Keunikan 'Roti Canai Pelangi' Kuala Selangor Hadir Bersama Perisa Buah-Buahan

FOODIE
July 29, 2022 - 12:34 PM


Jika berkunjung atau bercuti di Kuala Selangor dan inginkan sebuah pengalaman bersarapan pagi yang sedikit unik -- korang kena cuba hidangan 'roti canai pelangi' di sebuah warung yang terletak di Kampung Sungai Yu.

Hanya berjarak 70 kilometer dari Kuala Lumpur, kedai roti canai tersebut yang dikenali sebagai Warung Roti Canai Pelangi menawarkan roti canai pelbagai perisa dan warna yang diadun menggunakan 'resepi rahsia' pemiliknya iaitu Dimyati Tualo yang berusia 61 tahun.

Pelanggan yang datang bakal dihidangkan dengan barisan doh tepung pelbagai warna terang yang disusun berselang-seli di atas meja bak pelangi sebelum ditebar dan dimasak.

Hidangan unik itu bukan sahaja mempunyai warna menarik seperti merah jambu, hijau, biru dan kuning -- sebaliknya ia hadir bersama perisa seperti strawberi, durian, epal, keladi dan jagung.

Pelanggan boleh memilih warna mengikut perisa kegemaran masing-masing iaitu Oren (Durian); Merah (Strawberi); Kuning (Jagung); Hijau (Epal); Biru (Keladi) dan Putih (Original).

Menurut cerita pemiliknya yang dipetik Bernama -- beliau mengambil masa kira-kira enam bulan untuk 'bereksperimen' mendapatkan resepi dan sukatan betul bagi memasukkan warna serta bahan perisa yang tepat ke dalam adunan.

"Mula-mula saya hanya letak pewarna sahaja, empat bulan kemudian saya mula bereksperimen meletakkan bahan perasa pula.

"Penyesuaian sukatan bahan termasuk pewarna, perisa dan bancuhan air, termasuk suhu sesuai adalah aspek paling mencabar dan rumit bagi menjayakan resepi ini, tersalah bancuhan akan menyebabkan keseluruhan adunan rosak," katanya.

Penebar roti canai dengan 15 tahun pengalaman itu berkata perniagaan yang beroperasi 7 pagi hingga 12 tengah hari, itu secara purata menerima 300 pelanggan pada hari Selasa hingga Khamis dan boleh mencecah 1,000 pelanggan ketika beroperasi pada hujung minggu.

Katanya keunikan roti canai yang mula ditawarkan pada awal 2020 itu turut menjadi tarikan pelancong selain menjadi pilihan persinggahan pasukan konvoi bermotosikal yang melalui kawasan tersebut.

Menurutnya, sambutan memberangsangkan pelanggan itu turut membuka peluang pekerjaan secara separuh masa kepada anak-anak muda di kampung berhampiran memandangkan beliau memerlukan sehingga 16 pekerja bagi menyokong operasi.

Bapa kepada lima anak itu berkata beliau mengambil masa kira-kira empat jam untuk menyiapkan roti canai berharga RM1.50 itu, serta menggunakan hampir 10 guni tepung gandum untuk operasi lima hari seminggu.

Sumber: BERNAMA

Destination: