Chalet Terapung PPK Merbok Di Kaki Gunung Jerai, Port Percutian Keluarga Kaki Pancing!
TRAVELTiada lagi bau asap kenderaan, bunyi bising atau hiruk-piruk sebarang jenis kenderaan dan ia sememangnya menjadi idaman ramai terutama warga kota.
Apa lagi jika dapat melihat sendiri suasana matahari terbenam dengan kicauan burung dari pepohon bakau, selain kehadiran bot kecil menyusul masuk ke jeti kala senja.
Bagi kebanyakan daripada kita ia biasanya dilihat dalam lukisan sahaja, namun itulah pengalaman mengujakan yang dapat anda nikmati jika bercuti di Kampung Segantang Garam, Merbok, Sungai Petani, Kedah.
Sebenarnya lokasi ini sebelumnya hanya dikenali sebagai kawasan bersejarah kerana memiliki tinggalan arkelogi bernilai di Lembah Bujang.
Malah pasti ramai yang tidak mengetahui lokasi di Kampung Segantang Garam, terletak di kaki Gunung Jerai ini sebenarnya menjadi 'syurga' untuk kaki-kaki pancing.
Selepas puas meronda sekitar kampung dengan menyaksikan suasana mendamaikan dan makanan segar dari restoran tempatan, anda perlu merasai sendiri pengalaman bermalam di Chalet Terapung Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Merbok di Kampung Segantang Garam.
Ternyata menginap di chalet yang sepenuhnya terapung tanpa menggunakan tiang itu, begitu mengujakan terutama bagi mereka yang menginginkan ketenangan bagi melepaskan tekanan akibat bebanan kerja.
Suasana dan persekitaran kawasan chalet ini yang dikelilingi kehijauan hutan paya bakau membuatkan pengunjung yang berhasrat lari dari kesibukan bandar 'melekat' sejurus merasai kedamaiannya.
Bunyi deruan ombak perlahan dan suara manja unggas menjelang tengah malam juga pasti tidak akan dilupakan.
Ini ditambah dengan keramahan enam kakitangan membabitkan penyelia, kerani, pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan yang bertugas di chalet itu akan membuatkan pengunjung selesa kerana mereka sedia membantu memberikan perkhidmatan terbaik buat tetamu.
Selain memancing atas pelantar dari dalam bilik, pengunjung juga boleh melakukan aktiviti barbeku bersama keluarga dan mengelilingi kawasan hutan paya bakau yang juga antara hutan simpan paya laut terbesar di Malaysia dengan menggunakan bot.
Malah pengunjung juga berpeluang melawat lokasi pengusaha hasil laut seperti ternakan ikan, tiram, kupang, lokan.
Menariknya anda boleh mencuba sendiri pengalaman menikmati tiram segar mentah.
Pengunjung juga tidak perlu memikirkan untuk mencari kedai makan kerana lokasi terbabit yang terletak agak jauh dari bandar kini sudah dilengkapi dengan restoran terapung.
Namun sekiranya anda merupakan seorang pemancing tegar, anda mempunyai pilihan alternatif yang menjanjikan habuan lebih besar dengan bermalam di Chalet Teluk Bayu yang juga diuruskan PPK.
Sumber: Harian Metro