"Senang Buat Duit" - Ramai Ambil Kesempatan Dan Salah Guna Wang eBelia

TERKINI
June 27, 2023 - 12:07 PM


Semalam pemohon bantuan tunai digital eBelia Rahmah sudah mula menikmati insentif daripada kerajaan tersebut bermula jam 8 pagi semalam.

Bantuan yang disalurkan menerusi aplikasi e-dompet itu dikongsi oleh beberapa penuntut IPT dan belia berumur 18 hingga 20 tahun yang teruja mendapat insentif RM200 berkenaan.

Namun dalam keterujaan itu ada pihak yang mengambil kesempatan untuk memindahkan e-tunai itu ke akaun bank pemohon dengan mengambil 'upah' yang tinggi sehingga RM20.

Contohnya, si empunya badan mendapat bantuan eBelia sebanyak RM200 dan ingin memindahkan e-tunai tersebut ke akaun bank sendiri menggunakan bantuan pihak ketiga dengan memberi caj sebanyak RM10 hingga RM20.

Pihak tersebut mengambil upah tinggi untuk kesenangan sendiri yang kini menjadi bualan orang ramai di media sosial menunjukkan ketidakpuasan hati kerana mengambil kesempatan.

Golongan ini menggunakan modus operandi menukar e-tunai berkenaan kepada nilai wang yang dimasukkan ke dalam akaun bank. Yang peliknya, ramai juga yang menggunakan khidmat pihak tersebut walaupun caj upahnya mahal.

Rata-rata warganet marah serta tidak berpuas hati dengan orang yang mengambil kesempatan begini sewaktu warga belia dan penuntut IPT betul-betul memerlukan wang tersebut.

Video yang banyak dimuat naik di platform TikTok mempertikaikan perbuatan sebegitu.

"Aku kena RM20. Melantak betul" komen Chaaa.

"Kadang bila orang terdesak nak keluarkan duit tu, dorang dah tak kisah kena bayar berapa kat orang. Cuma kesian la sebab nampak sangat ambil kesempatan tu" jelas Haruna.chan.

Ada juga menyokong dan membenarkan perbuatan itu yang menganggap itu caj sepatutnya dikenakan kepada mereka.

"Takpe la. Anggaplah sedekah dia guna masa dia, tenaga dan internet dia. Kira sama-sama untung-lah" komen ZizulMukmin

Ada yang beri tutorial memindahkan e-tunai itu ke akaun sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga dan tak melibatkan kerugian.

Harapnya golongan yang mengambil kesempatan ini fikirkan sama kesusahan yang dihadapi oleh warga belia dan penuntut IPT serta tidak mengenakan caj yang melampau untuk memindahkan wang mereka. Harapnya RM200 tu digunakan dengan betul serta cermat dan tidak boros menggunakannya.