samudra @ Anjung Patin Ville menghidangkan ikan air tawar yang eksotik seperti patin sangkar, jelawat, tilapia dan banyak lagi boleh dimasak dengan pelbagai jenis masakan Melayu yang menggiurkan.
Untuk pengetahuan korang, hidangan patin tempoyaknya sering mendapat pujian orang ramai sebagai tempoyak yang terbaik di Kuala Lumpur dan ia merupakan salah satu makanan yang wajib ditempah sewaktu menjamu selera di sini.
Samudra @ Anjung Patin Ville dibuka setiap hari bermula jam 11.30 pagi sehingga 10 pagi.
6. Ayam Penyet Mak Maya
Kepada yang gemarkan ayam penyet, restoran Ayam Penyet Mak Maya tawarkan hidangan yang terbaik untuk korang. Sambal yang dibuat segar dipadankan pula dengan ayam dan ikan goreng memang surr.
Apa yang membezakan Ayam Penyet Mak Maya dengan restoran ayam penyet yang lain adalah ayam dan sambal yang dibuat segar, pedasnya padu dan beraroma. Tak cukup kalau makan di sini cuma sepinggan nasi tanpa nasi tambah.
Kalau korang tak nak ayam, di sini juga ada ikan kembung dan ikan keli goreng yang syiok minum dengan air kedondong asam boi.
Kedai ini dibuka setiap hari kecuali hari Khamis dan dibuka seawal 10 pagi sehingga 6 petang.
7. Gerai Pak Hassan
Gerai Pak Hassan mungkin jadi tempat wajib buat korang yang ingin makan roti canai dicicah dengan kari kaki ayam. Warung ini cukup terkenal dengan hidangan tersebut yang jarang didapati di mana-mana kedai sekitar Kampung Baru. Rata-rata pelanggannya memuji kuah kari yang pekat dan rasa rempah yang cukup elok.
Selain roti canai kari kaki ayam, Gerai Pak Hassan juga terkenal dengan bubur lambuknya yang dijual sejak 1983. Waktu bulan Ramadan lalu memang penuh orang beratur nak dapatkan bubur lambuk Pak Hassan ni.
Gerai Pak Hassan dibuka setiap hari kecuali Isnin dan dibuka pada jam 7 pagi sehingga 1 petang.
8. Restoran Gerak 23
Restoran ini setiap masa penuh dengan orang, dah macam kenduri. Tambah pula jika waktu lunch yang sememangnya tak putus-putus dengan pelanggan yang datang makan di sini.
Restoran Gerak 23 menjadi port pilihan orang ramai ketika makan tengahari kerana lambakan jenis lauk dan ulam-ulaman disediakan di situ. Rambang mata nak pilih lauk seperti ayam dan ikan bakar, dendeng ayam, kerutuk daging dan masakan lemak salai turut ada di sini.
Restoran Gerak 23 ini dibuka setiap hari bermula jam 11 pagi sehingga 7 malam.
9. Restoran Nasi Padang Kampung Baru
Singgah sahaja di Restoran Nasi Padang Kampung baru untuk merasai masakan asli daripada Indonesia. Bukan sahaja aroma makanannya memikat, bahkan rasanya pun sedap dan harga lebih berpatutan dari kedai lain yang menghidangkan nasi padang di sekitar Kuala Lumpur.
Ruang makannya luas dan ber-aircond menambah lagi keselesaan bila korang makan di Restoran Nasi Padang Kampung Baru.
Antara menu pilihan pelanggan yang datang ke sini ialah dendeng berlado, terung berlado, gulai tunjang, gulai ayam dan amat sesuai dipadankan dengan sambal terasi mahupun sambal ijo.
Restoran Nasi Padang Kampung Baru dibuka setiap hari pada jam 10 pagi sehingga 10 malam.
10. Selera Ramai Ikan Singgang
Buat korang yang terliurkan makanan dari pantai timur seperti masakan singgang, Selera Ramai Ikan Singgang tawarkan hidangan singgang yang terbaik!
Yang tak gemar makan singgang pun akan minat masakan di sini kerana kuah singgangnya penuh dengan rasa seperti pedas, masam dan manis buat korang teringin lagi nak makan masa akan datang. Lebih sedap dipadankan bersama budu, ikan rebus goreng dan daging goreng kunyit. Bak kata orang kelantan "meme nyakut".
Selera Ramai Ikan Singgang dibuka setiap hari bermula jam 5 petang sehingga 2 pagi.
Jadi korang dah tahu kan tempat-tempat makan best di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Kalau korang ke sini memang tak ketandusan idea dah nak makan di mana bersama kawan-kawan atau keluarga.