Tourism Malaysia Lancar Pakej 'Durian Tourism' 2023, Tawar Bufet Durian Serendah RM50 Seorang!

TRAVEL
May 30, 2023 - 11:55 PM


Anda penggemar durian? Ingin merasai buffet durian bermula dengan harga hanya RM50 seorang? Jika ya, ini ada berita baik untuk anda!

Tourism Malaysia pada Selasa (30 Mei 2023) melancarkan kempen PAKEJ DURIAN TOURISM 2023 selama sebulan sehingga 31 Ogos ini bagi memeriahkan serta mempromosikan musim durian yang sedang rancak berlaku di seluruh negara.

Pakej Durian Tourism 2023 yang dibangunkan bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menyediakan 18 pakej menerusi 13 agen pelancongan berdaftar di bawah Tourism Malaysia.

Durian Tourism 2023 kali ini menawarkan pelancong dalam dan luar negara dengan pilihan 18 pakej menarik bermula RM50 seorang untuk bufet durian serta pakej 3 hari 2 malam daripada RM1,740 seorang dengan tempahan minimum 15 orang.

Menerusi pakej tersebut pelancong berpeluang merasai sendiri pengalaman mengutip buah durian di ladang, makan buah durian segar serta buah-buahan tempatan lainnya -- selain menikmati pelbagai minuman berasaskan halia, membuat tempoyak dan merasai pengalaman tinggal di kampung.

Kesemua pakej yang ditawarkan dalam Durian Tourism 2023 melibatkan enam buah negeri iaitu Johor, Pahang, Perak, Selangor, Kedah dan Perlis.

Menariknya dalam edisi kali ini -- Tourism Malaysia mengambil inisiatif untuk memasarkan pakej Durian Tourism 2023 di luar negara seperti China, Hong Kong, Taiwan, Singapura dan Brunei.

Jika anda ingin mengetahui maklumat lebih lanjut berkenaan pakej-pakej yang ditawarkan dalam Durian Tourism 2023 -- anda boleh mengimbas kod QR yang disediakan ataupun layari saja laman web Tourism Malaysia di www.malaysia.travel

Majlis Pelancaran Kempen Durian Tourism 2023 itu berlangsung di Happy Fruit Tangkak, Johor dan  dirasmikan oleh Pengarah Pembangunan Pakej, Tourism Malaysia, Shahrin Mokhtar yang mewakili Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar.

Shahrin berkata, melalui kempen pakej Durian Tourism 2023 itu akan dapat memperkenalkan lebih banyak destinasi '2nd-tier' yang mampu memberi impak kepada kegiatan ekonomi setempat.

"Keunikan pakej ini berupaya meningkatkan daya saing yang kompetitif di samping memberi kesedaran terhadap perlindungan dan pemeliharaan alam sekitar selaras teras lima dalam Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 iaitu memperkukuhkan komitmen terhadap pelancongan lestari.

"Menerusi permintaan tinggi terhadap produk pelancongan sebegini, pembangunan infrastruktur diharapkan akan bertambah baik, wujud jaringan perniagaan yang kukuh bukan sahaja dalam kalangan penggiat industri secara khusus malah meliputi pelbagai sektor lain," katanya.

Jadi korang tunggu apa lagi? Jom tempah pakej Durian Tourism 2023 bermula sekarang hingga 31 Ogos nanti untuk tempoh perjalanan dari 30 Mei hingga 30 September akan datang.

VIDEO PENUH PELANCARAN DURIAN TOURISM 2023

Destination: