D'Muara Marine Park 'Syurga' Buat Kaki Pancing Dan Staycation Atas Air!

TRAVEL
May 31, 2023 - 03:19 PM


Pada hujung minggu ni sudah pasti korang mahukan short escape setelah tiada cuti panjang selepas Hari Raya Aidilfitri bulan lalu. Dalam kepala mesti dah fikirkan tempat yang boleh bawa keluarga untuk tenangkan diri tanpa lakukan aktiviti berat.

Chalet Terapung Sungai Besar atau dikenali sebagai D'Muara Marine Park, Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor tempat sesuai buat korang yang menginginkan percutian di atas air dan menghadap matahari ketika sunset yang sungguh cantik.

Perjalanan daripada Kuala Lumpur ke D'Muara Marine Park mengambil masa kira-kira 1 jam 45 minit yang pasti buatkan korang tak sabar untuk pergi kerana masih lagi dalam lingkungan negeri Selangor.

Buat yang gemarkan aktiviti memancing, di sini tempat yang amat sesuai untuk bercuti dalam masa yang sama boleh tunaikan hobi korang.

D'Muara Marine Park berkonsepkan alam dan didirikan di pinggir pantai Sungai Haji Dorani yang menghadap laut Selat Melaka lengkap dengan kemudahan serba moden dan eksklusif.

Penduduk tempatan mahupun pengunjung tidak asing lagi dengan D'Muara Marine Park yang sering menjadi tumpuan peranginan mahupun membuat pelbagai aktiviti riadah dan cukup sesuai untuk mengadakan family day di sini.

Bukan saja menawarkan harga bilik yang berpatutan, bahkan D'Muara Marine Park tawarkan pelbagai aktiviti buat korang yang menginap di sini. 

Boleh Memancing Dari Balcony Bilik

Korang boleh memancing dari bilik saja apabila air pasang kerana kedudukan chalet D'Muara Marine Park betul-betul berada atas laut dan jika bernasib baik, korang boleh dapat ikan jenahak dan kerapu tau!

Luangkan masa yang berkualiti bersama keluarga dari dalam bilik sambil memancing di balcony sementara menunggu hasil tangkapan 'mengena' umpan. Selesai saja memancing, korang boleh terus BBQ di D'Muara Marine Park yang telah disediakan. Bayangkan korang makan hasil laut yang ditangkap segar!

Sekiranya korang mahukan hidangan selain dari bakar, boleh bawa hasil tangkapan tersebut dan pergi ke restoran ikan bakar berdekatan, Abah Ikan Bakar yang terletak tidak jauh dari situ.

Bukan setakat ikan bakar, pelbagai makanan laut yang eksotik terdapat di Abah Ikan Bakar antaranya geoduck (siput belalai gajah), pepahat, scallop, kerapu serta lobster-nya yang cukup murah.

Menu masakan yang menjadi pilihan pengunjung yang datang ke situ semestinya ikan bakar bersambal, masak 3 rasa, stim limau, goreng tepung, masak pedas, masak kicap dan yang harus dicuba bila korang datang ke Abah Ikan Bakar adalah Salted Egg Buttermilk.

Tidak lengkap jika berkunjung ke D'Muara Marine Park tanpa menikmati kerang bakar mahupun ikan bakar sambil menikmati pemandangan laut yang cukup menenangkan -- menjadi terapi jiwa dan minda yang sebelum ini penat bekerja.

Naik Bot Tengok Kelip-Kelip 

Bila kali terakhir korang tengok kunang-kunang atau kelip-kelip di kampung? Mungkin berbelas atau berpuluh tahun lalu ketika di kampung.

Dah kenyang makan sea food di Abah Ikan Bakar, korang boleh cuba aktiviti tengok kelip-kelip di Pusat Konservasi Kelip-Kelip Sungai Panjang yang menambahkan lagi ketenangan korang.

Suasana malam yang meriah dengan cahaya kelip-kelip memang mengasyikkan! Habitat kelip-kelip di Sungai Panjang antara lokasi menarik wajib dterokai pencinta alam sekitar atau sesiapa yang mahu menikmati keajaiban alam.

Naiki bot menelusuri Sungai Panjang yang berharga RM15 untuk dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak. Bot dibawa perlahan untuk korang menikmati dan menghargai kehadiran kelip-kelip di sekeliling.

Aktiviti melihat kelip-kelip di sekitar Sungai Panjang ini biasanya bermula 8 malam sehingga 10 malam kerana tempoh berkenaan adalah waktu kebiasaan serangga bercahaya ini mengerumuni pokok paya bakau di sungai berkenaan.

Korang akan dibawa ke kawasan kelip-kelip bagi menikmati suasana yang cukup indah. Bayangkan kepekatan malam yang ditemani bunyi serangga dan dihidangkan dengan pemandangan menakjubkan -- ribuan cahaya kecil umpama bintang berselerakan di langit.

Setiap unit di D'Muara Marine Park berharga RM150 dan boleh muat sehingga 6 orang dewasa ini turut disediakan dengan sarapan pagi yang korang boleh nikmati di balcony bilik. Suasana sarapan korang akan jadi sarapan terbaik dalam hidup menghadap view laut yang sangat menakjubkan.

Cuti hujung minggu dan public holiday kali ni mungkin menjadi percutian yang diimpikan di D'Muara Marine Park!

D'Muara Marine Park

Alamat : D'Muara Marine Park, Jalan Lama Kuala Selangor, Kampung Sungai Haji Dorani, 45400, Kuala Selangor, Selangor.

Destination: