Kisah Di Sebalik Viral 'Pulut Dan Kopi'

FOODIE
June 16, 2021 - 02:05 PM


Sejak bermulanya 'Total Lockdown' pada awal Jun ini -- viral di media sosial dengan beberapa gambar anak muda yang menjual kopi dan pulut di tepi jalan sehingga mendapat perkongsian dan bualan hangat netizen.

Dilabelkan sebagai "Gerai Kopi Paling Comel Di Malaysia", siapa sangka ada kisah menarik di sebalik perniagaan berkonsepkan minimalis itu yang dijalankan sejak tiga bulan lalu.

Memetik laporan daripada Malaysia Gazette, idea mengusahakan Kopi dan Pulut yang beroperasi di depan Mydin Bandar Teknologi Kajang, Selangor ini tercetus hasil inspirasi dari gerai kopi jalanan di negara Jepun.

Ia seterusnya mendorong dua sahabat baik iaitu Iffah Irdina dan Nor Fazrina Fazrin Hassan, masing-masing berusia 27 tahun untuk mengusahakan perniagaan kopi dan pulut kuning yang kini semakin mendapat perhatian pelanggan.

Siapa sangka gerai jalanan dengan sebuah payung putih dan meja kecil itu sebenarnya menghidangkan kopi ais serta pulut kuning yang enak hasil air tangan dua gadis yang juga merupakan penuntut Sarjana di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Menurut Iffah Irdina yang berasal dari Kedah, mereka mengambil masa kira-kira enam bulan untuk mendalami selok-belok perniagaan serta cara-cara menghasilkan kopi yang enak dari pakar kopi serta barista.

“Idea untuk mula buka gerai ini terinspirasi dari ‘street coffee’ yang kami lihat ketika bercuti di Jepun kerana di negara tersebut tidak banyak kafe tetapi mereka lebih kepada gerai kopi di tepi jalan.

“Selain itu, kami mahu normalisasikan trend ini di Malaysia maka tercetus lah idea Pulut dan Kopi,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Bandar Teknologi Kajang.

Berkongsi lanjut, Iffah Irdina berkata, mereka berdua sudah lama mengusahakan perniagaan pulut kuning bersama rendang yang dihantar terus ke rumah pelanggan berdasarkan tempahan yang diterima.

“Sebab itu kami fikir apa salahnya digabungkan kedua-dua menu ini iaitu kopi dan pulut kuning kerana ia merupakan makanan kegemaran orang zaman dahulu.

“Misalnya orang tua dulu macam mak saya habis sahaja mengaji dia suka menjamah pulut bersama air kopi, jadi perniagaan kami ini ibarat mengimbau kembali nostalgia,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai sambutan daripada pelanggan, Iffah Irdina berkata, dia bersama Nor Fazrina tidak menang tangan untuk melayan pelanggan yang semakin bertambah sejak akhir-akhir ini.

Tambah Iffah Irdina, ada sebilangan pelanggan yang datang kembali ke gerai mereka dan memberikan maklum balas yang positif mengenai kopi serta makanan yang dijual.

“Masa mula-mula beroperasi, orang ramai menghampiri kami kerana mereka sendiri tertanya-tanya apa yang kami buat di tengah panas dengan payung berwarna putih dan sejak itu barulah semakin ramai pelanggan yang datang.

“Kami kenalkan kepada pelanggan beberapa jenis pilihan minuman yang ada seperti Americano, Latte, Gula Melaka Latte, Caramel Latte, Salted Caramel Latte manakala pulut kuning kami pula boleh dipadankan dengan rendang daging, ayam atau pun sambal ikan bilis petai.

“Minuman dan makanan yang dijual bermula dengan harga serendah RM3.50 sehingga RM7 dan kesemuanya merupakan menu mampu milik serta ringkas,” katanya.

Pada hari biasa mereka akan menjual kira-kira 200 bungkus pulut bersama rendang dan jumlah tersebut akan digandakan pada hujung minggu.

Katanya lagi, pulut kuning itu merupakan hasil air tangan mereka sendiri dengan dibantu oleh ibu Nor Fazrina.

Kalau korang ada yang teringin untuk merasai sendiri kelazatan hidangan mereka ini, Pulut dan Kopi dibuka setiap hari Sabtu hingga Khamis (Jumaat sahaja tutup) bermula dari pukul 11 pagi sehingga jualan habis.

Korang boleh juga Waze untuk ke gerai mereka dengan mencari: Pulut & Kopi Roadside.

Sumber: Malaysia Gazette & FB Pulut dan Kopi

Destination: