15 Tempat Menarik Di Muar & Tangkak Untuk Percutian Ke Bandar Diraja Johor
TRAVELJika bercakap tentang bercuti ke Johor, pasti ramai yang laju menyebut nama Johor Bahru, Mersing, Desaru, Pulau Rawa dan beberapa lagi lokasi popular di selatan tanah air itu.
Tetapi kalau anda inginkan sebuah percutian yang penuh dengan sajian makanan tempatan yang sedap, ditambah pula dengan sejarah Diraja dan tarikan alam semulajadi -- Muar dan Tangkak adalah lokasi tepat yang wajib anda kunjungi.
Paling best kedua-dua lokasi yang terletak bersebelahan ini juga merupakan tempat terbaik dan paling terkenal sebagai lubuk atau "port durian" best di Johor!
Banyak klon atau hibrid durian berasal dari Muar dan Tangkak seperti D198 Golden Phoenix serta durian IOI.
Jadi jika setiap kali tibanya musim durian antara bulan Mei hingga September -- ia merupakan tempoh masa terbaik untuk anda melancong ke Muar atau orang tempatan sebut "Muuooooo".
Kalau anda nak tahu Muar diisytiharkan sebagai Bandar Diraja pada tahun 2012 dan bandar ini juga diberi jolokan Bandar Maharani.
Baru-baru ini, Rileklah telah berpeluang mengikuti lawatan selama 3 hari 2 malam bersempena Majlis Pelancaran Pakej Durian Tourism 2023 yang dibawakan khas oleh pihak Tourism Malaysia ke Muar dan Tangkak.
Jom kita tengok 15 tempat menarik yang boleh anda kunjungi sekiranya bercuti ke Muar dan Tangkak bersama keluarga serta travel buddies anda!
1. MI SIPUT KAK CHIK
Korang tahu tak apa makanan terkenal di Johor khususnya di Muar dan Tangkak yang korang kena cuba sebaik menjejakkan kaki ke sana?
Korang kena cari Mi Siput atau mi sanggul sejenis makanan ringan atau kudap-kudap di petang hari yang popular dalam kalangan penduduk tempatan.
Berbentuk seperti muruku, Mi Siput disajikan dengan sambal sebagai pencicah. Memang kena rasa dia dan kalau tak sedar silap-silap korang boleh habiskan berbungkus Mi Siput sekelip mata.
Walaupun Mi Siput ini dalam kategori jajan, tetapi korang jangan tak tahu proses pembuatannya bukanlah mudah seperti yang disangka ya dan jika korang ke Muar boleh singgah ke Mi Siput Kak Chik untuk melihat sendiri dengan lebih dekat bagaimana proses pembuatannya dari A-Z.
Menurut pengusaha Mi Siput Kak Chik, Md Shahir Meskom yang membuat demonstrasi ketika lawatan kami baru-baru ini -- bahan-bahan membuat mi siput hanyalah tepung gandum, tepung sagu, air dan sodium.
Namun proses pembuatannya agak rumit dan lama kerana melibatkan proses menguli adunan menjadi doh, kepada meleperkan doh dan dipotong menjadi bentuk mi.
Selepas itu mi perlu direbus, diikuti pula proses ‘dicetak’ atau meletakkan mi yang direbus ke dalam acuan serta dikeringkan di bawah matahari -- sebelum diletakkan ke dalam ketuhar yang dibina beliau sendiri di mana ia merupakan sebuah bilik bersaiz sederhana dilengkapi gas, arang dan kipas.
Salah satu cabaran membuat mi siput juga adalah proses pengeringannya kerana sekiranya hujan -- mereka perlu meletakkan mi siput yang dicetak terus ke dalam ketuhar selama sekurang-kurangnya 15 hingga 16 jam, berbanding jika cuaca panas yang hanya mengambil masa empat ke lima jam.
Apa yang istimewa mengenai Mi Siput Kak Chik ini yang rugi jika korang tak cuba adalah teksturnya yang rangup, tidak terlalu berminyak dan dijual bersama sambal iaitu resipi khas.
Bestnya sambal Mi Siput Kak Chik ini rasanya manis-manis pedas dan memang padan dinikmati bersama mi siput rangup serta air teh panas di petang hari.
Datang sini korang jangan lupa untuk bawa balik Mi Siput sebagai buah tangan untuk keluarga dan rakan-rakan sama-sama mencuba.
Mi Siput Kak Chik dijual dengan harga RM6 sepaket bagi mi siput mentah seberat 400 gram, manakala RM14 untuk sekilogram.
Bagi Mi Siput yang sudah siap digoreng pula dijual dengan harga hanya RM1.50 sekeping bersama sambal yang dipek dalam bungkusan kecil.
ALAMAT: Kampung Sungai Ekor, 84700 Gerisek, Johor
NO TEL: 019-627 6570
2. ASAM PEDAS KAK FYDA
Jika sebut tentang hidangan Asam Pedas pasti ramai yang menjerit Melaka. Tapi korang tahu tak yang Johor juga sebenarnya memiliki hidangan Asam Pedas istimewanya yang tersendiri.
Kalau menurut min yang juga memang peminat Asam Pedas, min memang akui Asam Pedas Melaka ada keunikannya tersendiri iaitu dari segi rasa masam asam yang digunakan -- tetapi secara peribadi min lebih sukakan Asam Pedas Johor kerana ianya lebih berempah dan mempunyai rasa pedas melebihi rasa masam.
Tetapi terpulanglah juga pada citarasa masing-masing kan...
Kalau korang datang ke Tangkak, korang jangan lupa singgah untuk menjamu selera di Asam Pedas Kak Fyda yang kedainya terletak di tepi jalan sahaja.
Asam Pedas Kak Fyda ini telah memulakan perniagaan bermula awal tahun 2020 dan mendapat sambutan yang menggalakkan.
Kalau korang datang sini jangan lupa pesan lauk kepala ikan Asam Pedasnya memang sedap dan terangkat sangat rasanya! Selain itu, korang boleh juga cuba menu lain seperti ikan bakar dan siput sedut masak lemak cili padu. Memang padu!
ALAMAT: Lot 3674, Kampung Sagil Parit 2, 84900 Tangkak, Johor
NO TEL: 012-317 5344
3. OTAK-OTAK LEDANG
Siapa dekat sini suka makan Otak-Otak? Korang memang bercuti ke lokasi yang tepat iaitu Muar yang merupakan tempat asalnya pembuatan Otak-Otak iaitu isi ikan berempah yang digemari rakyat Malaysia sebagai makanan ringan.
Kalau korang nak tahu kenapa nama makanan ini diberi Otak-Otak ini adalah kerana ia dinamakan oleh masyarakat nelayan di Muar kerana ciri fizikal makanan ini yang berwarna merah, bentuk kotak dan tekstur seperti otak.
Otak-otak berasal dari Muar, kerana sepanjang persisir Sungai Muar terdapat tumbuhan liar iaitu pokok nipah yang daunnya sesuai dibakar untuk dijadikan sebagai juadah .
Nelayan Muar tidak mahu membazirkan sisa ikan yang dijual antaranya ikan tenggiri, tongkol dan udang kerana contoh hasil laut ini mempunyai kadar harga yang tinggi bagi masyarakat marhaen dengan situasi itu, lalu mereka mendapat idea untuk menjadikan hasil laut itu sebagai makanan sampingan.
Kalau dah ada di Muar, korang singgahlah di Norlin Frozen Foods yang merupakan pengeluar makanan Bumiputera yang terkenal dalam mengeluarkan produk makanan sejuk beku berasaskan ikan di bawah jenama Otak-Otak Ledang.
Jika ke sini, korang akan dapat melihat sendiri proses bagaimana Otak-Otak dimasak dan dibungkus sebelum dijual kepada pelanggan. Dalam masa sehari Norlin Frozen Foods boleh menghasilkan sehingga 18,000 keping Otak-Otak.
Menariknya kenapa korang kena cuba Otak-Otak Ledang ini adalah ia dikatakan antara Otak-Otak tersedap dan terbaik di Muar kerana dibuat menggunakan Ikan Surimi iaitu campuran isi ikan putih gred B seperti kerisi dan tenggiri serta diuli dengan bawang dan rempah ratus rahsia mereka.
Datang sini nanti korang jangan lupa borong pelbagai produk makanan sejuk beku yang dijual berasaskan Otak-Otak seperti popia, bebola, jejari dan daging burger.
ALAMAT: Tangkak, Kampung Parit Sialang, Kampung Teluk Rimba, 84400 Sungai Mati, Johor
NO TEL: 06-975 5176
4. DURIAN HUB TANGKAK
Setiap kali tibanya musim durian, memang rugi kalau korang tak bercuti ke Muar & Tangkak kerana di bandar ini kemeriahannya ibarat KenDurian (kenduri durian).
Manakan tidak kerana di Muar dan Tangkak sangat banyak ladang durian yang diusahakan oleh penduduk tempatan.
Jadi tidak hairanlah jika ada beberapa klon durian hibrid sebenarnya berasal dari Muar seperti Durian IOI dan durian Golden Phoenix yang menjadi kegemaran ramai rakyat Singapura.
Singgah ke Muar korang bolehlah jadikan aktiviti kutip durian di dalam ladang sebagai salah satu itenarari menarik nanti.
Antara ladang durian yang boleh korang lawati adalah Durian Hub Tangkak di mana di sini korang berpeluang mengutip sendiri durian yang jatuh dari pokoknya dan paling best korang boleh merasai keenakan ulas Durian Golden Phoenix kerana di ladang ini masih mempunyai ibu pokoknya yang masih hidup sehingga ke hari ini.
5. KOPI 434
Siapa kat sini merupakan 'coffee lovers'?
Muar pastinya adalah syurga untuk korang menikmati jenama kopi lokal yang disukai ramai sejak hampir 70 tahun lamanya.
Siapa yang tak kenal dengan jenama kopi popular di Muar ini iaitu Kopi 434 atau lebih lengkap Sai Kee Kopi 434.
Pasti ramai yang tertanya-tanya kenapa kopi Muar ini dinamakan 434? Apa cerita di sebalik pemilihan nombor ini? Kenapa nombor ini dipilih sedangkan menurut kepercayaan Cina mereka sangat sensitif dengan penggunaan angka "4".
Rupa-rupanya setelah kami berpeluang melawat kilang kopi 434 dan bertemu sendiri dengan pewaris jenama kopi ini barulah kami tahu bahawa nombor 434 yang digunakan sebenarnya merupakan nombor telefon sambungan yang dimiliki oleh Sai Kee Kopi Muar pada tahun 1960-an.
Setiap kali pelanggan ingin membuat tempahan kopi mereka akan menyebut no 434 tersebut untuk disambungkan kepada Pengasas Sai Kee, Kiar Han Sai dan akhirnya nombor berkenaan melekat sebagai 'branding' dan digunakan sebagai jenama kopi berkenaan.
Selepas melawat kilang kopi, korang boleh singgah pula ke restoran Kopi 434 bagi mencuba sendiri keenakan minuman selain boleh juga membeli beberapa produk uncang kopinya untuk dibawa pulang sebagai buah tangan.
Produk uncang kopi yang dijual adalah Kopi O Kosong, Kopi O Elephant dan Elephant Bean Drip Coffee.
Minum kopi di sini korang akan rasa vibes yang sangat menyeronokkan kerana pelbagai hiasan dalaman estetik dipamerkan dan cantik jika bergambar sekeping dua untuk diupload di media sosial.
ALAMAT: No. 121, Jalan Maharani, Taman Sri Emas, 84000 Muar, Johor
NO TEL: 06-951 3828
6. R&H CAFE SATAY MAHARANI
Kalau korang datang Muar korang jangan terkejut jika melihat orang tempatan di sana pagi-pagi dah meriah dengan hidangan sarapan Sate dan Mee Rebus dorang yang sangat popular tu.
Mesti ramai yang 'cannot brain' macam mana dorang makan sate di waktu pagi tak terkejut ke perut dorang nanti...hahaha...yes believe it or not, this is MUAR yoooo!!!
Dah datang Muar korang kenalah tukar gaya pemakanan macam orang Muooo. Jom cuba bersarapan di port best yang terkenal di sana iaitu R&H Cafe Satay Maharani.
Kenapa nama kedai ni Maharani sebab kedai ini rupa-rupanya antara tempat makan kegemaran Sultan Johor sendiri tau dan Baginda dan beberapa keluarga Diraja pun pernah datang bersantap di sini.
Datang ke sini nanti korang jangan lupa pesan hidangan wajib kedai ini iaitu Sate, Lontong, Mee Rebus, Soto, Tahu Lentok, Roti Telur Manja (telur goyang) -- di mana semuanya sedap-sedap belaka!
Selain hidangannya yang lazat, suasana di R&H Cafe Satay Maharani ini juga cukup cantik dan mendamaikan kerana dihiasi dengan pokok-pokok hiasan segar serta pelanggan juga mempunyai pilihan untuk menjamu selera di beberapa buah pangkin kayu kecil yang disediakan seperti vibe di kampung-kampung.
ALAMAT: 15, Jalan Seri Temenggong 26/1, Taman Sri Temenggong, 84000 Muar, Johor
NO TEL: 018-215 2794
7. MEDAN SELERA SABAK AWOR
Bila tiba masa untuk makan malam, korang boleh cuba menjamu selera ke Medan Ikan Bakar Sabak Awor yang popular dengan pilihan makanan laut.
Berkonsepkan medan selera, pelbagai makanan laut yang segar-segar dipamerkan untuk korang pilih mengikut cita rasa sebelum dimasak menjadi hidangan.
Antara hidangan utama untuk santapan yang lazat untuk anda cuba ialah Siakap Masak 3 Rasa dan Stim Limau, Udang Salted Egg, dan Sotong Goreng Tepung. Kenyang perut dibuatnya!
ALAMAT: Medan Selera, Jalan Cahaya, Sabak Awor, 84000 Muar, Johor
NO TEL: 012-697 2564
8. MAK PON MEE BANDUNG MUAR
Penyediaan Mee Bandung Tradisional Muar bermula semenjak lebih daripada 50 tahun dahulu.
Mee Bandung Muar amat berbeza daripada masakan mee biasa di mana hidangan ini mengutamakan bahan seperti udang kering, kacang tanah dan kepedasan cili dengan lemak manis.
Kalau dah datang bercuti ke Muar memang tak sah kalau korang tak beli perencah mee bandung asli Muar yang boleh korang dapatkan di Mak Pon Mee Bandung Muar ini.
Di kedai ini korang berpeluang untuk melihat sendiri bagaimana proses penghasilan perencah resepi mee bandung mereka dari A hingga Z.
Terdapat dua jenis Pes Mee Bandung Mak Pon iaitu Jenis Biasa dan Jenis Power di mana perbezaannya adalah jenis udang yang digunakan iaitu biasa menggunakan udang gred B dan power udang gred A.
Selain perencah Mee Bandung, produk keluaran Mak Pon juga menghasilkan perencah soto, asam pedas, mee rebus, sambal ikan bakar dan rendang.
ALAMAT: No. 121, Jalan Maharani, Taman Sri Emas, 84000 Muar, Johor
NO TEL: 06-951 3828
9.RESTORAN HERBA NASUHA
Korang tahu tak bahawa dekat Muar terdapat Ladang Herba & Rempah Ratus Terbesar Di Malaysia Keluasannya mencecah sehingga 3200 ekar tau!
Di sini selain merupakan ladang yang menanam pelbagai jenis tanaman rempah-ratus dan herba yang kini berjumlah lebih 6,000 jenis -- terdapat juga sebuah restoran menghidangkan bermacam juadah istimewa antaranya Nasi Beriyani Herba Nasuha yang dimakan bersama pucuk merah asam gelugur untuk khasiat awet muda.
Bukan itu sahaja, malah di sini juga sebenarnya ditawarkan sebuah penginapan pelancongan berupa kemudahan asrama, chalet dan log kabin yang memberikan pengunjung pengalaman bercuti di dalam ladang herba. Best, kan tempat ni semua pun ada!!!
ALAMAT: Jalan Muar, 84500 Muar, Johor
NO TEL: 018-768 1000
10.MUAR ART GALLERY & CAFE
Korang tahu tak yang sebenarnya Muar juga telah diiktiraf sebagai "Bandar Perabot Malaysia" dan menjadi Pengeksport Perabot Ke-9 Terbesar Dunia? Hebat, kan Bandar Muar!
Bagi korang yang nak melihat sendiri betapa cantik dan uniknya seni bina perabot yang dikeluarkan oleh Muar ini, korang boleh singgah ke Muar Art Gallery.
Galeri ini menggabungkan ruang seni, hab makanan dan kedai di bawah satu bumbung.
Korang berpeluang untuk melihat dan menerokai sisi kreatif seni dengan pelbagai barangan menarik yang dipamerkan.
Setelah menikmati pameran dan aktiviti yang ditawarkan, korang boleh mengisi perut dengan lepak santai di kafe mereka yang terletak di dalam galeri ini.
ALAMAT: 66-1, Jalan Hang Tuah, Taman Junid Perdana, 84000 Muar, Johor
NO TEL: 012-703 3789
11.TAMAN NEGARA GUNUNG LEDANG (LAGENDA)
Taman Negara Gunung Ledang merupakan salah satu Taman Negara yang diwartakan sebagai Taman Negara Johor dan terletak di Daerah Tangkak.
Taman Negara Gunung Ledang ini juga merupakan salah-satu Tapak Warisan Kebangsaan yang dikatakan sudahpun berusia lebih kurang 150 juta tahun. Lama kan!!
Jadi kalau korang datang bercuti ke sini, rugilah tak singgah ke Taman Negara Gunung Ledang atau singkatannya LAGENDA.
Taman Negara ini mula beroperasi pada Julai 2003 dan telah diwartakan sebagai Taman Negara Johor pada 3 Oktober 2005 bagi melindungi gunung istimewa dan memelihara seluruh tumbuhan unik dan binatang yang ada di sini.
Kawasan seluas 8,611 hektar ini juga terkenal dengan lagenda Puteri Gunung Ledang di mana secara mitosnya merupakan seorang Puteri yang sangat cantik dan menawan, sesiapa yang memandangnya pasti akan tertarik kepadanya disebabkan oleh rupa parasnya yang sangat cantik.
Nama sebenar Puteri Gunung Ledang ialah Gusti Putri Retno Dumilah, di mana dalam versi penceritaan Sejarah Melayu menceritakan bahawa Puteri Gunung Ledang telah menetapkan tujuh tuntutan yang mustahil kepada Sultan Melaka jika baginda mahu mengahwininya.
Hari ini, Gunung Ledang merupakan salah satu destinasi pendakian gunung yang popular di negara ini iaitu antara 15,000 dan 20,000 pelawat terlibat dalam pendakian gunung bertinggian 1,276 meter setiap tahun.
Pendakian ke puncak gunung mangambil masa setengah hari, ianya bukanlah satu pendakian yang mudah.
Mereka yang berjaya mendaki puncak gunung akan mendapat ganjaran keindahan pandangan 360 darjah yang menakjubkan dari dataran sekitarnya, jika cuaca membenarkan.
Taman Hutan Lagenda pula merupakan pintu utama dan terletak di di selatan kaki gunung -- berdekatan bandar Sagil di daerah Tangkak.
Walaupun kebanyakan pelawat datang ke sini untuk mendaki, pintu masuk taman itu sendiri adalah tempat yang sangat sesuai untuk aktiviti riadah seperti berkelah atau perkhemahan di tepi sungai.
Terdapat pelbagai penginapan antaranya chalet, asrama, pondok hutan dan tempat perkemahan -- manakala beberapa pakej berkumpulan juga ditawarkan dengan aktiviti yang menyeronokkan seperti tempoh halangan, paintball dan santai bersama alam.
ALAMAT: P.O. Box 77, Batu 26, Jalan Segamat, 84020 Sagil, Ledang, Johor
NO TEL: +60 19 777 2057
EMEL: [email protected]
FACEBOOK: johornationalparks
12. MUAR RIVER CRUISE
Kalau korang nak menikmati pemandangan indah Bandar Muar dengan menelusuri Sungai Muar -- korang boleh datang ke Dataran Tanjung Emas terletak di muara Sungai Muar.
Di sini korang boleh menaiki ‘Muar River Cruise’ selama 30 minit di Jeti Tanjung Emas bagi menghayati pemandangan Bandar Muar dan keindahan semulajadi hutan pokok bakau.
Sebuah bot boleh memuarkan sehingga 40 orang dalam satu-satu masa dan pemandangan sepanjang Sungai Muar korang akan menikmati pelbagai bangunan ikonik Muar sambil mendengarkan sejarah pembinaannya menerusi audio penerangan yang dipasang di dalam bot.
Paling best jika korang bernasib baik korang akan dapat melihat ada penduduk setempat yang sedang menjala ikan dan menyelam tanpa sebarang pernafasan untuk mencari tiram di dasar sungai berkenaan.
Kalau korang nak tahu tiram di Sungai Muar ini dipercayai antara tiram putih yang paling berkualiti tinggi di dunia tau! Menarik, kan!!
Harga tiket untuk menaiki Muar River Cruise ini adalah RM20 untuk dewasa dan RM15 bagi kanak-kanak.
ALAMAT: Jln Tanjung 4, Taman Emas, 84000 Muar, Johor
NO TEL: 06-981 5517
13. MUAR LEATHER CRAFT
Kalau korang nak tahu Muar sebenarnya popular dengan produk kraf berasaskan kulit dan jika korang nak tengok penghasilan produk kraf berasaskan kulit kambing dan lembu serta ikan pari ini -- korang boleh singgah ke Muar Leather Craft atau singkatannya MLC.
Di MLC banyak produk kulit yang dihasilkan dan dijual kepada pengunjung seperti beg tangan, tali pinggang, topi, sarung tangan, sarung kunci kenderaan dan beberapa lagi cenderahati.
Di sini pengunjung akan diberi penerangan oleh MLC mengenai material kulit termasuk pembuatan dan jenis kulit yang dijadikan sebagai kraf tangan berkualiti.
MLC dibuka di Muar pada 2018 yang bertujuan untuk memberi pendedahan, mendidik masyarakat mengenai ilmu berkaitan kulit dan bagaimana mengenal jenis material kulit serta kegunaannya.
MLC turut memberi peluang kepada pengunjung merasai pengalaman membuat sendiri produk kulit berkenaan yang juga dikendalikan kakitangan mereka bagi menghasilkan cenderahati yang istimewa untuk pilihan pengunjung.
ALAMAT: No 11 Taman Sri Siantan, J140, 84000 Muar, Johor
NO TEL: 012-624 7575 (Encik Roslin)
14. KAMPUNG MALAYA HOMESTAY
Jika bercuti ke Muar dan korang nak merasai pengalaman menginap di rumah kampung ala-ala zaman 60-an dalam ladang durian -- korang wajib cuba bermalam di Kampung Malaya Homestay ini yang terletak di Jalan Kesang Laut.
Ada pelbagai jenis penginapan yang boleh korang pilih mengikut kesesuaian serta keselesaan masing-masing kerana di Kampung Malaya Homestay ini menawarkan dua jenis rumah besar iaitu Rumah Melaka & Rumah Seraya -- manakala untuk mereka yang inginkan bilik ada disediakan 4 jenis chalet menarik iaitu Chalet Cengal, Jati, Meranti dan Nyatoh.
Kalau korang bernasib baik dan bercuti ke sini pada musim buah durian -- korang mungkin berpeluang menikmati buah durian segar dari ladang yang diberikan secara percuma oleh pemilik Homestay kepada tetamunya.
Tetapi jika bukan musim durian pun, masih banyak aktiviti menarik yang boleh dilakukan di sini seperti memancing, berbasikal, sesi fotografi, jalan-jalan cari makan dan bersiar-siar di Bandar Muar.
ALAMAT: Jln Kesang Laut, Rizab Melayu Kesang, 84000 Muar, Johor
NO TEL: 013-340 3985
15. CLASSIC HOTEL MUAR
Bagi korang yang bercuti ke Muar dan nak tinggal di hotel demi keselesaan keluarga, korang boleh pilih untuk bermalam di Classic Hotel Muar yang terletak di pusat bandar.
Classic Hotel Muar ini menawarkan bilik berhawa dingin dengan WiFi percuma serta mempunyai kaunter penerimaan tetamu 24 jam dan juga restoran.
Selain itu, bilik hotelnya juga dilengkapi dengan meja, bilik mandi peribadi siap ada tab mandi, TV skrin rata dan peralatan mandian percuma.
Bestnya hotel ini sangat dekat dengan pusat beli-belah, restoran makanan segera McDonald's dan pelbagai restoran tempatan seperti Medan Ikan Bakar Sabak Awor, Mee Bandung Abu Bakar Hanipah, ZZ dan Muar Soup House (MSH) yang telah bertapak di bandar Muar sejak tahun 1958.
ALAMAT: 69, Jalan Ali, Pekan Muar, 84000 Muar, Johor
NO TEL: 06-954 7000
P/S: Best betul bercuti ke Muar dan Tangkak lagi-lagi bila kebetulan tengah rancak musim durian. Terima kasih Tourism Malaysia bawa kami jalan-jalan explore Muar!!!