[VIDEO] "Berzikir Sampai Menari-Nari Di Makam, Bukan Ajaran Tok Kenali" - Cicit Respon Video Viral Didakwa Ajaran Sesat
TERKINICicit kepada Tok Kenali, Muhammad Hafiz Hukmi Wardi menjelaskan rakaman video yang menunjukkan sekumpulan lelaki sedang berzikir beramai-ramai dengan kaedah luar daripada kebiasaan bukan ajaran ulama terkenal itu.
Beliau berkata, perkara tersebut juga tidak mempunyai kaitan dengan Pondok Tok Kenali termasuklah kerajaan negeri Kelantan.
"Saya mendapat maklum daripada orang yang merakam video itu mengatakan dia tidak mengetahui kumpulan itu datang dari mana. Cuma kalau tengok van...katanya van itu plat pendaftaran dari Thailand...jadi wallahualam daripada mana (datang dari tempat mana).
"Kubur Tok Kenali ni, dia sentiasa terbuka untuk siapa-siapa sahaja... 24 jam sentiasa terbuka.
"Tengah malam pun ada yang datang, jadi muslimin dan muslimat segala amalan yang dibuat dalam video tadi tidak ada kena mengena langsung dengan ajaran Tok Kenali, dengan pondok Tok Kenali pun tak ada, dengan kerajaan negeri pun tak ada," katanya menerusi satu hantaran video penjelasan yang dimuat naik menerusi aplikasi TikTok pada Selasa.
@alongpm #makamtokkenalikelantan #zikir #pasirtumbuhkelate #pondoktokkenali @ALONG PM HARUM MEMUKAU ♬ bunyi asal - Along pm
Menurut beliau, sebagai wakil keluarga Tok Kenali menasihatkan kepada orang ramai yang mahu mengunjungi kubur ulama terkenal itu supaya menjaga adab dan akhlak ketika berada di kawasan itu.
Ujarnya, adab itu selari dengan apa yang diajar oleh alim ulama dengan caranya bersopan santun dan tidak berlebih-lebihan.
"Sebab ini akan menjadi fitnah kepada masyarakat kita sekarang. Jadi kalu boleh jaga khususnya orang perempuan minta tolong jangan masuk dalam pagar.
"Orang lelaki pun jangan buat perbuatan ataupun amalan-amalan yang khilafiah, amalan-amalan yang di luar pada uruf takut ia menjadi fitnah pada masyarakat," katanya.
Sebelum itu, tular video memaparkan sekumpulan lelaki sedang berzikir di luar kebiasaan sehingga menimbulkan perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat.
'Berzikir di perkuburan biasa, tapi tak pernah dibuat orang kalau sampai menari ' — Mufti Kelantan
Sementara itu, Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Kelantan diminta supaya melakukan siasatan terhadap kes tular membabitkan tindakan sekumpulan individu melakukan zikir dengan cara luar biasa di Makam Tok Kenali, yang terletak di Kota Bharu Kelantan.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, meskipun amalan zikir di perkuburan adalah dibenarkan dalam Islam, tindakan melakukannya dengan gerakan yang melampau merupakan merupakan satu perbuatan yang luar daripada kebiasaan.
"Berzikir di perkuburan ini biasa, tapi kalau ada tari menari-menari itu agak luar biasa. Jadi ini perlu diteliti bawaan (ajaran) daripada mana itu," katanya ketika dihubungi media.
Pihak berwajib kena pantau aktiviti macam ni pic.twitter.com/2bRcJgFHH6
— ISU SEMASA VIRAL (@isusemasaviral) August 23, 2023
Sehubungan itu, beliau menasihatkan Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Kelantan supaya menyiasat kes tersebut.
Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata, secara umumnya amalan berzikir termasuk bertahlil dan membaca al-Quran di tanah perkuburan merupakan perbuatan yang dihukumkan sebagai harus.
Bagaimanapun, beliau berkata, tindakan berzikir dengan pergerakan meskipun dibenarkan dalam Islam adalah tidak sesuai untuk dilakukan di tempat sedemikian.
"Sebab zikir (secara) pergerakan ini ada tempat-tempat contohnya di surau atau di masjid itu yang membenarkan.
"Tetapi kalau di perkuburan ini saya ingat ia adalah sesuatu yang tidak pernah dibuat orang dan agak janggal," jelas beliau.
Sumber: Sinar Harian & Majoriti