"Dari Paris Of Malaya Jadi Negeri Serambi Mekah" - Rupanya Kelantan Pernah Digelar 'Kota Pelacur' Pada 1950-an!

TERKINI
August 17, 2023 - 01:33 PM


Siapa sangka Kelantan yang digelar sebagai Negeri Serambi Mekah ini pernah menjadi pusat pelacuran terbesar di Tanah Melayu. Mungkin korang terkejut dengan kenyataan ini, tetapi sebenarnya ia benar-benar berlaku pada tahun 1950-an.

Tidak dinafikan pengajian ilmu agama dan sekolah pondok di sana pada masa itu sangat berkembang pesat tetapi pelacuran pada masa itu juga berleluasa sehingga Kelantan digelar sebagai Paris of Malaya. Jadi, kenapa ia digelar sebegitu? Mari kami huraikan dengan lebih panjang mengenai topik ini.

"Paris of Malaya" - Bermaksud Kota Pelacur di Kelantan 

Pada awal 1950-an, dilaporkan pusat pelacuran di Kelantan sangat berleluasa, sehingga ada antara pelacur ini yang dilatih seawal usia 12 tahun. Mereka ini bukan sahaja berasal dari Kelantan malah, seluruh Semenanjung Tanah Melayu (kini Malaysia). Mesti korang tertanya-tanya macam mana boleh muncul para pelacur ini? Haaa…gejala ini terjadi kerana perkahwinan bawah umur mengakibatkan perceraian pada usia muda yang mendorong mereka ke lembah pelacuran.

Diberi nama Paris of Malaya kerana pada masa itu Paris juga digelar sebagai kota pelacur, tetapi orang Paris pada masa itu sangat marah apabila disamakan dengan Kelantan. Mereka menyatakan bandar Paris masih menjadi bandar yang mempunyai tinggi budaya malah, kalau nak borak pasal kota pelacur, London lagi hebat. Korang boleh tengok keratan akhbar mengenai isu ini di bawah:

Hal ini telah dibongkarkan oleh seorang pegawai kebajikan British yang bernama Josephine Foss. Beliau menyatakan bahawa ibu-ibu ayam yang menindas anak-anak gadis menjadi pelacur ini akan mendapat ganjaran yang lumayan antaranya dapat tinggal di hotel mewah.

Namun, kenyataan Josephine ini ditentang oleh orang-orang Melayu pada masa itu kerana dia dianggap sengaja menimbulkan ketegangan masalah sosial dalam kalangan masyarakat. Tapi sebenarnya, isu ini pernah dibincangkan dalam sidang dewan undangan negeri.

Seorang ahli dalam sebuah jawatankuasa, Nik Mohamed Ali telah melaporkan isu pelacuran yang berleluasa kerana kanak-kanak terjebak dalam pelacuran. Dia mencadangkan supaya pihak berkuasa (Majlis Agama Islam Kelantan) tidak menghukum tetapi, memberikan peluang pekerjaan lain kepada para pelacur.

“Pelacuran tidak dapat dibendung dengan mengirim pelacur ke penjara. Mereka seharusnya diberi pekerjaan.” – Nik Mohamed Ali, petikan dari Malaysiakini.

Pendapat ini juga dipersetujui oleh ahli politik dari Parti Perikatan (sekarang namanya BN), Inche Yaacob Awang kerana beliau sendiri malu dengan Kelantan sehingga digelar Paris of Malaya.

Seorang penulis tersohor Alam Melayu, Munshi Abdullah, pernah pergi ke Kelantan dan terkejut dengan pusat pelacuran yang dianggap normal di Kelantan (Negeri Serambi Mekah). 

Bukan itu sahaja, isu ini turut diketengahkan oleh lagenda penulis dan wartawan Malaysia, A. Samad Ismail, dalam buku “Temasha Tinta (1966)" pada bahagian cerpen yang bertajuk “Kesah Chinta di Kota Bharu”.

Kini Keadaan Telah Berubah & Kelantan Bertukar Jadi "Serambi Mekah"

Apabila Kelantan diambil alih oleh PAS sejak 21 Oktober 1990, agama Islam lebih berkembang. Semasa Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz memimpin Kelantan, banyak inisiatif yang dilaksanakan sehingga digelar “Kerajaan Menerajui Perubahan".

Antaranya, beliau telah menutup premis-premis judi dan panggung wayang di Kelantan, manakala hotel dan kedai tidak dibenarkan menjual dan menyajikan arak di tempat awam kerana ia akan membawa kita ke lembah maksiat.

Justeru, Enakmen Kawalan Hiburan Negeri 1998 diperkenalkan bagi menerapkan nilai keislaman dalam setiap persembahan, serta mengelak amalan khurafat dan tahyul seperti hiburan wayang kulit, makyong, main puteri dan sebagainya.

Sumber: Sos Cili & Utusan TV 

Destination: