Dikaitkan Kes Rasuah, Restoran Berputar Menara KL Atmosphere 360 Diarah Tutup Serta Merta

TERKINI
December 22, 2023 - 06:00 PM


Perintah pengosongan itu dimohon oleh Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd dan pemiliknya iaitu Hydroshoppe Sdn Bhd terhadap pemilik Atmosphere 360, Asian Kitchen (M) Sdn Bhd.

Sebuah restoran berputar terkenal di Menara Kuala Lumpur iaitu Atmosphere 360 telah diarahkan tutup sejak semalam (21 Disember) susulan perintah yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Perintah pengosongan dimohon oleh Menara KL dan Hydroshoppe Sdn Bhd

Perintah pengosongan itu dimohon oleh Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd dan pemiliknya iaitu Hydroshoppe Sdn Bhd terhadap pemilik Atmosphere 360, Asian Kitchen (M) Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Asian Kitchen, Ringo Kaw ketika dihubungi FMT mengesahkan tentang perkara itu dan menyatakan pihaknya terkejut selepas menerima notis daripada mahkamah tinggi itu.

“Notis Mahkamah Tinggi diterima semalam dan mengarahkan kami tutup, ada ramai pelanggan pada masa itu.

“Sambutan Krismas dan Tahun Baru hampir tiba dan tempahan kami telah dilanjutkan ke tahun depan.

“Jadi kami tiada pilihan selain menawarkan bayaran balik kepada pelanggan, diharap pihak berkuasa dapat melayan kami dengan adil,” katanya.

Pihak pengurusan Menara KL dahulu berjanji lanjutkan tempoh sewaan selama 3 tahun

Menurutnya, sebelum Hydropshoppe mengambil alih pengurusan Menara KL, pihak pengurusan terdahulu telah berjanji ingin melanjutkan tempoh sewaan restoran itu selama tiga tahun secara lisan.

Bagaimanapun, kini Hydroshoppe pula hanya membenarkan restoran itu kekal sehingga akhir tahun ini sahaja.

“Kami juga telah membawa perkara itu ke mahkamah kerana pengambilalihan (Menara KL oleh Hydropshoppe) sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya lagi.

Terdahulu pada April, Pengarah Hydroshoppe, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh didakwa menawarkan suapan RM500,000 setahun selama 15 tahun bagi faedah kepada bekas menteri komunikasi dan multimedia, Tan Sri Annuar Musa berhubung proses pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur.

Asian Kitchen kemudiannya memfailkan saman terhadap Menara KL dan Hydroshoppe memohon pengisytiharan perpindahan saham daripada pengurusan terdahulu iaitu Telekom Malaysia (TM) adalah terbatal dan tidak sah.

Perjanjian sewaan antara Asian Kitchen dan Menara KL tamat pada 30 Jun lalu

Pun begitu, Hydroshoppe kemudiannya memfailkan pula permohonan memasukkan penghakiman ringkas terhadap restoran itu, bagi pengisytiharan bahawa perjanjian penyewaan antara Asian Kitchen dan Menara KL telah tamat pada 30 Jun lalu.

Selain itu, Menara KL dan Hydroshoppe juga menginginkan Atmosphere 360 yang dikendali oleh Asian Kitchen untuk mengosongkan unit restoran terbabit.

Mahkamah kemudiannya memihak kepada Menara KL dan Hyrdoshoppe sekaligus menyebabkan Atmosphere 360 perlu mengosongkan unit tersebut. -FMT