"Festival Kopi Kemaman" - Terengganu Miliki Satu Lagi Tarikan Pelancongan Baharu Tahun Ini

TRAVEL
June 07, 2023 - 02:43 PM


Terengganu merupakan syurga bagi korang nak rasa mengopi di tepi pantai kerana negeri tersebut sinonim dengan pantai yang cantik dan mengagumkan pandangan.

Kalau korang nak rasa pengalaman mengopi tepi pantai sambil menikmati tiupan bayu yang menyamankan, kenalah pergi ke Terengganu atau lebih tepat, Festival Kopi Kemaman yang telah diadakan di Resorts World Kijal pada 2 dan 3 Jun baru-baru ini.

Siapa sangka mukim kecil seperti Kijal dan dianggap jauh dari kemudahan bandar ada festival yang besar menarik perhatian orang ramai seperti Festival Kopi Kemaman.

Kami yakin setiap penggemar kopi akan tertunggu-tunggu untuk pergi ke pesta kopi merasai pelbagai jenis minuman tersebut dan cara brew yang berlainan dari biasa.

Selalunya orang kita lebih menggemari kopi-kopi di Starbucks, Gigi Coffee atau kopi kampung-kan? Namun Festival Kopi Kemaman kali ini tampil dengan lebih menarik kerana buat julung kalinya pesta kopi sebegini diadakan di tepian pantai.

Festival Kopi Kemaman 2023

Festival Kopi Kemaman dianjurkan bersama Tourism Terengganu, Resorts World Kijal serta komuniti-komuniti kopi tempatan sekitar daerah tersebut menghimpunkan seramai 35 vendor dan menarik lebih 8,000 pengunjung dalam masa satu hari saja! Meriah betul.

Pedalhaus selaku penyelaras Festival Kopi Kemaman ini tidak menyangka bakal menerima pengunjung seramai 2,000 pada beberapa jam pertama selepas perasmian majlis tersebut.

Ramai betul orang yang datang dan dianggarkan lebih 2,000 pengunjung selepas beberapa minit Festival Kopi Kemaman dirasmikan.

Pengunjung yang datang bukan sekadar dari Kemaman, bahkan ada juga yang datang dari daerah-daerah lain sekitar Terengganu dan ada juga yang datang dari Pahang tau!

Pengunjung dari luar Terengganu yang datang ke Festival Kopi Kemaman ni merasakan berbaloi datang dari jauh kerana macam-macam aktiviti ditawarkan di festival ini. 

10 Aktiviti Menarik di Festival Kopi Kemaman 2023

Antara aktiviti yang menjadi tumpuan pengunjung adalah  : 

Kelas asas pembuatan kopi.

Vendor-vendor di sini menawarkan kelas kopi percuma kepada pengunjung dan tunjuk bagaimana untuk mendapat ratio yang terbaik, cara brew dan latte art.

Pertandingan latte art

Barista-barista dari dalam dan luar Terengganu berhimpun di Festival Kopi Kemaman dan menunjukkan kehebatan masing-masing dalam menghasilkan seni latte terbaik.

Sukan Rakyat 

Orang ramai juga berpeluang untuk bermain permainan tradisional secara beramai-ramai seperti tarik tali, carrom, dam haji dan giant chess. Seronok tau main dengan orang ramai ni sekaligus boleh tambah kenalan.

Dikir barat

Persembahan dikir barat memeriahkan lagi Festival Kopi Kemaman dan menjadi tumpuan pengunjung. Best tau minum kopi sambil layan dikir barat secara live ni.

Wayang pacak

Pengunjung Festival Kopi Kemanan dapat rileks-kan diri sambil minum kopi dengan menonton filem evergreen pada waktu malam. Ini baru healing!

Busking

Best je tau sambil jalan-jalan di Festival Kopi Kemaman sambil dengar nyanyian daripada buskers yang menyanyikan lagu-lagu sing along.

Cabutan bertuah

Setiap pengunjung Festival Kopi Kemaman ternanti-nanti cabutan bertuah yang dibuat pada hari terakhir festival dengan hadiah utamanya adalah sebuah mesin kopi yang mahal tau!

Pelepasan anak-anak penyu

Orang ramai terpegun dapat melihat anak penyu buat pertama kali yang dilepaskan ke laut. 60 ekor anak penyu yang comel merangkak masuk ke air nampak comel sangat!

Espresso Class 101

Bukan setiap kopi yang dihasilkan adalah sama tau. Kena belajar lebih lagi. Bermula daripada pemilihan biji kopi, grind biji kopi sehinggalah ke cara minum diajar dengan teliti oleh penyelaras Festival Kopi Kemaman.

Sharing session berkaitan kopi

Peniaga-peniaga kopi yang otai duduk berkumpul berkongsi dengan pengunjung bagaimana mahu memulakan bisnes cafe dan pengetahuan berkaitan kopi.

Kopi Untuk Semua!

 

Vendor-vendor di Festival Kopi Kemaman bukan sahaja menyediakan kopi yang enak je tau kepada pengunjung malahan menawarkan kopi-kopi yang dihidangkan dengan cara unik seperti teknik brew secara syphon, nitrogen cold brew coffee, pour over dan aeropress.

Peniaga di Festival Kopi Kemaman tidak lokek memberi tester kepada pelanggan dorang dahulu sebelum membelinya untuk pengalaman minum kopi yang lebih luar biasa.

 

Pelbagai tawaran serta kupon diberikan vendor Festival Kopi Kemaman kepada pengunjung yang hadir untuk membeli kopi pilihan mereka dan himpunan merchandise rasmi di setiap booth seperti biji kopi special, t-shirt, keychain, button badge dan tote bag.

Setiap vendor di Festival Kopi Kemaman mempunyai signature dan keunikan kopi mereka sendiri. Bayangkan minum kopi yang di-brew segar dan terus dihidangkan kepada korang. Padu amat!

Pengunjung Festival Kopi Kemaman teruja dengan kopi yang dihidangkan oleh Kopi Junkey yang menghidangkan menghidangkan kopi cold brew menggunakan liquid nitrogen yang enhance-kan lagi taste note kepada kopi tersebut. 

Dah habis 'persembahan' kopi nitrogen, dorang tampilkan pula syphon yang menarik perhatian pengunjung di situ sebab bentuknya seakan-akan barang dari makmal sains.

Kami diberi peluang untuk merasa kopi Sabah Ranau - Honey Process yang dihidangkan dalam cup seramik dari Jepun. Taste note untuk kopi ni kami cukup suka sebab di hujung-hujung tegukan tu akan ada rasa limau tangerine.

Minuman yang dijual Kopi Junkey ni tak dapat kat tempat lain dan kami betul-betul puas hati dapat kopi rare macam ni.

Pengunjung di Resorts World Kijal antara yang beruntung sebab dorang bukan sahaja dapat pemandangan yang cantik menghadap laut tapi berpeluang juga untuk menikmati setiap kopi di booth Festival Kopi Kemaman. 

Ada juga yang beli kopi serta kudap-kudap di Festival Kopi Kemaman dan nikmati minum petang dorang di balkoni bilik sambil layan pemandangan yang mengagumkan diterangi cahaya matahari pada waktu senja. Sangat estetik weh! 

Kalau korang nak tahu, Festival Kopi Kemaman ini akan diteruskan lagi dan akan dimuatkan dalam kalendar pelancongan Terengganu pada tahun-tahun akan datang kerana sambutannya sangat-sangat luar biasa.

Sepanjang 2 hari Festival Kopi Kemaman ni berlangsung kami cukup puas hati dapat menikmati kopi yang unik sambil layan angin di tepi pantai. Memang takkan dapat di tempat lain, hanya di Kemaman, Terengganu saja.

Destination: